Daim Zainuddin kembali aktif
memberikan komen tentang keputusan pilihanraya 13 yang baru lalu. Daim yang
pada awalnya meramalkan bahawa BN akan hanya mengekalkan kerajaan NS, Pahang dan
Johor sahaja kini jelas tidak menjadi. Beliau tidak lagi dianggap ‘dukun’ dan
‘pawang’ yang hebat seperti yang dianggap oleh ramai sebelum PRU yang lalu.
Daim berkata jika orang bertanya,
saya akan meminta Najib diketepikan kerana kegagalannya mempertahankan
kewibawaan BN yang hanya mendapat 133 kerusi sahaja. Daim beranggapan bahawa semua
penasihat Najib yang ramai-ramai itu sepatutnya dipecat kerana kegagalan itu.
Daim mengakui bahawa beliau telah menasihatkan supaya Najib jangan pedulikan kaum
Cina dalam siri kempen beliau (Najib)
kerana kaum Cina sudah menunjukkan keengganan mereka menyokong BN.
Daim selanjutnya berkata apa yang
sepatutnya Najib tumpukan ialah kepada kawasan-kawasan yang BN telah tewas
dengan tipis di samping menjaga kawasan-kawasan yang BN telah menang dalam PRU
2008 dahulu. Bagi Daim adalah membazirkan wang sahaja memberikan tumpuan
terhadap kaum Cina kerana mereka sudah membelakangkan BN dengan jelas.
Pandangan Daim ini jelas-jelasnya
menunjukkan betapa kuatnya jiwa perkauman beliau dan jika inilah nasihat yang
diambil oleh Najib atau sesiapa pun maka tidak salahlah tanggapan banyak pihak
yang BN itu adalah parti yang rasis. Itulah sebabnya saya selalu menganggapkan yang BN sudah ketinggalan
zaman bagi rakyat dan negara ini. Pandangan Daim itu menambahkan bukti lebih
jelas lagi yang BN itu adalah parti yang tidak mampu memimpin rakyat
keseluruhannya tetapi hanya memimpin sebahagian daripada kaum Melayu dan Bumiputra
sahaja.
Tetapi yang paling menarik, ialah
perbezaan pandangan Dr Mahathir yang mahukan Najib berhenti jika keputusan PRU 13
yang baru selesai ini lebih buruk dari keputusan PRU12 yang dipimpin oleh
Abdullah Badawi pada 2008 dahulu. Jika Daim mahukan Najib bersara dan
memberikan tugas berat ini kepada Muhyiddin, Mahathir sebaliknya mahukan Najib
kekal kerana dalam UMNO sudah tiada lagi pilihan dalam UMNO lagi.
Pandangan kedua-dua ‘warlords’
UMNO ini berbeza dan bagi saya kedua-dua mereka ini tidak perlu lagi memberikan
nasihat kepada pucuk pimpinan UMNO. Pasangan kembar Mahathir/Daim inilah yang
menjadi penyebab besar kenapa keadaan UMNO itu menjadi keadaan sebegini
sekarang ini. Mereka berdua inilah yang menyumbang kepada melekatnya stigma
rasuah dan salahguna kuasa dalam UMNO itu.
Lagipun tidak ada sesiapa yang
berada dalam pimpinan UMNO sekarang menerima apa-apa pandangan dari kedua-dua ‘warlords’
UMNO ini. Pertamanya, kedua-dua ini mempunyai agenda peribadi sampai ke mati.
Keduanya, tidak ada siapa dalam barisan kepimpinan UMNO itu layak menerima
nasihat lagi kerana bagi pandangan ramai, mereka sendiri tidak akan dapat dan
berupaya untuk memperbaiki keadaan UMNO itu lagi.
Pendeknya, penasihat-penasihat ini
tidak layak memberikan apa-apa nasihat kepada mereka yang tidak perlu
dinasihatkan lagi. Ia akan menjadi seperti si buta menasihati si pekak sahaja.
Sebaliknya kedua-dua pihak ini perlukan nasihat, baik Daim/Mahathir mahupun
keseluruhan kepimpinan MT UMNO itu.
Nasihat untuk kedua-dua belah
pihak ini ialah supaya mereka membuka minda dan memberikan laluan kepada pihak
yang ketiga yang berpengalaman untuk menyusun sebuah negara yang baru dalam
semua bidang bagi menjaga kestabilan negara dalam jangka panjang.
Dalam keadaan sebegini rupa
adalah tidak ‘viable’ bagi mana-mana pihak yang sedang bertentangan untuk
mendapatkan mandat kerana di pihak yang membangkang pun masih terlalu banyak isu
yang perlu mereka selesaikan. Bagi pendapat saya mewujudkan pentadbiran dalam
sebuah negara baru yang disusun dari mula adalah amat penting.
Kita bukannya tidak ada
pengalaman membaharui negara ini. Ia telah dilakukan oleh pimpinan kita pada
selepas masalah bertembungan di antara kaum berlaku pada 1969 dahulu. Apa yang
berlaku pada 1969 dahului serupa dengan apa yang berlaku sekarang. Perbezaannya
hanyalah dalam kemelut sekarang ia tidak akan membabitkan pertumpahan darah
di antara kaum kerana semua kaum tertumpu untuk melihat sebuah negara yang
bersih daripada rasuah dan berbagai-bagai elemen buruk.
Masalah yang sedang kita hadapi
sekarang bukan boleh diselesaikan dengan kumpulan ini dapat menumpaskan
kumpulan yang itu. Kalau masih lagi kita memikir dalam kotak seperti yang lazim
kita lakukan sekarang ini, maka tidak akan ada perubahan yang berlaku. Masalah
akan tetap sama kerana dari segi sikap dan persepsi masing-masing yang sedang
bertempur politik tidak ada banyak perbezaan dan jika salah satu daripada dua pihak
yang mendapat mandat sekali pun.
Masalah yang asas bagi kita untuk
mendapatkan siasah yang betul dan menepati piawaian sebagai sebuah negara
demokrasi yang tulen. Apabila seseorang itu sudah matang pemikirannya mereka
akan sedar bahawa berdemonstrasi dan berhimpun dengan hiruk pikuk itu tidak
akan jumpa penyelesaiannya. Kita anggap sahaja negara kita sebagai negara baru
dan biarlah mereka yang mempunyai ‘magnanimity’ yang tinggi memulakan sebuah
negara yang seolah-olah sebuah negara yang baru merdeka.
Tidak payah kita memaki hamun
di antara satu dengan lain dengan menggunakan bahasa yang kesat seperti manusia
yang tidak mempunyai emak bapak. Mereka yang terlalu biasa dengan maki hamun
itu adalah daripada orang yang terlalu kosong dan fakir jiwa mereka.
Jiwa yang panas itu adalah jiwa
manusia yang tidak aman dan tenteram pemikiran mereka. Ini merupakan pandangan
saya dan saya tidak mampu untuk menulis pemikiran orang lain.
Saya tidak pernah menegah orang
lain berfikir macam mana sekali pun, maka saya juga tidak mahu berkelahi oleh kerana
pemikiran saya pula. Hormati pandangan saya seperti saya menghormati pandangan
orang lain. Saya tidak pernah memaki hamun mereka yang tidak sealiran pemikiran
dengan saya. Kalau saya luahkan rasa tidak bersetuju dengan pandangan mana-mana
pihak pun tidak pernah saya memaki hamun dan menggunakan bahasa yang kotor
untuk menundukkan pihak yang tidak sealiran dengan saya itu.
Kita sedang hidup pada zaman
kemajuan dan adalah penting bagi kita menilai cara kita berfikir samada sesuai
dengan keadaan masa dan zaman sekarang ini.
Memaki hamun seorang yang mempunyai pemikiran yang berbeza dengan kita itu hanya lazim kita dengar berlaku pada zaman batu dahulu sahaja.
Memaki hamun seorang yang mempunyai pemikiran yang berbeza dengan kita itu hanya lazim kita dengar berlaku pada zaman batu dahulu sahaja.