Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan.
Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setiap tahun, pokok buah-buahn sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.
Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai tadbir Pentadbiran British yang berasal daripada Singapura, menggantikan raja yang berkuasa di daerah itu. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai.
Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk menangkap Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah ditikam oleh Tuk Janggut lalu terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri melalui ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.
Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan serba salah. Atas Desakan Pegawai Penasihat British pada masa itu Sultan Kelantan terpaksa menganggap Tuk Janggut sebagai seorang penderhaka. Pada hal Tuk Janggut bangkit menentang atau melawan pentadbiran British yang menggunakan undang-undang cukai baru di seluruh Kelantan, termasuk Pasir Putih.
Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.
(Pak Teh telah menziarahi pusara Tok Janggut beberapa tahun lalu - mungkin UMNO menganggap beliau adalah pengkhianat kerana melawan Melayu barua British, namun Pak Teh tetap mengatakan beliau mati sebagai seorang syuhada - Al-Fatihah)
Peristiwa Bukit Kepong (1950) ada persamaan dengan peristiwa Tok Janggut (1915). Tok Janggut di tuduh penderhaka kerana menentang Pasukan Malay State Guide di Kampung Dalam Pupuh, Pasir Putih, sementara Mat Indera telah dituduh Komunis kerana menyerang Rumah Pasong, Bukit Kepong, Muar dan membunuh Mata-Mata. Kedua-dua peristiwa ini melibatkan pihak British sebagai dalangnya dan kejadian berlaku semasa zaman Penjajahan British. -arisawang
TOK JANGGUT PAHLAWAN KELANTAN
Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan bin Munas atau Panglima Munas lahir di Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan pada tahun 1850. Ayahnya Panglima Munas berkhidmat sebagai panglima istana Tengku Seri Maharaja Jeram, kerana itu Tok Janggut dibesarkan dan dididik dalam istana. Apabila dewasa beliau dihantar menuntut ilmu di Mekah dan pulang ke tanah air pada tahun 1910 ketika berusia 60 tahun.
Setahun sebelum itu atau pada tahun 1909 telah diadakan perjanjian Inggeris-Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Camputangan Inggeris di Kelantan tidak disenangi penduduk tempatan apatahlagi apabila Inggeris membuat perubahan yang ternyata bertentangan dengan adat istiadat Melayu dan undang-undang Islam.
Sebelum kedatangan Inggeris negeri Kelantan diperintah oleh Sultan Mansur yang memakai gelaran Sultan Muhammad III. Beliau seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda mendampingi ulama yang terkenal pada masa itu antaranya Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim@Syed Muhammad bin Syed Alwi, Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta’, Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat.
Sultan Mansur Syah atau Sultan Muhammad 111 telah menguatkuasakan undang-undang Islam. Antaranya perlaksanaan hukum hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan mengenakan hukuman terhadap perempuan yang tidak menutup aurat.
Semasa pemerintahan Sultan Mansur atau Sultan Muhammad 111, negeri Kelantan berada pada zaman kegemilangannya dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan beragama di kalangan rakyat negeri Kelantan.
Tetapi segalanya berubah apabila Inggeris menghantar penasihatnya ke Kelantan. British telah memperkenalkan undang-undang mereka sendiri terhadap rakyat Kelantan antaranya merubah sistem pemilikan tanah yang mana secara otomatik menolak undang-undang tanah tradisional Melayu yang berlandaskan kepada undang-undang Islam yang berdasarkan prinsip Ihya (usaha) dan Tha’jir (tanda).
Itulah punca penentangan Tok Janggut yang sebenar, bukan hanya disebabkan enggan membayar cukai yang dipaksakan Inggeris seperti yang diuwar-uwarkan British.
Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914 yang mana British berperang dengan Turki Uthmaniyah. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.
Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.
Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan penduduk Kelantan. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati. Tetapi apabila terpaksa menunggu selama beberapa hari di pejabat tanah kerana tidak ada pegawai mengutip cukai yang melayannya akhirnya Tok Janggut memutuskan tidak mahu membayar cukai dan mempimpin gerakan menentang Inggeris pada tahun 1915.
Pada 29 April 1915, Haji Mat Hassan atau Tok Janggut bermesyuarat dengan para pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib. Mereka mengatur strategi menentang Inggeris, mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka atau memerintah sendiri mengikut undang-undang Islam.
Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh, Abdul Latif yang berasal dari Singapura, kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Tok Janggut.
Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Tok Janggut menyerah diri. Kebetulan ketika itu, Tok Janggut sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.
Bagi mengelakkan berlaku pertempuran Tok Janggut bersetuju mengikut anggota polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Tetapi sikap lembut dan mengalah Tok Janggut disalahartikan oleh Sarjan Che Wan yang memberi layanan seperti penjenayah lalu berlaku perbalahan.
Dalam usaha mempertahankan dirinya Tok Janggut telah menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya menyebabkan tercetusnya peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris. Tok janggut dan pengikutnya berjaya menawan Pasir Puteh lalu menubuhkan pentadbiran sendiri, beliau menjadi Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.
Inggeris yang ketika itu merupakan salah sebuah kuasa besar dunia berasa tercabar lalu menghantar pasukan tentera ke Kelantan.
Akhirnya pada 24 mei 1915 berlaku pertempuran sengit dikampong dalam pupuh yang berakhir dengan Tok Janggut gugur syahid bersama dengan sahabat-sahabatnya Tok Abas dan Tok Hussin.
Kemudian mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu, diarak dan digantung sonsang selama empat jam di padang bank atau Padang Merdeka sebelum dikebumikan di kampung pasir Pekan.
Apakah yang mendorong Tok Janggut yang ketika itu berumur 65 tahun menentang sebuah kuasa besar yang punya peralatan senjata yang lengkap, ada kapal perang, meriam dan senapang?.
Menasabahkah seorang lelaki tua memberontak hanya disebabkan tidak mahu membayar cukai?
Sesungguhnya Tok Janggut berjuang demi membela agama, bangsa dan tanah airnya...Dia seorang mujahid.... -Abdul Latip Talib
No comments:
Post a Comment