Monday, February 21, 2011

6) PASUKAN HANG JEBAT BEDAL PASUKAN HANDALAN INGGERIS DI SUNGAI SEKAM

PASUKAN HANG JEBAT BEDAL PASUKAN HANDALAN INGGERIS DI SUNGAI SEKAM


PASUKAN HANG JEBAT BEDAL PASUKAN HANDALAN INGGERIS DI SUNGAI SEKAM





Abu Samah Mohd. Kassim

Nampaknya serangan kempen kepung basmi musuh akan terus perpanjangan dan memungkinkan pasukan akan menunggu lama lagi bagi meneruskan perjalanan strategiknya. Masalah yang penting dihadapi ialah tentang makanan pasukan yang ramai jumlahnya itu. Oleh yang demikian, pihak pimpinan menugaskan saya keluar untuk meninjau ladang-ladang dan hasil pengeluarannya dan sekaligus memandu kawan-kawan dan Orang Asli menyelamatkan sekoi dan jagung yang sedang masak itu.





Pada 25 Januari 1954, saya bersama 18 orang kawan bertolak keluar dari perkhemahan menuju ke ladang pertama di sebuah bukit yang tidak jauh dari Sungai Sekam lalu berkhemah di sana. Pada 26 Januari setelah regu peronda yang menyiasat balik melaporkan bahawa keadaan di ladang itu tiada musuh, maka dihantarlah kawan-kawan dan Orang Asli mengutip jangung dan sekoi secara kencang, kemudian dipungah ke tempat simpanan dekat perkhemahan sementara.





Pada pagi 27 Januari, dihantar regu peronda menyiasat di beberapa bahagian penjuru ladang. Di satu penjuru, anggaran 100 meter dari ladang, regu peronda terterjah betul-betul di tengah-tengah perkhemahan besar musuh. Askar-askar musuh sudah keluar menghendap di ladang, mungkin juga ada askar-askar yang tinggal, tetapi kerana kawsan perkhemahan itu agak luas, kawan-kawan tidak nampak musuh di situ. Di perkhemahan kita, kawan-kawan dan Orang Asli sudah sedia untuk turun ke ladang mengutip jagung dan menuai sekoi.





Apabila regu peronda sampai balik melaporkan bahawa angaran 100 meter dari ladang ada perkhemahan musuh yang besar dan ramai anggotanya, manakala dalam ladang ada musuh melakukan hendapan. Oleh kerana perkhemahan terletak hanya 150 meter sahaja dari ladang, sedangkan jalannya besar, banyak pula kesan-kesan kaki yang baru-baru lagi kerana semalamnya berulang alik memunggah hasil tuaian, maka pastilah akan ditemui dan dikesani oleh musuh sehingga ke perkhemahan. Saya segera memerintah kawan-kawan berkemas dan mengambil keputusan menyerang hendap musuh di jalan hadapan pondok kawalan. Kedudukan kami sungguh sangat baik dan menguntungkan. Satu kumpulan musuh betul-betul sampai ke tepi ladang kawasan tanahnya becak dan nampak dari kedudukan kawan-kawan yang menyerang hendap itu. Kerana musuh nampak banyak kesan-kesan kasut dan tak berkasut, maka askar musuh itu tak berani menaiki anak bukit tempat kita menghendap itu, lalu mereka berundur balik ke ladang. Kami menunggu hingga sampai pukul 3.00petang, tetapi musuh tak berani mara.





Kerana tak dapat melakukan pertempuran dan tak dapat meneruskan kerja menuai sekoi dan mengutip jagung, maka dalam perbincangan telah diputuskan menghantar sebahagian kawan balik ke pasukan, khasnya kawan-kawan wanita bersama-sama dengan Orang Asli yang diketuai oleh Rosmah (Zaleha Mat Roni) membuat laporan kepada pimpinan. Manakala saya bersama 12 orang beserta 3 orang lasykar rakyat Orang Asli bergerak menyusuri Sungai Sekam untuk mencari tempat untuk melakukan serangan hendap ke atas musuh.





Tepat pukul 9 pagi, 28 Januari 1954, kita sudah siap mengatur barisan dan kekuatan tenaga di atas tebing sungai yang amat strategik itu. Oleh kerana pada malamnya, lasykar rakyat Orang Asli berulang-ulang kali meminta dibenarkan pergi menyuluh katak, ini menyebabkan 160 orang pasukan Golden British yang dipandu oleh beberapa orang askar yang terdiri daripada Orang Asli (bakal pengasas kepada Senoi Praq) cukup berhati-hati dalam perjalanannya. Pengakap depannya tak putus-putus memberikan isyarat, berjalan beberapa langkah berhenti memandang ke atas tebing kiri dan kanan sungai, begitulah seterusnya. Ini kerana musuh terjumpa kesan-kesan baru di sepanjang jalan khasnya habuk karuk (penyuluh) lasykar rakyat yang menyuluh katak itu.





Tepat pukul 11 tengah hari, barulah sebahagian besar askar musuh yang barisannya rapat-rapat masuk ke dalam garisan hendapan kita. Kebetulan pula di waktu itu musuh berhenti tak bergerak dengan senapang siap sedia memerhati ke atas kiri kanan tebing sungai kerana pengakap depannya member isyarat. Kawan-kawan kita yang jarinya sudah di pemetik senapang menunggu isyarat tembak dari saya kerana musuh di tepi sungai itu jaraknya 5-10 meter saja dengan kawan-kawan yang di atas tebing sungai, sedangkan mata dan muncung carbine saya mencari-cari mana satu pengarah atau pegawai tinggi sebagai sasaran isyarat tembakan. Malangnya, tembakan isyarat peluru yang pertama tak meletup, terpaksa memasukkan peluru sekali lagi melepaskan tembakan yang diikuti bedilan kawan-kawan yang bergemuruh. Rangkaian tembakan yang pertama, nampak jelas 8 orang askar musuh yang berjalan di depan mati tersungkur. Satu regu kawan-kawan sangat gembira , siap sedia menunggu perintah menyerbu kerana di depan matanya nampak bergelimpangan 8 pucuk senjata automatik. Pertempuran itu sangat hebat, walaupun bahagian tengah musuh banyak mati dan luka-luka bergelimpangan di celah-celah batu dalam sungai, tapi musuh yang dapat berlindung di sebalik batu besar terus menembak ke bahagian depan arah askar-askarnya yang mati itu. Manakala askar-askar musuh di belakang yang tak masuk ke dalam lingkungan serangan hendap kita dengan berselindung di sebalik batu dalam sungai juga terus menembak ke alur sungai yang tempat itu agak lurus. Akibat tembakan itu, kita tak dapat turun menyerbu dan merampas senapang musuh, manakala di tempat kedudukan saya (pengarah) yang diapit kiri dan kanan oleh 2 orang kawan,mereka juga luka terkena tembakan musuh. Mat Amin terkena di punggung manakala Duwi kena di kaki, tetapi tidak parah dan masih boleh berjalan.





Dalam masa 20 minit berlangsungnya pertempuran, kapal terbang musuhpun mulailah berlegar-legar terbang rendah. Setelah hampir setengah jam bertempur dan berhasil menghajar serta mematahkan kecongkakan musuh, kami pun berundur ke tumpuan mengambil galas dan balik menuju ke perkhemahan. Tetapi dalam perjalanan itu diganggu oleh pusingan kapal terbang musuh yang terbang rendah, seolah-olah di atas kepala saja, di mana terdapat tempat yang terdedah, kami berselindung dulu untuk mengelakkan diri dari kelihatan olehnya. Jadi petang itu, tak sempatlah kami balik ke kem pasukan dan hanya bermalam di perkampungan Orang Asli.





Ketibaan kami disambut hangat oleh orang-orang Asli dengan pekikan “Langoi menang! Orang putih kalah!





Malamnya, kami diberi jamuan dan diadakan perkumpulan bersuka ria, berjinjang, bergabak, bersiwang, menyanyi dan lain-lain hingga ke subuh. Paginya kami balik ke perkhemahan dan disambut hangat oleh pimpinan dan kawan-kawan. Manakala pihak musuh pula, pada hari itu bersamaan 29 Januari 1954, satu hari penuh kapal terbangnya berulang alik memunggah askar-askar yang mati dan luka-luka ke Tapah, Perak. Pada 30 Januari, kempen kepung basminya yang berlangsung selama 3 bulan itu ditamatkan dan semua askarnya ditarik keluar. Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 pula, pada 1 Februari 1954 dengan gembiranya menghayun langkah meneruskan perjalanan jauhnya menuju utara.





(dipetik dari tulisan Abu Samah Mohd Kassim: SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN, terbitan Nan Dao Published, Hongkong, 1996)

---

Keterangan:



1. Pasukan Hang Jebat didirikan oleh Markas Besar Rejimen Ke-10 pada tahun 1953, beranggotakan kira-kira 40 orang dipimpin oleh Abdullah C.D. untuk melakukan perjalanan jauh ke kawasan sempadan



2. Kempen Kepung basmi di Sungai Sekam adalah salah satu kempen serangan untuk menghapuskan Rejimen Ke-10 dan menghadang kemaraannya ke utara.















lihat juga:











PUISI PERAJURIT: PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM

BERTEMPUR DENGAN ASKAR AUSTRALIA DI BUKIT CHEMPEDAK

MAT INDERA: PERTEMPURAN MENENTANG PENJAJAH BRITISH

SERANGAN HENDAP DI JALAN CHENOR

























Dicatat oleh Mat Amin pada 6:47 AM

Label: pertempuran, Rejimen Ke-10 TRM

5) PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM

PUISI PERAJURIT: PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM




PUISI PERAJURIT: PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM





Pada 15 Oktober 1953, penjajah British melancarkan kempen kepung basmi ke atas pasukan TPNM di kawasan Cameron Highlands. Ketika itu, Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 baru tiba di kawasan tersebut. Kapal terbang penjajah melakukan pengeboman dan memesingan hutan sekitar termasuk ladang-ladang Orang Asli.





Untuk membela massa rakyat dan mematahkan kecongkakan kaum penjajah, Abdullah C.D. telah membentuk satu regu tempur. Regu ini berjumlah 40 orang dipimpin Abu Samah Mohd Kassim dan dibantu oleh Rosli @ Mat Amin. Pihak musuh terdiri dari kira-kira 160 orang Pasukan Goldan British yang digembar-gemburkan sebagai pernah mendapat pujian tinggi dalam Perang Dunia Kedua.

Berikut adalah sebuah puisi nukilan seorang perajurit Pasukan Hang Jebat yang menggambarkan keadaan pertempuran tersebut. Puisi ini ditulis sempena menyambut kemerdekaan 31 Ogos 1957 di pasukan Rejimen Ke-10.







PERTEMPURAN DI SUNGAI SEKAM



28 Januari tahun lima puluh empat

Sejarah mulia sentiasa diingat,

Lambang merah Pasukan Hang Jebat

Berjasa besar kepada rakyat.





Satu pertempuran di Cameron Highlands

Sungai Sekam nama kawasan,

Musuh bertindak besar-besaran

Untuk menekan Tentera Pembebasan.





Ladang-ladang Asal telah dirosakkan

Menembak menangkap melakukan keganasan,

Rakyat sentiasa dalam ketakutan

Begitulah parti menerima laporan.





Setelah itu lalu diputuskan

Satu seksyen akan dikerahkan,

Kepentingan rakyat segera di selamatkan

Musuh yang kejam diberi ajaran.





Manakala perajurit berada di ladang

Membantu rakyat memunggah barang,

Bekerja keras pagi dan petang

Sambil mengawasi musuh yang datang.





Semasa perajurit memetik jagung

Datanglah musuh berlagak sombong,

Berapa orang tak dapat dihitung



Membuat honar di ladang dan kampung.





Setelah sampai keesokan hari

Tempat yang elok terus dicari,

Untuk menyerkap musuh terkeji

Kalau dapat dihapuskan sekali.





Ke suatu kawasan perajurit berjalan

Bukit berapit kiri dan kanan,

Berjumpalah tempat mengadakan hendapan

Sungainya berbatu duri dan rotan.





Adapun keadaan di tempat itu

Tempatnya curam bukit berbatu,

Hanya sedikit anak-anak kayu

Di situlah di atur barisan menunggu.





Jam menunjukkan angka sebelas

Kebetulan musuh hendak melintas,

Dari atas dipandang jelas

Perajurit sekalian hemat dan awas.





Askar orang putih telah kelihatan

Seorang Asal pemandu jalan,

Senjata otomatik banyak digunakan

Perlahan dan awas mereka berjalan.





Tiap-tiap orang jaraknya berjauhan

Berjalan masuk ke garis hendapan,

Orang depan hampir keluar garisan

Jauh di belakang masih berjejeran.





Bilangan musuh lima kali ganda

Dibanding dengan tenaga kita,

Tapi perajurit tetap perwira

Hanya menunggu perintah ketua.





Manakala isyarat telah dibunyikan

Perajurit menembak seperti hujan,

Sebelum musuh dapat perlindungan

Lapan orang mati bergelimpangan.





Setengahnya pula rebah terlentang

Ada yang mengaduh ada yang mengerang,

Jatuh ke sungai nyawa melayang

Hingga yang belakang tak berani datang.





Musuh juga memang cergas

Banyak yang sempat menembak balas,

Percubaannya itu ditekan keras

Bertemulah buku dengan ruas.





Pertempuran hebat telah berlaku

Setapakpun musuh tak berani maju,

Mana-mana yang degil itu dituju

Hingga naik asap dan sebu.





Hebat tembakan seperti dicurah

Musuh terdesak ke dalam lurah,

Banyak mati dan luka parah

Sungai yang jernih menjadi merah.





Setelah setengah jam perajurit menguji

Menghentam musuh berkelakuan keji,

Barulah sekalian undur kembali

Meninggalkan musuh terkapar mati.





Kerana keadaan, tempat dan tenaga

Tak dapatlah kita merampas senjata,

Tapi perjuangan bukanlah sia-sia

Dapat memperkenalkan emas tembaga.





Selepas saja pertempuran berlaku

Perajurit disiasat satu persatu,

2 orang malang kena peluru

Terus dirawat ketika itu.





Setelah hari hampirlah petang

Sibuklah kelihatan kapal-kapal terbang,

Memunggah orangnya pergi dan datang

Sehari semalam berulang-ulang.





Selang beberapa hari kemudian

Barulah kita dapat perkhabaran,

Di padang terbang Tapah diberitakan

Tiga puluh mayat telah diturunkan.





Di samping itu diberitakan pula

Selori penuh haversek senjata,

Tiga lori mayat sama dibawa

Berlori-lori pula patah dan luka.





Ke seluruh tempat pecahlah khabar

Biarpun berita disekat ke luar,

Tembelang penjajah telah terbongkar

Padanlah dengan cakapnya yang besar.





Rakyat ramai merasa gembira

Dengan kejayaan gagah perkasa,

Menambah lagi yakin percaya

Perjuangan kemerdekaan pasti berjaya!

---

catatan: 2 perajurit Pasukan Hang Jebat yang mendapat luka itu ialah Pakcu Duwi dan Rosli.

Dicatat oleh Mat Amin pada 5:23 AM

Label: perjuangan kemerdekaan, pertempuran, puisi, Rejimen Ke-10 TRM 1 ulasan:

Abesa007 berkata...

salam, saya jumpa blog saudara di Amir Muhammad, menarik terutamanya entry Sungai Sekam.





4) BERTEMPUR DENGAN ASKAR AUSTRALIA DI BUKIT CHEMPEDAK

BERTEMPUR DENGAN ASKAR AUSTRALIA DI BUKIT CHEMPEDAK


Askar Australia adalah antara askar komanwelth yang dibawa kaum penjajah British ke Malaya. Mengikut catatan 8 batalion askar Australia telah dikerahkan untuk mempertahankan kekuasaan British di Malaya. Pasukan komanwel ini dipropagandakan sebagai handal bertempur, banyak pengalaman, pernah menegakkan jasa dalam Perang Dunia Kedua dan lain-lain oleh penjajah British. Akan tetapi hakikat mereka sebagai tentera upahan penjajah terbongkar apabila berhadapan dengan pasukan tentera rakyat yang berjuang untuk rakyat dan tanah air. Senjata moden mereka tidak dapat menundukkan perajurit tentera rakyat yang hanya menggunakan persenjataan yang amat sederhana atau ketiggalan zaman.

































Perajurit Rejimen Ke-10 sedang berlatih militeri







Pertempuran Bukit Chempedak berlaku pada 8 Julai 1949 antara pasukan askar Australia penjajah British dengan pasukan Rejimen Ke-10. Ketika pertempuran ini meletus, sebahagian perajurit Rejimen Ke-10 belum memiliki senjata api, manakala yang ada senjata pula pelurunya amat terbatas.



Perlu juga dijelaskan bahawa sebelum pertempuran tersebut, iaitu pada 7 Julai, para perajurit Rejimen Ke-10 sudah semalaman tak tidur kerana mengadakan perhimpunan massa merayakan Barisan Tani Malaya. Barisan Tani Malaya ketika itu telah diharamkan oleh kaum penjajah British dalam Undang-undang Darurat 1948, tapi Rejimen Ke-10 meneruskan perjuangannya, menyusun semula cawangan-cawangannya dan melancarkan berbagai bentuk perjuangan.



Dalam pertempuran ini, Abdullah C.D. telah merancangkan taktik perang gerila hutan yang hidup dan lincah iaitu bertahan, berundur, menyerang dan imbusying (serang hendap). Walau bagaimanapun, taktik imbusying tak dapat dilakukan kerana musuh tidak melaui jalan tersebut.



Berikut adalah catatan Abdullah C.D. berkenaan pertempuran di Bukit Chempedak yang dimuatkan dalam Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua: PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10, terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD), 2007.





Pertempuran Bukit Chempedak



Aktiviti Kompeni A mengadakan perayaan menyambut ulang tahun kedua Barisan Tani Malaya itu telah diketahui oleh 4 orang hantu penjajah. Kerana mendapat maklumat yang terperinci, penjajah telah menghantar dua platun askar Australia masuk hutan menyusuri jalan pulang Kompeni A. Walau bagaimanapun, kedatangan musuh itu telah diketahui oleh massa. Mereka cepat-cepat membuat laporan kepada regu penyusun massa yang bertugas di kampung. Regu penyusun massa pula membuat laporan kepada Kompeni A.



Sungguhpun kawan-kawan mengantuk kerana semalaman tak tidur, tapi kami sentiasa mengambil berat soal pengawasan. Saya mengatur satu seksyen kawan yang diketuai oleh Majid berkawal di depan. Selaras breengun dikhaskan untuk seksyen yang berkawal tersebut.



Pada pagi 8 Julai, musuh tiba di depan gard, kawan-kawan yang berkawal di depan melakukan pertempuran dengan gagah berani. Seluruh kompeni terjun ke dalam pertempuran.



Pertempuran Bukit Chempedak agak kusut kerana musuh berkedudukan inisiatif manakala kita berada di pihak yang pasif. Setelah bertempur selama kira-kira 20 minit, sejumlah musuh telah mati atau luka-luka, akan tetapi mereka terus mendesak kami dari beberapa jurusan. Kerana keadaan medan pertempuran tidak menguntungkan, saya ambil taktik berundur dulu.



Saya arahkan kompeni berundur di samping seregu kawan bertahan untuk memberi peluang berundur kepada kompeni. Sebaik saja kompeni terlepas dari garisan pertempuran, barulah mereka berundur secara teratur. Semua kawan selamat dalam pertempuran itu. Barang-barang juga dapat diundurkan. Akan tetapi ada sedikit ubat yang kami rampas dalam pertempuran di Tekai Estet tercicir. Kami berkumpul di suatu tempat tak jauh dari medan pertempuran untuk mengatur rancangan baru.



Tatkala seluruh pasukan telah berkumpul, saya menyampaikan rancangan baru. Rancangannya ialah: 1 platun saya pandu sendiri menyerang balas musuh yang sedang berada di dalam kem dari belakang dan satu seksyen lagi diketuai oleh Johan dan Manap menghendap di jalan pengunduran musuh. Sebahagian kawan saja yang dipilih bertempur. Kompeni berehat di suatu tempat menunggu berita pertempuran kami.



Musuh yang berjaya menawan kem kosong itu menyangka mereka telah mencapai kemenangan besar. Ketika kami tiba di tepi kem untuk melancarkan serangan, kami nampak mereka sedang riuh rendah, ada yang sedang merosakkan barang-barang yang ditinggalkan, ada yang sedang memecahkan kawah, tin dan lain-lain di dapur dan ada pula yang sedang berpekik-pekik. Musuh tidak menyedari yang kami sudah tiba untuk menghentam mereka.



Ketika musuh sedang mabuk dengan kemenangan itu, kami melepaskan tembakan serentak. Kami nampak beberapa orang musuh rebah. Seorang askar orang putih yang sedang memecahkan kawah besar tersungkur ke dalam kawah tersebut.



Musuh menjadi kelam kabut dan kucar kacir di bawah pukulan tiba-tiba itu. Mereka lari ke luar dengan meninggalkan rakan-rakan mereka yang mati di situ. Akan tetapi, sayangnya musuh tidak keluar mengikut jalan. Jadi regu Johan dan Manap hilang peluang bertempur. Dalam pertempuran itu kami berjaya membunuh 14 orang musuh. Seorang perajurit Kompeni A mendapat cedera.



Pertempuran ini adalah pertempuran bertahan yang pertama dilakukan pasukan Rejimen Ke-10 yang baru saja didirikan melawan askar Komanwel yang mendapat latihan khas dengan senjata yang mutakhir. Taktik bertahan - mundur - menyerang yang digunakan dalam pertempuran itu mencerminkan pasukan Rejimen Ke-10 mampu menghadapi askar penjajah, berkembang dan mendewasa. Pegawai British juga menganggap pertempuran itu sebagai suatu pertempuran yang istimewa. Penjajah British membuat kesimpulan bahawa pasukan Tentera Pembebasan yang disebutnya sebagai "pengganas komunis" ini dilatih oleh tentera Jepun.



Kemenangan pertempuran itu amat memberangsangkan kawan-kawan dan massa rakyat. Massa datang menyampai tahniah dan hiburan kepada kami. Pemuda pemudi yang memohon masuk tentera semakin bertambah. 4 orang hantu yang melakukan pengintipan sehingga pertempuran itu berlaku telah ditangkap oleh regu penyusun massa Rejimen Ke-10 dengan bantuan massa rakyat. Keempat-empat hantu itu dihukum sesuai dengan dosanya.

Dicatat oleh Mat Amin pada 6:54 AM

Label: perjuangan kemerdekaan, pertempuran, Rejimen Ke-10 TRM 1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Adakah Bukit Cempedak dekat Paya Pasir dalam Daerah Maran sekarang ?

Tahniah Pak Amin membongkar sejarah perjuangan bersenjata Kemerdekaan Tanah Air. Kami tidak mendapat berita ini daripada pihak Malaysia! Kenapa ??



SemanTan



9 Jun 2010 7:02 PM

Catat Ulasan



Thursday, February 3, 2011

3) KAWAN PAKLONG, PERAJURIT TUA ,KG BELUM,MUSANG REJ 12


KAWAN PAKLONG, PERAJURIT TUA BERSEMANGAT WAJA



Di dalam pasukan Rejimen Ke-10, Kawan Pak Long tergolong kawan yang lanjut usia, berasal dari kelas buruh, menyertai revolusi dalam masa perang Dunia Kedua iaitu Perang Anti-Jepun. Selama puluhan tahun, beliau bekerja dan berjuang dengan penuh taat setia kepada usaha perjuangan untuk kemerdekaan dan pembebasan nasional.



Dalam memoirnya, Abdullah C.D. mengenang Kawan Pak Long sebagai Perajurit Tua Yang Bersemangat Waja:



“Kawan Pak Long, nama sebenarnya Hamzah berasal dari suku bangsa Banjar dari Sabah. Sebelum Perang Dunia Kedua beliau berpindah ke Semenanjung, menetap di Kelantan. Beliau adalah di antara ribuan pejuang kemerdekaan yang cintakan kemerdekaan bangsa dan tanah air. Apabila fasis Jepun mencerobohi Malaya, beliau menyertai Pasukan TAJRM, berkhidmat dalam satu platun Melayu di Gua Musang menjalankan tugas menyusun massa, membangkitkan kesedaran massa berjuang melawan fasis Jepun. Ketika puak-puak penyamun Kuomintang bermaharajalela di Ulu Kelantan, Pak Long menyertai kompeni TAJRM melakukan pertempuran yang gagah berani untuk menghapuskan puak-puak penyamun tersebut. Sehingga puak-puak penyamun itu ditumpaskan sepenuhnya.



Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan undang-undang darurat, mengharamkan semua pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan dan melakukan penindasan berdarah ke atas golongan patriotik demokratik. Pak Long dan keluarganya sekali lagi memanggul senjata untuk melawan penjajah British. Beliau berkhidmat dalam satu platun kawan-kawan Melayu di Gua Musang. Pada bulan Julai tahun 1948, Pak Long ikut serta dalam serangan besar-besaran menawan Pekan Gua Musang. Pasukan TPNM berjaya menduduki pekan itu selama 2 minggu.



Pada bulan Mac 1950, Pak Long ikut serta dalam Pertempuran Sungai Semur, anak Sungai Galas yang menang. Dalam pertempuran itu Kompeni Ke-7 dari Rejimen Ke-12 telah menewaskan satu pasukan tentera penjajah British, di antaranya 17 orang ditembak mati, termasuk seorang ketua polis dan seorang Koperal; 2 orang dicederakan; 14 orang ditawan hidup-hidup di antaranya termasuk seorang leftenan, seorang pegawai pelatih dan 2 orang sarjan; 7 orang lagi tentera penjajah berjaya melarikan diri. Kompeni tersebut berjaya merampas 34 pucuk senjata termasuk sepucuk meriam katak, 4 pucuk mesin gan ringan, 12 pucuk stengun, 14 pucuk raifel, sepucuk carbine, sepucuk pistol buatan Kanada dan berbagai jenis peluru serta alat kelengkapan militer lainnya.



Pak Long pernah berkhidmat dalam regu penyusun massa di Kampung Belum, sebuah kampung yang terletak di kawasan pendalaman hutan di kawasan Gerik, Ulu Sungai Perak. Kampung Belum adalah sebuah basis anti-British yang kukuh. Pada bulan Februari 1952, penjajah British dengan kejamnya menghantar askar dari beberapa jurusan dengan dikoordinasikan dengan pasukan payung terjun untuk memusnahkan kampung tersebut. Dalam operasi kejam penjajah itu, semua penduduk digiring keluar ke Gerik. Harta benda massa termasuk rumah dan lain-lain di bakar hangus, pokok tanaman ditebang dan binatang ternakan ditembak mati. Ketika peristiwa tersebut berlaku, pasukan TPNM berada di seberang bukit. Kerana kekuatan musuh beratus kali ganda lebih besar, mereka tidak dapat memberikan bantuan. Demikianlah Kampung Belum yang aman damai menjadi padang jarak padang tekukur.”



Pada penghujung tahun 1954, Kawan Pak Long ditugaskan ke dalam pasukan Rejimen Ke-10. Walaupun usianya sudah lanjut, tapi pendirian revolusionernya angat teguh, kepercayaannya kepada hari depan perjuangan tak pernah goyang walau dalam keadaan macam mana sulit sukar sekalipun – tak takut langit akan runtuh, tak takut bumi akan pecah.



Pada ketika gelombang revolusi menempuh pasang surut dalam tahun-tahun 1950-an, di dalam suatu rapat tentera Kawan Pak Long telah tampil ke depan dengan semangat heroism revolusioner mempelopori angkatan muda di dalam pasukan menyatakan keazaman pasti mempertahankan perjuangan bersenjata sampai akhir, selamanya tidak akan lemah semangat dalam perjuangan kaum penjajah dan kaum reaksioner yang mengkhianati bangsa dan tanah air biar dalam keadaan bagaimana sukar sekalipun.



Di dalam bukunya REJIMEN KE-10 DAN KEMERDEKAAN, Ibu Suriani Abdullah menulis:





“Selepas perundingan Baling, iaitu antara tahun 1956 – 1960, penjajah British telah memperhebatkan perang sarafnya di Malaya dan juga di kawasan sempadan. Revolusi negara kita mengalami masa surut. … “



“Akan tetapi keadaan di Rejimen Ke-10 agak berlainan. Kawan-kawan Rejimen Ke-10 tetap memegang kejat-kejat senapang di tangan, tetap mengibarkan panji merah perjuangan bersenjata dan tidak seorangpun yang mahu meninggalkan revolusi. Sampai-sampai kawan-kawan yang berusia dan lemah badan pun berazam meneruskan perjuangan bersenjata. Pak Long yang sudah berumur berkata: ‘biar hancur di dalam hutan tetap mempertahankan perjuangan bersenjata’”.



Dalam masa panjang, Kawan Pak Long pernah bertugas sebagai pengawal kawan-kawan pimpinan. Beliau menjalankan tugas dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas, membuat semua kerja-kerja revolusi dengan penuh semangat bertanggungjawab, bersungguh-sungguh dan teliti dan mencapai hasil-hasil yang memuaskan.



Pada tahun 1960, kerana keperluan kerja-kerja Parti, Kawan Pak Long pernah dihantar bekerja bawah tanah selama beberapa bulan. Kemudian pada tahun 1968, beliau sekali lagi dihantar ke front bawah tanah, pernah ditangkap pada tahun 1969 oleh kerajaan reaksioner dan dipenjarakan. Di dalam penjara, Kawan Pak Long terus berjuang dengan teguh tak berganjak, tidak terpengaruh oleh tipu helah musuh dan tidak tunduk pada kekejaman-kekejaman musuh. Pada tahun itu juga, beliau dibebaskan dan meneruskan kerja bawah tanah.



Pada 2 Januari 1971, Kawan Pak Long meninggal dunia kerana sakit dalam usia 70 tahun lebih.



Seperti yang diajarkan oleh guru agung revolusioner Mao Zedong: “Tentera ini mempunyai semangat majus terus pantang mundur. Ia akan menaklukkan semua musuh dan sekali-kali tidak akan ditundukkan oleh musuh. Baik dalam keadaan betapa sulit dan beratnya, selama masih ada seorang yang tinggal, ia akan terus bertempur”. Kawan Pak Long adalah seorang putera terpuji tanah air yang mempunyai cirri-ciri di atas. Beliau telah bertempur dan berjuang hingga akhir hayat demi usaha kemerdekaan dan pembebasan rakyat dan tanah air.



Hidup mu berjasa, matimu mulia!



Semoga Allah meletakkan roh Allahyarham di kalangan orang-orang yang dikasihi Allah.




FAKTA-FAKTA: GEROMBOLAN PENYAMUN KUOMINTANG

CERITA SURIANI BERKENAAN PENYAMUN KUOMINTANG

ABDULLAH CD BERUNDING DENGAN PENYAMUN

KAMPUNG BELUM MANGSA KEKEJAMAN




Label: Pahlawan Kemerdekaan, Rejimen Ke-10 TRM

Selasa, 2011 Februari 0162 TAHUN SILAM: PENUBUHAN TPNM

0 ulasan

Penubuhan Tentera





Hari ini 62 tahun yang silam – Parti Komunis Malaya telah merasmikan penubuhan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) dan

2) GAMBAR REVOLUSI MESIR 2011





























1) Nik aziz jawab tulisan mahadhir

UMNO Bina Masjid? Si Munafik, Abdullah Ubai Lebih Dulu Bina Masjid Di Mekah - TGNA




Share44

Dr Mahathir seorang yang bijak - Nik Aziz



KOTA BHARU, 3 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijaksanaan beliau itu digunakan untuk Islam.



"Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir."



Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam mengurangkan keislaman mereka.



"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz dalam tulisannya itu.



Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya.



Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir



Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.



Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.



Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24



Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.



Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.



Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.



Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.



Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)



Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.



Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?



Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?



Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.



Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.



Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.



Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)



Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.



Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!



Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.



Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?



Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?



Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.



Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?



Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?



Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?



Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.



Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!



Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.



Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.



Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.



Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?



Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.



Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)





HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.







KISAH MASJID DHIRAR



Gambar: Tapak masjid dhirar yang bersebelahan dengan Masjid Quba’ yang ditandai dengan beberapa biji batu besar.



Sebelum datangnya Nabi SAW ke Madinah ada seorang tokoh Khazraj bernama Abu Amir Ar-Rahib yang telah memeluk Nasrani pada zaman jahiliyah dan mempelajari selok belok agama berkenaan sehingga dia digelar ar-Rahib (pendeta).



Setelah hijrahnya Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin, kemudian kemenangan umat Islam dalam Perang Badar, Abu Amir merasa kecewa. Dia merasa sakit hati lalu keluar dari Madinah menuju ke Makkah menghasut kaum musyrikin agar menuntut bela atas kekalahan mereka dalam Perang Badar.



Dalam Perang Uhud, Abu Amir menyertai pasukan musyrikin Makkah. Walaupun umat Islam kehilangan 70 pejuang yang mati syahid, umat Islam hakikatnya bertambah kuat. Kesilapan yang berlaku dalam Perang Uhud menjadi pengajaran buat semua.



Akhirnya Abu Amir lari ke Damsyik menghadap Heraclius Kaisar Romawi meminta bantuan bagi menghancurkan kekuatan Islam. Raja Rom memberi harapan kepadanya bahawa Madinah pasti diserang. Lalu Abu Amir berutus surat kepada kaumnya daripada kalangan Ansar yang berjiwa munafik tentang khabar semasa.



Maka atas saranan Heraclius Kaisar Romawi maka disepakatilah untuk membangun tempat untuk memantau jamaah kaum muslimin, dan supaya tidak mencurigakan bagi pergerakan mereka, maka dibangunkanlah sebuah masjid untuk memantau kegiatan mereka.



Beberapa ahli tafsir menjelaskan seramai 12 orang munafik yang menyertai pembinaan masjid dhirar ini diketuai Abdullah Ubai. Setelah siap, mereka mengundang Rasulullah SAW untuk hadir bersolat di masjid ini, sebagai tanda restu baginda. Baginda SAW ketika itu menolak kerana dalam perjalanan menuju Perang Tabuk.



Dalam perjalanan pulang, baginda diajak sekali lagi untuk ke masjid berkenaan. Ketika itulah turun wahyu yang melarang baginda dan rombongannya singgah dan bersolat di dalamnya.



Menurut al-Quran surah at-Taubah ayat 107 (yang beriringan dengan ayat berkenaan Masjid Quba’), tujuan pembinaan masjid dhirar ada empat iaitu : membahayakan keselamatan orang Islam, mengukuhkan keingkaran puak munafik, memecahkan perpaduan orang Islam, dan sebagai tempat musuh mengintip umat Islam.



Firman Allah SWT :





“Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata : “Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata”. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta”.(QS at-Taubah/ 9 :107-108)



Sudah tentu sesudah itu Rasulullah SAW membatalkan hasrat menuju ke masjid berkenaan. Bahkan baginda memerintahkan agar umat Islam membakar masjid berkenaan. Orang yang diarah baginda ialah Malik bin Dukhsyum dan Ma’an bin Adi atau Ashim bin Adi.



Mereka yang menerima arahan tersebut berangkat ke Quba’ dan setiba di sana mereka mengumpul daun-daun dan pelepah kurma yang sudah kering sebagai bahan bakar bangunan masjid berkenaan. Mereka membakarnya pada waktu antara maghrib dan isyak.


 
masjid dhirar