Friday, January 28, 2011

4) Siti Mariam binti Idris (alias Atom)




Siti Mariam binti Idris (alias Atom)



(Dilahirkan di Temerloh, Pahang, Malaya pada tahun 1927)







Emak



Emak saya telah menyertai gerakan revolusi sejak zaman pendudukan Jepun lagi. Dia menyokong Tentera Anti-Jepun PKM, juga ikut serta dalam Liga Anti-Jepun. Pada suatu hari, emak beritahu kami dia hendak pergi mesyuarat. Dia tidak boleh beritahu sesiapa pun, termasuk kami, dia hendak mengikuti mesyuarat apa. Ini rahsia, kata emak, kalau tidak dia mungkin dibunuh.



Tidak perlu bimbang, katanya lagi, emak ada meninggalkan susu dan ikan sardin. Dia menyembunyikan makanan-makanan itu di bumbung rumah, takut diketahui orang. Orang kampung masa itu amat miskin. Dia membeli makanan tersebut supaya kami tidak kelaparan ketika dia tidak ada di rumah. Kehidupan pada zaman pendudukan Jepun amat susah. Harga beras dan lain-lain amat mahal. Orang kampung kadang-kadang tidak ada makanan, terpaksa makan sekoi dengan air panas. Emak selalu menasihatkan kami memelihara hubungan yang baik dengan orang kampung, menolong orang yang memerlukan pertolongan. Ini kerana semua orang hidup dalam azab sengsara.



Emak seorang baik. Dia beritahu saya, “Emak sudah dimasukkan dalam senarai hitam, mungkin terpaksa masuk ke hutan. Tetapi jangan bimbang, kalau tidak ada makanan, makanlah apa yang boleh dimakan.”



Ketika tentera Jepun mencerobohi, saya berumur 14 tahun. Saya tidak pernah pergi ke sekolah, adik-beradik ramai. Ayah sudah meninggal dunia. Emak menyara keluarga seorang diri. Ayah meninggal dunia semasa saya berumur 10 tahun. Ketika berumur 12 tahun, saya mula datang haid. Saya kahwin pada umur 13 tahun dan tidak lama kemudian melahirkan seorang anak.





Pertubuhan-pertubuhan Progresif Demokratik Melayu



Zainab Mahmud dan Shamsiah Fakeh adalah orang yang paling awal datang ke kampung kami setelah Jepun menyerah kalah. Zainab adalah adik Tun Minah. Kemudiannya, Musa Ahmad pun datang. Ertinya, komrad-komrad Abdullah CD sudah membawa gerakan demokratik ke kampung kami. Seterusnya, pertubuhan orang Melayu yang bersifat progresif dan revolusi seperti AWAS, API dan PETA pun ditubuhkan di dalam kampung, membentuk satu persekutuan yang amat kuat.



AWAS (Angkatan Wanita Sedar) adalah pertubuhan yang menyatukan kaum wanita. API (Angkatan Pemuda Insaf) adalah pertubuhan yang menyatukan kaum pemuda. AWAS dan API seumpama tangan kiri dan tangan kanan kepada PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Kami saling bantu-membantu dan sama-sama menanam padi. Duit yang diperolehi daripada penjualan padi digunakan untuk membeli barang-barang. Kaum wanita amat rajin dan cemerlang. Mereka mampunyai semangat Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Mereka adalah teladan komrad wanita dan amat membenci kaum penjajah.



Menyertai Pasukan Gerila



Masa itu kami telah mempelajari bahawa PKM adalah parti yang baik. Mereka berkhidmat demi kepercayaan mereka, rakyat dan negara. Begitulah keadaan masa itu. Sungguhpun bukannya faham sangat, saya meninggalkan anak kedua yang baru berumur sembilan bulan dan masuk ke hutan. Semasa jumpa saya, emak menangis, “Anakku meninggalkan anaknya sendiri begitu sahaja.” Biarpun begitu, dia tetap menyuruh orang memberikan air minum untuk saya.



Tidak, saya bukan dipaksa masuk revolusi. Saya sendiri yang benar-benar hendak ikut. Saya faham PKM parti baik. Ia berusaha demi cita-cita, rakyat dan negara. Tetapi masa itu, orang lain  Zainab, Shamsiah dan Musa (mereka semua anggota PKM) menyekat saya. Musa berkata kepada saya, “Saudari hidup di luar, masuk bahagian luar, kenapa hendak masuk ke hutan? Awak boleh jadi ‘kulit putih hati merah’ (ertinya saya boleh memelihara identiti orang biasa, tetapi berkhidmat kepada parti secara rahsia). Hidup dalam hutan amat susah, saudari boleh hidup dan kerja di luar.”



Tetapi saya tidak mahu. Saya takut lambat-laun saya akan ditangkap oleh tentera kerajaan. Maka saya minta persetujuan emak. Emak akhirnya setuju. Bahkan dia berjanji akan menjaga anak-anak saya. Masa itu saya sudah ada dua orang anak. Sayangnya, emak kemudiannya ditangkap oleh musuh.



Perkahwinan Saya



Saya masuk parti bersama-sama dengan suami saya. Tetapi pada tahun 1959, dia meninggalkan saya dan menyerah diri kepada kerajaan. Dia tidak tahan susah-payah. Kehidupan pasukan masa itu memang amat susah, tidak cukup makan, tidak pernah jumpa gula dan garam. Tetapi ini pun satu ujian, yang tahan dapat berjuang terus, yang tidak tahan akan pergi dengan sendirinya. Suami saya dan orang lain telah diberikan pendidikan parti yang sama yang mengajar kami keburukan penjajahan, kejahatannya serta macam mana dia mencelakakan rakyat, negara dan cita-cita kita. Suami saya dan orang lain telah menerima pendidikan parti, tetapi kenapa tidak dapat tahan susah-payah seperti orang lain? Sebenarnya, sebelum masuk hutan, dia telah pun diingatkan bahawa kehidupan di hutan amat menderita. Ketika kami bertempur di Padang Piun, dia melarikan diri. Masa itu dia sudah menjadi kader pimpinan. Tetapi dia tidak tahan susah. Ideologinya bermasalah.



Pendirian saya teguh. Saya tidak pernah jumpa dia lagi. Selepas itu, saya mendapat sepucuk surat daripadanya: “Min (nama timangan saya di luar), pergilah tanam padi! Jangan bimbangkan saya. Saya sudah balik ke kampung. Saya akan menjaga baik-baik anak-anak kita. Awak boleh terus tanam padi, kalau hendak terus berjuang, pergilah.”



Selepas itu, saya kahwin kali kedua. Tetapi perkahwinan ini tidak tahan lama juga. Dia orang Malaya, ayah kepada anak saya Rizal, dia seorang komrad juga. Pada mulanya kami saling tertarik, tetapi tidak lama kemudian hatinya berubah. Maka kami pun bercerai. Saya mulai hidup bebas. Kemudian, dia terkorban. Saya sudah tidak ingat di mana tempat dia mati. Kami ada dua orang anak. Sayangnya, salah seorang antaranya, mati terpijak periuk api musuh.



Selepas tahun 1963, saya berkahwin dengan Komrad Mamat. Saya tidak melahirkan anak dengan Mamat. Dia menganggap anak saya, Rizal, sebagai anak kandungnya. Sebenarnya, saya pernah hamil empat bulan, tetapi gugur. Masa itu saya terjatuh ketika menggalas barang berat.



Saya sendiri tidak menganggap kehidupan dalam hutan terlalu susah. Bagi saya tidak cukup makan adalah perkara biasa. Semasa di Malaysia, kami terpaksa minta makanan daripada Orang Asli. Mereka memberikan kami sayur dan ubi. Ini bukan masalah besar, ada pemimpin di sisi kami. Mamat adalah pembantu kanan dan pengawal pemimpin. Sejak tahun 1963, saya mula menjadi pembantu pemimpin. Saya tidak pernah merungut. Saya juga menjadi ketua seksyen. Kehidupan masa itu sibuk.



Sebelum masuk pasukan, ketika dalam kampung, saya cuma erti membaca sedikit Al-Quran. Setelah masuk parti, saya mulai belajar ABC. Pengalaman saya di dalam dan luar hutan jauh berbeza.





Perjalanan Jauh



Ingatan saya terhadap perjalanan jauh cukup mendalam. Ada dua kali perjalanan jauh. Pertama kali bermula pada tahun 1953, kami menghadapi kesulitan yang tidak dapat diatasi setelah tiba di Padang Piun. Akhirnya kami terpaksa berundur balik ke Temerloh. Kemudian kami cuba sekali lagi dan akhirnya berjaya pada tahun 1955. Perjalanan jauh dari Malaysia ke sempadan Thailand memakan masa satu tahun empat bulan. Ketika Perundingan Perdamaian Baling, kami sudah sampai di Thailand.



Di sepanjang perjalanan jauh, kami selalu bertempur dengan musuh. Namun saya tidak pernah ikut serta, setiap orang ada tugas dan kerja masing-masing. Masa itu, di Rejimen ke-10 tinggal lima orang komrad wanita: saya, Wan, Mak Chu, Tun Minah dan Zahurah. Zahurah terkorban dalam satu pertempuran kemudian.



Kami semua tahan susah-payah. Hidup kami sekarang ini sudah jauh lebih baik dan lebih selesa daripada dahulu. Oleh itu, kami tidak akan lupakan jasa parti. Saya akan ingat ajaran parti selama-lamanya. Saya sudah puas hati dengan hidup sekarang, ada makan, ada pakai, ada rumah, apa lagi yang saya hendak? Kalau tidak masuk parti, saya tidak berani bayang macam mana hidup saya sekarang ini.





Saya Kader



Bukan mudah menjadi kader. Saya harus mengurus tugas dan pembahagian barang-barang. Dalam perjuangan revolusi, kami selalu bertempur di merata tempat. Tetapi saya tidak pernah takut. Pemimpin bersama kami. Ketika menghadapi kesulitan, saya minta petunjuk mereka. Ikut arahan pemimpin, masalahnya mudah selesai. Saya jarang menghadapi kesulitan, kebanyakannya bergantung pada diri sendiri. Saya telah mempelajari satu ajaran yang amat penting - jangan berborak membesar-besarkan kemampuan diri sendiri. Misalnya, saya tidak bersekolah, maka itu tidak sesuai melakukan kerja massa di luar. Asalkan semua tugas yang diserahkan oleh pemimpin saya dapat laksanakan dengan sempurna, ini sudah memadai. Antara komrad, kami membincangkan pelbagai hal dengan hati ikhlas dan jujur. Kami bermesyuarat setiap hari. Jika sesiapa menemui sebarang masalah, kami bincang dalam mesyuarat dan selesaikannya. Kami telah belajar hidup dan kerja secara kolektif, di sebalik cara individu.



Saya Tidak Balik



Semasa perjanjian perdamaian ditandatangani, mereka yang ingin balik ke Malaysia boleh buat permohonan. Mulanya anak-anak panggil saya balik tinggal bersama mereka. Mereka semua sudah ada keluarga dan rumah sendiri. Tetapi akhirnya saya memutuskan tidak balik. Mereka tanya kenapa? Saya kata, “Selagi para pemimpin tinggal di sini, saya tidak akan meninggalkan mereka. Saya hendak bersama dengan mereka sampai mati.” Kalau suatu hari nanti pemimpin tidak ada, saya tidak tahu hendak macam mana. Mamat pun sependapat dengan saya. Katanya, “Tidak payah balik! Pemimpin masih ada di sini. Masa di hutan, kita sehidup semati dengan mereka, buat apa sekarang meninggalkan mereka pula?” Kami menyayangi parti dan pemimpin kami.



Hidup Masih Boleh Tahan



Kami ada sedikit simpanan duit. Saudara-mara saya, tidak kira siapa pun, beri saya duit apabila mereka datang melawat saya. Saya simpan duit itu untuk kegunaan sekeluarga. Ini untuk memastikan bahawa kami tidak akan kesuntukan wang suatu hari nanti. Justeru kami telah memutuskan tidak balik ke Malaysia selama-lamanya, Mamat usulkan kami tukar duit itu daripada mata wang Malaysia kepada mata wang Thailand, dan sebahagiannya digunakan untuk membeli televisyen. Sekurang-kurangnya, Mamat sekarang boleh menonton acara bahasa Cina di kampung.



Salah seorang anak saya bernama Shaharir datang dari Malaysia melawat saya. Dia membelikan saya sebuah peti sejuk. Dialah anak lelaki hasil perkahwinan pertama saya, yangberumur sembilan bulan apabila saya tinggalkannya masuk ke hutan. Sayangnya, tiga tahun yang lepas dia meninggal dunia kerana sakit kanser paru-paru. Sebelum tunaikan haji di Makkah, dia menghadiahkan wang sebanyak 9,000 Baht untuk membeli peti sejuk. Saya amat rindukan dia.



Selain harta-harta ini, kami sebenarnya tidak berada. Cukup makan cukup minum sudah memadai. Itu sahaja. Selain itu, parti juga memberi bantuan sebanyak 540 Baht sebulan kepada komrad tua yang berumur 60 tahun ke atas. Hidup masih boleh tahan.



Sekarang ini saya ada dua orang anak. Yang besar sekarang bermastautin di Malaysia, yang kecil tinggal sekampung dengan saya. Yang besar anak lelaki. Dia pernah melawat saya satu kali. Dia ada lima orang anak. Sayangnya dia bisu. Masa kecil dulu, dia masih pandai memanggil, “Bapak, emak, nenek ....” Kemudian pada suatu hari, dia termakan daging panggang yang panas mendidih, lidahnya tercedera teruk. Sejak itu dia tidak boleh bercakap lagi. Namun dia boleh menulis. Namun saya tidak bersekolah, menulis tidak semahir bercakap. Dia telah dimasukkan ke sekolah orang bisu, isterinya pun orang bisu. Tetapi kelima-lima anaknya tidak seorang pun yang bisu, mereka boleh pergi sekolah biasa seperti budak-budak lain.



Tidak Ada Perbezaan Bangsa



Pada awalnya, kami masih mempertimbangkan sama ada saya dan Mamat harus balik ke Malaysia bertemu semula dengan anak-anak saya. Saya tanya anak-anak, Kalau Mamat, seorang Cina, balik bersama saya, apakah perasaan mereka? Mereka kata, “Langsung tidak ada masalah. Asalkan dia menerima agama Islam, jadi orang Muslim. Bangsa bukan masalah, asalkan dia Muslim, kami anggap dia Melayu.”



Tetapi saya fikir, memang susah kalau kami hendak biasakan diri dengan masyarakat Muslim apabila balik nanti. Kami dikehendaki ikut adat-resam kampung, hidup mengikut cara orang lain. Bagaimanapun, jika kami berazam hendak balik, kami boleh cuba. Mereka pergi ke masjid, kami pergi masjid juga; mereka puasa, kami puasa juga; mereka sembahyang, kami sembahyang juga. Dengan demikian, kami tidak akan terasing. Saya fikir jika kami benar-benar balik nanti, semua ini bukan masalah kepada kami. Pada pandangan saya, semua bangsa adalah adik-beradik. Manusia cuma satu jenis. Antara manusia tidak ada beza. Bagi orang Melayu dan Muslim, asalkan beragama Islam, tiada perbezaan bangsa. Ikut ajaran Islam, kalau kami orang Melayu, iaitu Muslim, dapat menarik orang bukan Muslim masuk Islam, Tuhan memandangnya satu jasa besar.



Hubungan saya dengan orang Cina sentiasa baik dan amat rapat. Bahkan emak saya telah memelihara seorang anak Cina. Dia anak perempuan seorang penanam sayur di kampung kami. Dia tinggal serumah dengan kami. Dua orang jiran kami pernah mengugut hendak membunuhnya. Kami membelanya, “Kami tidak mengganggu dan mencelakakan kamu, kamu pun jangan mencelakakan kami.” Emak orang baik, mempunyai hubungan sosial yang luas dan ramai sahabat. Dia menasihatkan kami jangan percaya pada kata orang tersebut. Kata emak, “Cakap mereka itu tidak betul. Kita tidak buat jahat, orang lain tidak berani mencelakakan kita.”



Penutup



Yang menggembirakan dan menyenangkan hati ialah saya telah menjadi orang yang berguna. Saya dapat berbuat demikian kerana parti. Saya amat gembira. Kalau saya terus tinggal di luar hutan, tidak masuk pasukan, tidak tahu apa akan saya jadi.



Sumber: Oleh Agnes Khoo : HIDUP BAGAIKAN SUNGAI MENGALIR



3) SERANGAN HENDAP DI JALAN CHENOR


senjata yg di rampas tersimpan di muzuim pkm







Medan pertempuran telah dipilih iaitu di Batu 11, Jalan Chenor. Rupa bumi di situ agak baik terletak di suatu selekoh. Kereta-kereta terpaksa mengurangkan kelajuan apabila sampai di sini. Saya mengatur barisan hendapan lebih kurang sebagai berikut: Platun 1 dipimpin Mat Jelita menghendap di barisan hadapan, dilengkapkan dengan selaras breengun. Platun 2 diketuai Johan menghendap di suatu jurusan sebagai penembak utama, juga dilengkapkan dengan selaras breengun. Platun 4 diketuai Hasan menghendap di tengah yang merupakan sudut lereng. Naib Ketua Platun Rosli memimpin satu regu menghendap di jalan menghala Temerloh untuk menghadang bala bantuan musuh dan satu seksyen lagi menghendap di jalan menghala Paya Pasir juga untuk menghadang bala bantuan musuh. Saya memilih kedudukan bersama dengan Platun 1, berhampiran dengan penembak breengun.



Kami tidak mengetahui secara tepat musuh akan melalui jalan itu. Tapi melalui penyiasatan kami, musuh sentiasa melalui jalan tersebut. Lebih-lebih lagi penjajah British sedang membina sebuah balai polis baru di Kampung Paya Pasir untuk memperhebat penindasan ke atas massa dan menekan perjuangan bersenjata.







Pada 5 Ogos 1949, tak lama setelah kami mengatur barisan serangan hendapan, 3 buah trak askar dan polis berkekuatan kira-kira 1 platun yang dipimpin pegawai British melalui jalan tersebut di Batu 11, Jalan Chenor. Apabila kereta musuh tiba, kawan yang berkawal menyampaikan isyarat yang kereta musuh telah datang. 3 buah kereta musuh betul-betul memasuki hendapan, tembakan serentak segera dimuntahkan. Kedua-dua kereta tersebut terhenti, sebuah di antaranya termasuk ke dalam parit di tebing yang tinggi di hadapan Platun 4. Sejumlah askar dan polis luka atau mati dalam rangkaian tembakan pertama itu. Mana yang masih hidup melompat turun dari kereta melepaskan tembakan balas.



Pertempuran sengit telah berlaku. Saya mengeluarkan seruan supaya musuh itu angkat tangan, kami akan berikan layanan yang baik kepada mereka. Selepas seruan saya itu, saya seolah-olah terdengar satu suara "saya orang Perak". Selepas itu saya nampak 2 orang musuh angkat tangan dan pergi ke posisi Platun 4. Akan tetapi mengambil peluang itu, seorang polis telah mengambil beg pegawainya (mungkin berisikan wang atau dokumen penting) dan cabut lari dengan sekuat-kuatnya. Beberapa laras senapang ditembakkan ke arahnya, tapi tak kena.



Walaupun ramai musuh sudah bergelimpangan atau menyerah diri, tapi pertempuran tak dapat ditamatkan. Seorang polis berpangkat sarjan yang berlindung di sebalik kereta yang tersenget ke dalam parit melakukan perlawanan. Di belakangnya tebing yang tinggi. Kedudukannya amat menyusahkan kami menembaknya. Saya arahkan kawan-kawan buang bom tangan. Beberapa biji bom tangan dilemparkan, tetapi tidak dapat membunuhnya. Sehingga sejam lebih bertempur dan kawan-kawan menyerbu ke jalan raya barulah dia mengangkat tangan menyerah diri. Demikianlah pertempuran ditamatkan. Ketika kami merampas senjata sarjan tersebut didapati pistolnya sudah kehabisan peluru. Beberapa kawan yang tak sabar memakinya dengan mengatakan "kamu mahu mati bersama orang putih". Polis itu meminta maaf kerana dia tak tahu polisi Tentera Pembebasan terhadap tawanan. Ada kawan yang panas hati mahu melepaskan geram ke atas tawanan itu, tapi segera dicegah.



Dalam pertempuran itu 11 orang musuh ditembak mati termasuk pegawai British dan menawan 17 orang. Di antara 17 orang yang ditawan itu 14 orang di antaranya tercedera. Kami berjaya merampas 22 laras senapang, antaranya sepucuk breengun, 4 pucuk steengun, 2 pucuk pistol dan 5,000 biji berbagai jenis peluru serta sejumlah dokumen. Kereta musuh itu telah kami bakar. Breengun yang dirampas dalam pertempuran itu kini masih tersimpan di muzium kami sebagai kenangan sejarah. Ketika dirampas breengun itu diisi dalam kotak, menandakan ia baru dan belum dipakai lagi.



Abdullah C.D. bergambar dengan Breengun British yang dirampas di Jalan Chenor







Kami memberikan layanan murah hati terhadap para tawanan mengikut disiplin Tentera Pembebasan Nasional. Dalam 10 Fasal Perhatian terdapat 2 fasal berikut: (7) Jangan memukul atau memaki orang dan (10) Jangan menganiayai tawanan perang. Kami memberikan penerangan kepada mereka bahawa kami hanya melawan orang putih untuk kemerdekaan tanah air. Sepatutnya askar Melayu dan Tentera Pembebasan tidak berperang sesama sendiri, tetapi kerana askar dan polis mempertahan dan membela kekuasaan penjajah British, maka berlakulah pertempuran.



Para askar tawanan itu menyatakan yang mereka tidak memahami keadaan sebenarnya. Kepada tawanan-tawanan itu saya berikan 20.00 ringgit setiap orang untuk mereka pulang ke rumah. Para tawanan itu menceritakan layanan baik dari Tentera Pembebasan itu kepada orang ramai sehingga menimbulkan pengaruh yang besar.



Dari dokumen yang kami rampas, kami mengetahui bahawa pasukan tentera dan polis ini membawa senjata dan alat-alat kelengkapan militer untuk balai polis baru di Kampung Paya Pasir. Pasukan itu, Junggle Squard namanya, didatangkan khas dari Pulau Pinang, pernah mendapat kepujian dan latihan khas oleh penjajah British. Akan tetapi untuk menutup malunya, penjajah British telah memberikan penghargaan yang besar kepada askar-askarnya yang mati, luka atau menyerah diri dalam pertempuran itu.



Selesai pertempuran, Kompeni A pulang ke perkhemahannya di Kampung Paya Kerinau. Kami mengadakan perayaan 3 hari 3 malam. Segenap perajurit amat gembira dan terberangsang, sejumlah kawan yang belum ada senjata telah memiliki senjata. Selain itu, kami mengkaji dan membuat kesimpulan dari pertempuran tersebut dan merangka gerakan selanjutnya.



Markas Agung Tentera Pembebasan Nasional Malaya telah mengeluarkan PERINTAH PUJIAN kepada pasukan Rejimen Ke-10 atas kemenangan cemerlang itu. Ini adalah Perintah Pujian pertama yang dikeluarkan oleh Markas Agung. Oleh itu Pasukan Rejimen Ke-10 merupakan pasukan pertama yang mendapat perintah kepujian itu sejak meletusnya Perang Pembebasan Nasional Anti-British.



Berita pertempuran jaya itu segera tersebar dari kampung ke kampung. Massa yang bencikan penjajah British amat gembira dan terberangsang.



Akan tetapi penjajah British dan konco-konconya amat gementar. Diberitakan bahawa selepas pertempuran itu polis dan askar di kawasan Temerloh diperintahkan oleh penjajah British berada dalam keadaan siap sedia. Bandar Temerloh menjadi lengang seketika. Kawasan medan pertempuran itu meninggalkan kesan yang amat menggerunkan bagi askar musuh. Bila mereka melalui kawasan itu, mereka melepaskan tembakan terlebih dahulu.



Sumber: Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua


Label: pertempuran, Rejimen Ke-10 TRM 0 ulasan:






2) KAWAN SALIM PUTERA REVOLUSI SUNGAI PAHANG


KAWAN SALIM PUTERA REVOLUSI SUNGAI PAHANG






Salim





1. Nama asalnya Awang Derus bin Mat Kassim, nama perjuangannya Salim





2. Lahir di Kampung Kerinau, Mukim Bangau, Daerah Temerloh, Pahang





3. Beliau mempunyai 5 orang adik beradik, 3 diantaranya menyertai revolusi bersama Rejimen Ke-10.





4. Sebelum darurat, beliau menyertai pertubuhan patriorik di bawah PKMM dan PKM, menjadi anggota API, PETA, bertugas mengutip derma, menabur siaran memperluas pengaruh perjuangan untuk kemerdekaan tanah air.





5. 20 Jun 1948, berundur ke hutan mengelakkan diri dari tangkapan penjajah dan bergabung membentuk pasukan gerila. Beliau bertugas memimpin regu penyusun massa di kampung Kerinau, Paya Pulai dan Batu 5.





6. Pernah memimpin unit produksi membuka ladang untuk menambah perbekalan pasukan.







7. Tahun 1950 ditugaskan memimpin unit penyusun massa di Kampung Puchong, Bohor, Batu Papan, Batu Bor, Karai dan Kuala Teriang. Pernah diserang oleh kumpulan parang panjang di Kuala Teriang.







Hasnah

8. Awal tahun 1953, ikut serta dalam perjalanan jauh Rejimen Ke-10 ke kawasan sempadan, ikut serta dalam regu mencari makanan hutan untuk pasukan. Ketika ini makanan pasukan hanya bersandar pada makanan hutan seperti sayuran liar, daun-daun, buah-buahan hutan, binatang dan ikan. Di Ulu Kinta, beliau ditugaskan menyertai regu pimpinan Abu Samah menyusun massa di Kawan Sungai Siput. Dalam masa yang sama beliau juga ditugaskan menyusun massa Orang Asli dan berburu binatang.





9. Dikawasan sempadan bertugas sebagai regu pengawal, pernah mengiringi Rashid Maidin ke perundingan Baling pada tahun 1955.





10. 1961 bertugas memimpin regu penyusun massa di Kampung A (Kuala Kail) Daerah Banang Star, Yala. Di samping beliau juga memelihara seekor gajah untuk memunggah perbekalan pasukan. Ketika diadakan Sekolah Parti Pertama Utara Malaya di Kawasan Rejimen Ke-10, Kawan Salim memberikan sumbangan penting mengusahakan perbekalan pasukan.





11. Beliau bertemu jodoh dengan seorang pemudi bernama Hasnah dari Kampung Kuala Kail yang menyertai revolusi selepas sekolah parti pertama Utara Malaya.





12. 1968 bertugas memimpin unit produksi di kawasan sempadan, menanam sayur, ubi dan lain-lain untuk pasukan





13. 1973 ditugaskan dalam Pasukan Penggempur Ke-14, sebagai salah seorang anggota pengarah, bergerak di kawasan Ulu Kelantan. Pernah banyak kali mengarahkan pertempuran melawan kempen kepung basmi tentera kerajaan Malaysia.





14. 1976, setelah pasukan penggempur Ke-14 diperintahkan pulang ke kawasan sempadan, beliau ditransfer ke Pasukan Penggempur Ke-15, menjadi salah seorang anggota pengarah di pasukan tersebut. Dalam masa yang sama beliau juga memimpin regu produksi di kawasan berhampiran garisan sempadan Perak-Thailand.





15. Beliau meninggal dunia kerana sakit pada 21/11/1989.










Friday, January 7, 2011

1) bekas pemuda sel


Bekas ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Mohd Ghazali menolak tanggapan bahawa beliau diganti kerana gagal menjalankan tugasnya ketika memegang jawatan tersebut.




Sebaliknya, Suhaimi berkata, beliau sendiri yang mahu melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno Selangor untuk menumpukan kepada Umno bahagian serta atas urusan peribadi.



Suhaimi yang juga ketua Pemuda Sepang, meletakkan jawatan tersebut pada 3 Januari lalu. Tempat beliau diganti oleh ketua Pemuda Serdang, Ungku Salleh Jamal.



Katanya beliau telahpun menyampaikan hasratnya untuk berundur sejak tujuh bulan lalu, melalui sepucuk surat kepada kepimpinan Pemuda pusat.



"Bukan gagal (memimpin Pemuda Selangor), (tetapi) saya menghantar surat melepas jawatan sejak tujuh bulan lalu.



"Bagaimanapun kepimpinan Pemuda tidak menerima dan minta saya bertahan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.



"Ekoran pertukaran kepimpinan Umno di beberapa negeri baru-baru ini, saya memberitahu mereka, ini masa terbaik (untuk berbuat demikian)... Jadi mereka menerimanya," jelasnya.



Malah, katanya, perkara itu turut diumumkan oleh setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Fairuz Megat Junid dalam satu sidang media pada 3 Januari.



"Tidak adil bagi saya memegang jawatan (tersebut), tetapi tidak boleh beri komitmen (sepenuhnya).



"Sepanjang dua tahun, Pemuda Umno negeri berjalan dengan baik, korum mesyuarat kita cukup. Minimum yang hadir 18 daripada 22 orang," katanya.



Menurutnya, kini beliau boleh memberi tumpuan untuk menguatkan jentera parti dan mengekalkan kerusi Parlimen Sepang dan empat DUN di dalamnya dalam pilihan raya umum akan datang.



"Parlimen Sepang adalah satu-satunya kawasan kita menang keempat-empat DUN. Kita nak kekalkan kerusi-kerusi ini," katanya.



Sebelum ini, ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau, menyatakan dalam twitternya bahawa Ungku Salleh dilantik menerajui pergerakan itu di Selangor.