Friday, January 7, 2011

1) bekas pemuda sel


Bekas ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Mohd Ghazali menolak tanggapan bahawa beliau diganti kerana gagal menjalankan tugasnya ketika memegang jawatan tersebut.




Sebaliknya, Suhaimi berkata, beliau sendiri yang mahu melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno Selangor untuk menumpukan kepada Umno bahagian serta atas urusan peribadi.



Suhaimi yang juga ketua Pemuda Sepang, meletakkan jawatan tersebut pada 3 Januari lalu. Tempat beliau diganti oleh ketua Pemuda Serdang, Ungku Salleh Jamal.



Katanya beliau telahpun menyampaikan hasratnya untuk berundur sejak tujuh bulan lalu, melalui sepucuk surat kepada kepimpinan Pemuda pusat.



"Bukan gagal (memimpin Pemuda Selangor), (tetapi) saya menghantar surat melepas jawatan sejak tujuh bulan lalu.



"Bagaimanapun kepimpinan Pemuda tidak menerima dan minta saya bertahan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.



"Ekoran pertukaran kepimpinan Umno di beberapa negeri baru-baru ini, saya memberitahu mereka, ini masa terbaik (untuk berbuat demikian)... Jadi mereka menerimanya," jelasnya.



Malah, katanya, perkara itu turut diumumkan oleh setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Fairuz Megat Junid dalam satu sidang media pada 3 Januari.



"Tidak adil bagi saya memegang jawatan (tersebut), tetapi tidak boleh beri komitmen (sepenuhnya).



"Sepanjang dua tahun, Pemuda Umno negeri berjalan dengan baik, korum mesyuarat kita cukup. Minimum yang hadir 18 daripada 22 orang," katanya.



Menurutnya, kini beliau boleh memberi tumpuan untuk menguatkan jentera parti dan mengekalkan kerusi Parlimen Sepang dan empat DUN di dalamnya dalam pilihan raya umum akan datang.



"Parlimen Sepang adalah satu-satunya kawasan kita menang keempat-empat DUN. Kita nak kekalkan kerusi-kerusi ini," katanya.



Sebelum ini, ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau, menyatakan dalam twitternya bahawa Ungku Salleh dilantik menerajui pergerakan itu di Selangor.

No comments:

Post a Comment