Siti Mariam binti Idris (alias Atom)
(Dilahirkan di Temerloh, Pahang, Malaya pada tahun 1927)
Emak
Emak saya telah menyertai gerakan revolusi sejak zaman pendudukan Jepun lagi. Dia menyokong Tentera Anti-Jepun PKM, juga ikut serta dalam Liga Anti-Jepun. Pada suatu hari, emak beritahu kami dia hendak pergi mesyuarat. Dia tidak boleh beritahu sesiapa pun, termasuk kami, dia hendak mengikuti mesyuarat apa. Ini rahsia, kata emak, kalau tidak dia mungkin dibunuh.
Tidak perlu bimbang, katanya lagi, emak ada meninggalkan susu dan ikan sardin. Dia menyembunyikan makanan-makanan itu di bumbung rumah, takut diketahui orang. Orang kampung masa itu amat miskin. Dia membeli makanan tersebut supaya kami tidak kelaparan ketika dia tidak ada di rumah. Kehidupan pada zaman pendudukan Jepun amat susah. Harga beras dan lain-lain amat mahal. Orang kampung kadang-kadang tidak ada makanan, terpaksa makan sekoi dengan air panas. Emak selalu menasihatkan kami memelihara hubungan yang baik dengan orang kampung, menolong orang yang memerlukan pertolongan. Ini kerana semua orang hidup dalam azab sengsara.
Emak seorang baik. Dia beritahu saya, “Emak sudah dimasukkan dalam senarai hitam, mungkin terpaksa masuk ke hutan. Tetapi jangan bimbang, kalau tidak ada makanan, makanlah apa yang boleh dimakan.”
Ketika tentera Jepun mencerobohi, saya berumur 14 tahun. Saya tidak pernah pergi ke sekolah, adik-beradik ramai. Ayah sudah meninggal dunia. Emak menyara keluarga seorang diri. Ayah meninggal dunia semasa saya berumur 10 tahun. Ketika berumur 12 tahun, saya mula datang haid. Saya kahwin pada umur 13 tahun dan tidak lama kemudian melahirkan seorang anak.
Pertubuhan-pertubuhan Progresif Demokratik Melayu
Zainab Mahmud dan Shamsiah Fakeh adalah orang yang paling awal datang ke kampung kami setelah Jepun menyerah kalah. Zainab adalah adik Tun Minah. Kemudiannya, Musa Ahmad pun datang. Ertinya, komrad-komrad Abdullah CD sudah membawa gerakan demokratik ke kampung kami. Seterusnya, pertubuhan orang Melayu yang bersifat progresif dan revolusi seperti AWAS, API dan PETA pun ditubuhkan di dalam kampung, membentuk satu persekutuan yang amat kuat.
AWAS (Angkatan Wanita Sedar) adalah pertubuhan yang menyatukan kaum wanita. API (Angkatan Pemuda Insaf) adalah pertubuhan yang menyatukan kaum pemuda. AWAS dan API seumpama tangan kiri dan tangan kanan kepada PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya). Kami saling bantu-membantu dan sama-sama menanam padi. Duit yang diperolehi daripada penjualan padi digunakan untuk membeli barang-barang. Kaum wanita amat rajin dan cemerlang. Mereka mampunyai semangat Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Mereka adalah teladan komrad wanita dan amat membenci kaum penjajah.
Menyertai Pasukan Gerila
Masa itu kami telah mempelajari bahawa PKM adalah parti yang baik. Mereka berkhidmat demi kepercayaan mereka, rakyat dan negara. Begitulah keadaan masa itu. Sungguhpun bukannya faham sangat, saya meninggalkan anak kedua yang baru berumur sembilan bulan dan masuk ke hutan. Semasa jumpa saya, emak menangis, “Anakku meninggalkan anaknya sendiri begitu sahaja.” Biarpun begitu, dia tetap menyuruh orang memberikan air minum untuk saya.
Tidak, saya bukan dipaksa masuk revolusi. Saya sendiri yang benar-benar hendak ikut. Saya faham PKM parti baik. Ia berusaha demi cita-cita, rakyat dan negara. Tetapi masa itu, orang lain Zainab, Shamsiah dan Musa (mereka semua anggota PKM) menyekat saya. Musa berkata kepada saya, “Saudari hidup di luar, masuk bahagian luar, kenapa hendak masuk ke hutan? Awak boleh jadi ‘kulit putih hati merah’ (ertinya saya boleh memelihara identiti orang biasa, tetapi berkhidmat kepada parti secara rahsia). Hidup dalam hutan amat susah, saudari boleh hidup dan kerja di luar.”
Tetapi saya tidak mahu. Saya takut lambat-laun saya akan ditangkap oleh tentera kerajaan. Maka saya minta persetujuan emak. Emak akhirnya setuju. Bahkan dia berjanji akan menjaga anak-anak saya. Masa itu saya sudah ada dua orang anak. Sayangnya, emak kemudiannya ditangkap oleh musuh.
Perkahwinan Saya
Saya masuk parti bersama-sama dengan suami saya. Tetapi pada tahun 1959, dia meninggalkan saya dan menyerah diri kepada kerajaan. Dia tidak tahan susah-payah. Kehidupan pasukan masa itu memang amat susah, tidak cukup makan, tidak pernah jumpa gula dan garam. Tetapi ini pun satu ujian, yang tahan dapat berjuang terus, yang tidak tahan akan pergi dengan sendirinya. Suami saya dan orang lain telah diberikan pendidikan parti yang sama yang mengajar kami keburukan penjajahan, kejahatannya serta macam mana dia mencelakakan rakyat, negara dan cita-cita kita. Suami saya dan orang lain telah menerima pendidikan parti, tetapi kenapa tidak dapat tahan susah-payah seperti orang lain? Sebenarnya, sebelum masuk hutan, dia telah pun diingatkan bahawa kehidupan di hutan amat menderita. Ketika kami bertempur di Padang Piun, dia melarikan diri. Masa itu dia sudah menjadi kader pimpinan. Tetapi dia tidak tahan susah. Ideologinya bermasalah.
Pendirian saya teguh. Saya tidak pernah jumpa dia lagi. Selepas itu, saya mendapat sepucuk surat daripadanya: “Min (nama timangan saya di luar), pergilah tanam padi! Jangan bimbangkan saya. Saya sudah balik ke kampung. Saya akan menjaga baik-baik anak-anak kita. Awak boleh terus tanam padi, kalau hendak terus berjuang, pergilah.”
Selepas itu, saya kahwin kali kedua. Tetapi perkahwinan ini tidak tahan lama juga. Dia orang Malaya, ayah kepada anak saya Rizal, dia seorang komrad juga. Pada mulanya kami saling tertarik, tetapi tidak lama kemudian hatinya berubah. Maka kami pun bercerai. Saya mulai hidup bebas. Kemudian, dia terkorban. Saya sudah tidak ingat di mana tempat dia mati. Kami ada dua orang anak. Sayangnya, salah seorang antaranya, mati terpijak periuk api musuh.
Selepas tahun 1963, saya berkahwin dengan Komrad Mamat. Saya tidak melahirkan anak dengan Mamat. Dia menganggap anak saya, Rizal, sebagai anak kandungnya. Sebenarnya, saya pernah hamil empat bulan, tetapi gugur. Masa itu saya terjatuh ketika menggalas barang berat.
Saya sendiri tidak menganggap kehidupan dalam hutan terlalu susah. Bagi saya tidak cukup makan adalah perkara biasa. Semasa di Malaysia, kami terpaksa minta makanan daripada Orang Asli. Mereka memberikan kami sayur dan ubi. Ini bukan masalah besar, ada pemimpin di sisi kami. Mamat adalah pembantu kanan dan pengawal pemimpin. Sejak tahun 1963, saya mula menjadi pembantu pemimpin. Saya tidak pernah merungut. Saya juga menjadi ketua seksyen. Kehidupan masa itu sibuk.
Sebelum masuk pasukan, ketika dalam kampung, saya cuma erti membaca sedikit Al-Quran. Setelah masuk parti, saya mulai belajar ABC. Pengalaman saya di dalam dan luar hutan jauh berbeza.
Perjalanan Jauh
Ingatan saya terhadap perjalanan jauh cukup mendalam. Ada dua kali perjalanan jauh. Pertama kali bermula pada tahun 1953, kami menghadapi kesulitan yang tidak dapat diatasi setelah tiba di Padang Piun. Akhirnya kami terpaksa berundur balik ke Temerloh. Kemudian kami cuba sekali lagi dan akhirnya berjaya pada tahun 1955. Perjalanan jauh dari Malaysia ke sempadan Thailand memakan masa satu tahun empat bulan. Ketika Perundingan Perdamaian Baling, kami sudah sampai di Thailand.
Di sepanjang perjalanan jauh, kami selalu bertempur dengan musuh. Namun saya tidak pernah ikut serta, setiap orang ada tugas dan kerja masing-masing. Masa itu, di Rejimen ke-10 tinggal lima orang komrad wanita: saya, Wan, Mak Chu, Tun Minah dan Zahurah. Zahurah terkorban dalam satu pertempuran kemudian.
Kami semua tahan susah-payah. Hidup kami sekarang ini sudah jauh lebih baik dan lebih selesa daripada dahulu. Oleh itu, kami tidak akan lupakan jasa parti. Saya akan ingat ajaran parti selama-lamanya. Saya sudah puas hati dengan hidup sekarang, ada makan, ada pakai, ada rumah, apa lagi yang saya hendak? Kalau tidak masuk parti, saya tidak berani bayang macam mana hidup saya sekarang ini.
Saya Kader
Bukan mudah menjadi kader. Saya harus mengurus tugas dan pembahagian barang-barang. Dalam perjuangan revolusi, kami selalu bertempur di merata tempat. Tetapi saya tidak pernah takut. Pemimpin bersama kami. Ketika menghadapi kesulitan, saya minta petunjuk mereka. Ikut arahan pemimpin, masalahnya mudah selesai. Saya jarang menghadapi kesulitan, kebanyakannya bergantung pada diri sendiri. Saya telah mempelajari satu ajaran yang amat penting - jangan berborak membesar-besarkan kemampuan diri sendiri. Misalnya, saya tidak bersekolah, maka itu tidak sesuai melakukan kerja massa di luar. Asalkan semua tugas yang diserahkan oleh pemimpin saya dapat laksanakan dengan sempurna, ini sudah memadai. Antara komrad, kami membincangkan pelbagai hal dengan hati ikhlas dan jujur. Kami bermesyuarat setiap hari. Jika sesiapa menemui sebarang masalah, kami bincang dalam mesyuarat dan selesaikannya. Kami telah belajar hidup dan kerja secara kolektif, di sebalik cara individu.
Saya Tidak Balik
Semasa perjanjian perdamaian ditandatangani, mereka yang ingin balik ke Malaysia boleh buat permohonan. Mulanya anak-anak panggil saya balik tinggal bersama mereka. Mereka semua sudah ada keluarga dan rumah sendiri. Tetapi akhirnya saya memutuskan tidak balik. Mereka tanya kenapa? Saya kata, “Selagi para pemimpin tinggal di sini, saya tidak akan meninggalkan mereka. Saya hendak bersama dengan mereka sampai mati.” Kalau suatu hari nanti pemimpin tidak ada, saya tidak tahu hendak macam mana. Mamat pun sependapat dengan saya. Katanya, “Tidak payah balik! Pemimpin masih ada di sini. Masa di hutan, kita sehidup semati dengan mereka, buat apa sekarang meninggalkan mereka pula?” Kami menyayangi parti dan pemimpin kami.
Hidup Masih Boleh Tahan
Kami ada sedikit simpanan duit. Saudara-mara saya, tidak kira siapa pun, beri saya duit apabila mereka datang melawat saya. Saya simpan duit itu untuk kegunaan sekeluarga. Ini untuk memastikan bahawa kami tidak akan kesuntukan wang suatu hari nanti. Justeru kami telah memutuskan tidak balik ke Malaysia selama-lamanya, Mamat usulkan kami tukar duit itu daripada mata wang Malaysia kepada mata wang Thailand, dan sebahagiannya digunakan untuk membeli televisyen. Sekurang-kurangnya, Mamat sekarang boleh menonton acara bahasa Cina di kampung.
Salah seorang anak saya bernama Shaharir datang dari Malaysia melawat saya. Dia membelikan saya sebuah peti sejuk. Dialah anak lelaki hasil perkahwinan pertama saya, yangberumur sembilan bulan apabila saya tinggalkannya masuk ke hutan. Sayangnya, tiga tahun yang lepas dia meninggal dunia kerana sakit kanser paru-paru. Sebelum tunaikan haji di Makkah, dia menghadiahkan wang sebanyak 9,000 Baht untuk membeli peti sejuk. Saya amat rindukan dia.
Selain harta-harta ini, kami sebenarnya tidak berada. Cukup makan cukup minum sudah memadai. Itu sahaja. Selain itu, parti juga memberi bantuan sebanyak 540 Baht sebulan kepada komrad tua yang berumur 60 tahun ke atas. Hidup masih boleh tahan.
Sekarang ini saya ada dua orang anak. Yang besar sekarang bermastautin di Malaysia, yang kecil tinggal sekampung dengan saya. Yang besar anak lelaki. Dia pernah melawat saya satu kali. Dia ada lima orang anak. Sayangnya dia bisu. Masa kecil dulu, dia masih pandai memanggil, “Bapak, emak, nenek ....” Kemudian pada suatu hari, dia termakan daging panggang yang panas mendidih, lidahnya tercedera teruk. Sejak itu dia tidak boleh bercakap lagi. Namun dia boleh menulis. Namun saya tidak bersekolah, menulis tidak semahir bercakap. Dia telah dimasukkan ke sekolah orang bisu, isterinya pun orang bisu. Tetapi kelima-lima anaknya tidak seorang pun yang bisu, mereka boleh pergi sekolah biasa seperti budak-budak lain.
Tidak Ada Perbezaan Bangsa
Pada awalnya, kami masih mempertimbangkan sama ada saya dan Mamat harus balik ke Malaysia bertemu semula dengan anak-anak saya. Saya tanya anak-anak, Kalau Mamat, seorang Cina, balik bersama saya, apakah perasaan mereka? Mereka kata, “Langsung tidak ada masalah. Asalkan dia menerima agama Islam, jadi orang Muslim. Bangsa bukan masalah, asalkan dia Muslim, kami anggap dia Melayu.”
Tetapi saya fikir, memang susah kalau kami hendak biasakan diri dengan masyarakat Muslim apabila balik nanti. Kami dikehendaki ikut adat-resam kampung, hidup mengikut cara orang lain. Bagaimanapun, jika kami berazam hendak balik, kami boleh cuba. Mereka pergi ke masjid, kami pergi masjid juga; mereka puasa, kami puasa juga; mereka sembahyang, kami sembahyang juga. Dengan demikian, kami tidak akan terasing. Saya fikir jika kami benar-benar balik nanti, semua ini bukan masalah kepada kami. Pada pandangan saya, semua bangsa adalah adik-beradik. Manusia cuma satu jenis. Antara manusia tidak ada beza. Bagi orang Melayu dan Muslim, asalkan beragama Islam, tiada perbezaan bangsa. Ikut ajaran Islam, kalau kami orang Melayu, iaitu Muslim, dapat menarik orang bukan Muslim masuk Islam, Tuhan memandangnya satu jasa besar.
Hubungan saya dengan orang Cina sentiasa baik dan amat rapat. Bahkan emak saya telah memelihara seorang anak Cina. Dia anak perempuan seorang penanam sayur di kampung kami. Dia tinggal serumah dengan kami. Dua orang jiran kami pernah mengugut hendak membunuhnya. Kami membelanya, “Kami tidak mengganggu dan mencelakakan kamu, kamu pun jangan mencelakakan kami.” Emak orang baik, mempunyai hubungan sosial yang luas dan ramai sahabat. Dia menasihatkan kami jangan percaya pada kata orang tersebut. Kata emak, “Cakap mereka itu tidak betul. Kita tidak buat jahat, orang lain tidak berani mencelakakan kita.”
Penutup
Yang menggembirakan dan menyenangkan hati ialah saya telah menjadi orang yang berguna. Saya dapat berbuat demikian kerana parti. Saya amat gembira. Kalau saya terus tinggal di luar hutan, tidak masuk pasukan, tidak tahu apa akan saya jadi.
Sumber: Oleh Agnes Khoo : HIDUP BAGAIKAN SUNGAI MENGALIR
No comments:
Post a Comment