Thursday, August 5, 2010

(21) TOKOH KEMERDEKAAN MUSTHAPA HUSEIN

SIRI BULAN KEMERDEKAAN KE 53 : MUSTAFFA HUSSIN TOKOH KIRI DI DALAM UMNO



Selama ini banyak generasi muda menganggap bahawa UMNO ialah parti yang berjuang untuk kemerdekaan sedangkan anggapan itu tidak benar.KMM ditubuhkan lebih awal daripada UMNO iaitu pada 1938. Malahan setelah seruan kemerdekaan dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu haluan kiri, UMNO masih dengan slogan 'Hidup Melayu!'. Perjuangan UMNO pada permulaannya hanya terarah pada penentangan terhadap Malay Union dan masalah kepentingan Melayu.Umpamanya soal penyertaan bangsa Melayu dalam Malay Civil Service. Antara tokoh-tokoh yang merupakan pengasas dan ahli KMM ialah Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmi, Hassan Haji Manan dan lain-lain.


Mustapha turut menulis peranan beliau yang berkhidmat untuk menyelamatkan nyawa, maruah dan kehormatan orang-orang Melayu semasa pendudukan Jepun. Ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum kedatangan Jepun, pemimpin KMM seperti Ibrahim Yaakob mempunyai pakatan rahsia dengan Jepun. Pakatan ini ialah untuk menjadikan KMM sebagai 'The Fifth Column'. Dalam erti kata lain, KMM dijadikan sebagai alat untuk Jepun menakluk Tanah Melayu dari tangan British. Bahkan Mustapha menukilkan bagaimana Ibrahim menerima ganjaran yang cukup lumayan dari Fujiwara Kikan, unit intelligensia Jepun untuk bekerjasama menakluk Tanah Melayu dari dalam.


Ahli-ahli KMM lain seperti Mustapha langsung tidak menyedari perjanjian rahsia antara Ibrahim Yaakob dan Jepun. Sebelum perang meletus, British dapat menghidu perkara tersebut dan menangkap ahli-ahli KMM di seluruh Malaya dan Singapura. Apabila Jepun mara dari utara Tanah Melayu, Mustapha diheret sama ke selatan dalam proses penaklukan Jepun dan pengepungan Singapura. Semasa periode inilah, jasa Mustapha sangat bermakna. Beliau meyelamatkan banyak 'kepala' daripada dipancung pedang samurai Jepun. Antara yang pernah diselamatkan oleh Mustapha ialah Dr Abbas Hj Alias, bekas Yang Dipertua PAS yang ketika itu berkhidmat sebagai Malay Regiment Volunteer di Singapura.


Mustapha turut menuntut Jepun supaya memberikan kemerdekaan mutlak kepada Tanah Melayu. Malangnya idea ini tidak disukai oleh Jepun. Saat itu, barulah Mustapha sedar yang sikap penjajah adalah sama. Masing-masing tidak akan semudah itu untuk memberikan kemerdekaan.


Meskipun begitu, kekalahan demi kekalahan yang dialami Jepun menyebabkan Jepun mula membenarkan idea kemerdekaan Tanah Melayu. Ini diikuti dengan kongres KRIS dan proklamasi kemerdekaan Tanah Melayu yang dirancang pada 17 Ogos 1945. Malang sekali bagi KMM, Jepun menyerah kalah pada 15 ogos 1945. Ini bermakna tarikh tersebut hanya 48 jam daripada tarikh kemerdekaan yang diberikan oleh Jepun. Kekalahan Jepun bermakna ahli-ahli KMM akan terdedah kepada 3 ancaman. British, MPAJA dan Bintang Tiga. Ibrahim Yaakob angkat kaki dan melarikan diri ke Indonesia dengan 2 guni wang dan ketulan-ketulan emas yang disogokkan oleh Jepun.


Ini meninggalkan hanya Mustapha keseorangan untuk membela nasib ahli-ahli KMM yang lain. Berbeza dengan Ibrahim Yaakob yang akhirnya hidup senang di Indonesia dan membuka Bank Pertiwi, Mustapha di Tanah Melayu pula ditangkap 2 kali oleh British dan merengkok dalam penjara Batu Gajah. Di mana-mana beliau dilabel sebagai 'tali barut' dan baruah Jepun. Namun, tiada sesiapa yang mampu menyangkal bahawa kalau bukan kerana Mustapha, banyak nyawa akan melayang.


Setelah tidak dibenarkan berkhidmat lagi sebagai pensyarah pertanian, Mustapha menghadapi masa-masa yang sukar dalam hidupnya. Beliau bukan sahaja pernah bertani malahan pernah menjaja di stesen keretapi untuk meneruskan kehidupan. Ramai yang tidak mengetahui setelah Datuk Onn Jaafar keluar dari UMNO, Mustapha pernah dicalonkan untuk menjadi Presiden UMNO. Bagaimanapun, beliau kalah dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dengan 1 undi sahaja.


Tokoh seperti Mustapha adalah tokoh yang sering dilupakan. Banyak wira yang berjuang tapi hanya sedikit yang diberi ruang. Dibandingkan dengan Tunku, jasa beliau tidak kurang hebat. Sayang sekali, nama beliau tidak disebut pun dalam mana-mana buku teks sejarah.



No comments:

Post a Comment