Saturday, August 7, 2010

(22) ORANG MELAYU TAK TAHU POLITIK

Oleh: BayangDiAir "Berdasarkan analisis terhadap beberapa siri pilihanraya kecil di seluruh negara, didapati bahawa orang Melayu masih tegar menyokong UMNO khususnya di kampung-kampung tradisi dan kawasan Felda. Fenomena ini amat ketara di Pantai Barat. Sokongan orang Melayu di Utara dan Pantai Timur agak seimbang. walaupun di Kelantan , Melayu lebih berpihak kepada PAS. Secara umumnya dikatakan sokongan Melayu kepada BN dan PR di seluruh negara ialah pada nisbah 55:45. Bertolak dari situasi ini, diperli Melayu ini sebagai golongan yang tidak cerdik berpolitik berbanding dengan kaum Cina? Betulkah dan sejauh mana betulnya itu? Melalui tulisan kali ini, penulis ingin membawa satu dimensi lain yang perlu difikir secara mendalam oleh kepimpinan PAS dan PKR di semua peringkat. Pertamanya ialah orang Melayu yang menjadi penyokong tegar UMNO/BN kebanyakan terdiri daripada penduduk kampung dan Felda yang miskin. Cara berfikir orang miskin tidak sama dengan cara berfikir orang kaya. Orang miskin ada ketikanya bagai orang yang hampir lemas. Orang yang hampir lemas akan berpaut pada apa sahaja yang boleh dicapai hatta kalau tidak kena buat orang yang menolong boleh mati kerana tindakan terdesak si lemas. Begitu juga orang miskin; mereka perlu wang untuk makan, tanggung anak isteri dan belanja keperluan itu ini. Ada ketikanya mereka amat kesempitan malah berhutang berbaris. Dengan itu mereka akan berfikir untuk jangka pendek seperti pemikiran si lemas tadi. Dengan itu, tidak hairan mereka akan terkenang budi dan memilih siapa sahaja yang mampu memberi mereka gula untuk dikacau, kain untuk dipakai dan wang untuk dibelanjakan. Adakah orang Melayu diserkup oleh UMNO/BN hanya dengan gula dan kain pelikat? Mari penulis dedahkah apa yang orang Melayu dapat khususnya di Terengganu Darul Runtuh. Orang Melayu bukan lagi dapat sekadar gula dan kain. Itu zaman dulu. Zaman Wang Ehsan atau Dana Khas ini, orang Melayu dapat duit atau wang bernilai ribuan ringgit malah ada yang dapat hingga puluh ribu ringgit. Bukan jadi rahsia lagi di Terengganu seorang pemuda dapat RM500 untuk kursus tiga hari. Kalau sekeluarga ada 3 orang anak muda sudah dapat RM 1 500. Bantuan hari raya purata RM500.00 sekeluarga. Ada masanya mereka dapat bantuan basikal, beg sekolah dan pakaian sekolah percuma untuk anak-anak. Ada yang dapat bantuan atap bernilai hampir ribuan ringgit, bantuan baja, enjin bot, bantuan banjir dan berbagai-bagai lagi. Ini tidak termasuk lagi jersi bola dan baju-T percuma. Malah ada yang mendapat bantuan rumah percuma PPRT yang kos sebuah dianggarkan RM30 000. Salahkah kalau penulis katakan bahawa setiap keluarga orang Melayu di kampung tradisi dan Felda mendapat lebih daripada RM 1000 setiap tahun? Jelas bahawa UMNO telah menyogok mereka bukan lagi dengan gula dan kain pelikat. Bagi UMNO; duit UMNO, duit UMNO. Duit kerajaan pun boleh jadi macam duit UMNO.> Dimensi kedua ialah benarkah orang Melayu di kampung tradisi dan Felda tidak faham politik terkini? Kalau benar, adakah kerana kejahilan mereka atau kegagalan PAS dan PKR bergerak dan berperanan menyebarluaskan perkembangan politik mutakhir. Cawangan PAS dan PKR tidak banyak di dua daerah terpinggir ini. Ini menyebabkan tenaga pemikir dan pekerja politik tempatan terhad. Oleh sebab mereka sedikit, mereka menjadi malu alah kepada jiran-jiran dan penduduk sekitar. Justeru itu, tidak banyak aktiviti-aktiviti dapat dijalankan untuk menarik minat masyarakat. Ceramah juga terlalu jarang diadakan. Ceramah boleh dikatakan bertumpu di bandar. Contohnya, apabila DS Anwar Ibrahim atau Tuan Guru Haji Hadi berceramah, sudah pasti lokasinya ialah di pusat bandar. Penganjur mengharapkan rakyat dari segenap rantau datang beramai-ramai. Tetapi apakah orang atas pagar sudi meluangkan masa untuk datang. Terliurkah pemuda di desa dan Felda untuk dengar ucapan pemimpin yang dimomokkan oleh media massa sebagai curang kepada bangsa dan pembohong. Murahkah hati pakcik dan makcik yang miskin di kampung untuk menghabiskan duit minyak dan duit tambang semata-mata hendak bersengkang mata sehingga larut malam? Kenapa kita tidak fikirkan semua ini sebelum menyalahkan orang Melayu yang sebangsa dan seagama dengan kita? Kesimpulannya, benarlah pesan Nabi s.a.w. bahawa perjuangan Islam adalah suatu perjuangan yang panjang dan penuh halangan. Hanya pengorbanan masa, wang dan tenaga yang diiring dengan sifat istiqamah serta kejujuran sahaja yang dapat mencapaikan perjuangan pada matlamatnya. Pemimpin atasan dan bawahan serta ahli sudah banyak berkorban. Yang tua sejak muda lagi menghabiskan masa, wang dan tenaga dalam keadaan tidak mengharapkan balasan melainkan redha Allah. Yang muda pula sanggup berhadapan risiko ditukar, dibuang kerja dan penafian segala jenis hak dan bantuan. Tetapi ingatlah kata-kata bahawa jangan sangat difikirkan work hard tetapi selalu-selalulah dilaksanakan work smart. "

No comments:

Post a Comment