Wednesday, October 23, 2013

kalimah Allah

Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia Jadi Bahan Tertawa Dunia -


Allah bermaksud tuhan, semua jenis tuhan,” kata intelektual Islam Amerika

Intelektual Islam Amerika Syarikat terkemuka turut sepakat dalam kritikan terhadap larangan penggunaan kalimah Allah di Malaysia dan mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu merupakan satu keputusan politik.

Dalam satu wawancara bersama radio BFM, Reza Aslan (gambar) menegaskan, penganut Kristian menggunakan kalimah Allah yang membawa maksud Tuhan dalam bahasa Arab dan ianya bukanlah satu ancaman kepada Islam.

"Pengganas Taliban meletakkan bom bersama Al-Quran dan membawanya ke sebuah masjid di Pakistan pada Hari Raya Korban. Inilah ancaman kepada Islam," katanya.

Minggu lalu, seorang Gabenor di Afghanistan terbunuh selepas sebutir bom yang diletakkan berhampiran Al-Quran meletup semasa beliau sedang menyampaikan ucapan Aidiladha.


Reza yang menulis buku “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” hairan dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Malaysia kerana kalimah Allah merupakan istilah merujuk kepada Tuhan, “sebarang jenis Tuhan”.

"Allah daripada perkataan Al-Ilah. Itulah asal perkataannya. Al-Ilah bermaksud Tuhan. Allah bukan nama Tuhan. Sesiapa yang fikir Allah adalah nama Tuhan bukan sahaja silap tetapi bertentangan dengan Al-Quran itu sendiri.

"Ini bukan satu interpretasi. Ia fakta sejarah,"
katanya.

Minggu lalu, tiga panel Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya menetapkan "kalimah itu bukan perkara asas dalam kepercayaan dan amalan Kristian serta penggunaannya akan mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam".

Keputusan itu mencetuskan perdebatan di antara sarjana sementara masyarakat Islam antarabangsa melahirkan rasa hairan atas kecelaruan yang terjadi.

Reza turut tertawa kecil mengenangkan keputusan mahkamah sambil berkata, "bagaimana anda boleh membacanya dan tidak tertawa?"

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Reza dalam kiriman Twitter menulis, "Bagaimana Malaysia boleh menjadi bodoh? Di Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, saya rasa Amerika telah melarang perkataan 'twerking' kepada mereka yang berumur 17 tahun".

"Larangan itu bukan sathaja menyebabakan penganut Kristian tidak boleh menggunakan kalimah itu tetapi turut memberi ancaman kepada Islam.

"Rakyat Malaysia (orang Islam) sangat bodoh jika mereka mendengar penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, mereka pula yang menjadi Kristian. Maksud saya kebodohan kenyataan itu terserlah," katanya dalam temubual itu.

Reza mengulangi pendirian sarjana dan penulis Islam bahawa penganut Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad merujuk Tuhan mereka sebagai Allah.

"Mengapa? Sebab mereka berbahasa Arab. Bukannya kerana kalimah Allah merujuk spesifik kepada Tuhan tetapi ia dalam bahasa Arab yang merujuk kepada Tuhan. Ia bukan satu pandangan. Ia fakta,"
katanya.

"Jika ada Imam yang memberitahu Tuhan mempunyai nama. Mereka sesat. Allah bukanlah nama Tuhan. Umat Islam tidak memiliki kalimah itu."

Reza yang merupakan Profesor sejarah Islam berkata keputusan Mahkamah Rayuan telah menjadikan Malaysia bahan tertawa serata dunia.

"Ini melihatkan umat Islam di Malaysia perlu dilindungi oleh mahkamah kerana mereka tidak mampu berfikir sendiri. Kami mentertawakan anda.

"Ia satu pencabulan kepada kemodenan, Perlembagaan dan demokrasi sebuah negara Islam seperti Malaysia," katanya. -TMI

ULASAN GB

Bukankah GB sudah utarakan sebelum ini bahawa pengharaman penggunaan kalimah ALLAH oleh masyarakat bukan-Islam hanya akan menjadi kita bahan tertawa masyareakat dunia.

Kedua, apa yang dinyatakan oleh Reza Aslan di atas menyamai apa yang dinyatakan oleh Raghib Al-Isfani, seorang pakar bahasa Arab yang terkenal, iaitu kalimat ALLAH itu adalah perkembangan dari kalimat "AL-ILAH" dan kalau jamak, orang Arab menggunakan istilah "AL-ALIHAH". Jadi ALLAH itu merujuk kepada Zat Yang Maha Berkuasa yang mana kesemua fikiran murni tanpa mengira apa agamanya, akan sampai kepada kesimpulan bahawa dari tuhan-tuhan dan dewa-dewa yang mereka katakan banyak itu, hanya satu jua Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Esa dan Maha Mulia. (rujuk HAMKA, Tafsir AL-Azhar, Jilid 1 hal 69).

Inilah yang difirmankan oleh Allah di dalam Al-Quran:


Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? Al-Ankabut:61

Ketiga, ramai umat Islam Malaysia beranggapan kalimat ALLAH itu adalah suci, justeru itu dipertahankan kalimat itu dan tidak dibenarkan orang lain menggunakannya. Sedangkan kita umat Islam tidak sepatutnya mensuci dan menyembah kalimat ALLAH kerana kita tidak menyembah perkataan "ALIF LAM LAM HA" itu (malah di dalam bangsa kita, ada yang menjadikan kalimat ALIF LAM LAM HA itu sebagai tangkal azimat). Sedangkan kita sepatutnya mensuci dan menyembah ZAT Yang Maha Berkuasa yang dipanggil ALLAH. Jika kita mensuci dan menyembah ALIF LAM LAM HA, itulah syirik namanya!

Keempat, Islam yang sampai ke tanah air kita pun, melalui apa yang tertulis di atas Batu Bersurat yang ditemui di Terengganu, yang ditulis di dalam tulisan Jawi kira-kira tahun 1303 Masehi, orang Melayu ketita itu meneyebut ALLAH sebagai Dewata Mulia Raya.



Kelima, sekalipun ada ulamak menyatakan kalimat ALLAH itu adalah lafaz Jalallah, iaitu lafaz yang amat tinggi yang tidak boleh ditafsir dengan sembarangan tafsiran, namun ia tetap tidak boleh menjadikan kalimat itu sebagai "bahan sembahan". Yang perlu dan wajib disembah ialah hanyalah Zat Yang Maha Berkuasa dan Maha Agong yang disebut ALLAH. Ramai yang terperangkap oleh syirik khafi (halus) di sini.

Demikian, keterangan-keterangan yang dapat GB kemukakan buat ketika ini untuk memenuhi permintaan beberapa rakan berhubung polemik yang berlaku menyentuh kalimat ALLAH.


No comments:

Post a Comment