Saturday, July 17, 2010

(25) KUKU BESI SOEHARTO

12 tahun yang lalu, presiden kedua Indonesia, Soeharto ditumbangkan oleh kebangkitan rakyat.




Krisis kewangan di Asia pada tahun 1997 telah melemahkan regim Soeharto. Gerakan melawan Soeharto yang telah bermula semenjak tahun 1980-an akhirnya menemui "bola tanggung".
Demonstrasi demi demonstrasi yang dianjurkan oleh mahasiswa dan penawanan bangunan parlimen akhirnya berjaya menumbangkan regim kuku besi Soeharto.
Pada 21 Mei 1998, Soeharto akhirnya tunduk kepada kehendak rakyat dengan meletakkan jawatan setelah berkuasa selama 32 tahun.
Timbalan presiden, Bacharuddin Jusuf Habibie mengambil alih sebagai presiden Indonesia. Habibie menjadi 'presiden transisi' sebelum pilihan raya yang demokratik dilaksanakan.


Di zaman pemerintahan kuku besi Soeharto, demokrasi dicengkam. Kebebasan media disekat dan segala kritikan terhadap regimnya dibalas dengan kekerasan.


Semua pegawai pemerintah wajib menjadi ahli Golongan Karya (Golkar) dan aktif bersama parti itu jika mahukan kenaikan pangkat dan hidup senang.


Tenteranya, Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) menjadi senjata utama Soeharto untuk membungkam lawannya. Penentang-penentang regim diganasi. Berkumpul untuk berdiskusi sahaja boleh menyebabkan ditangkap oleh ABRI.


Pilihan raya palsu


Pilihan raya pada zaman Soeharto berjalan dengan tidak demokratik. Malahan ianya boleh dikatakan sebagai "rubber stamp" untuk meneruskan kekuasaan presiden kedua Indonesia itu.
Seperti dikatakan oleh Goenawan Mohamad (kanan), editor kepada majalah Tempo yang ditutup oleh Soeharto
"Pemilihan umum (pilihan raya) di zaman Soeharto adalah palsu kerana yang lain tidak dibebaskan".
"Yang lain" itu, menurut Goenawan merujuk kepada media dan demokrasi.
Pada ketika itu presiden dipilih melalui undi daripada anggota parlimen di dewan rakyat. Anggota-anggota parlimen yang bertanding dalam pilihan raya akan dipastikan memihak atau tidak terlalu kritikal terhadap Soeharto dalam ujian yang mereka jalani sebelum dibenarkan untuk bertanding.
Di zaman itu, semua yang ingin bertanding dalam pilihan raya perlu menjalani ujian - dikenali LITSUS - di mana badan inteligen akan menyemak latar belakang dan menemuramah bakal calon sebelum memutuskan sama ada mereka lulus atau tidak.
Pegawai-pegawai pemerintah yang pada ketika itu merupakan ahli-ahli Golkar menguruskan perjalanan pilihan raya. Selain itu, mereka turut mempengaruhi masyarakat dan mengugut agar mereka terus menyokong Golkar.
Pada ketika itu hanya ada tiga parti politik, Golkar, Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan Parti Demokrasi Indonesia (PDI). Soeharto melakukan campurtangan secara langsung dalam pemilihan kepimpinan PPP dan PDI.
Kempen pilihan raya di zaman Soeharto berjalan dengan singkat. Dalam masa tujuh atau lapan hari, tidak mungkin PPP dan PDI mampu untuk berkempen di seluruh kepulauan Indonesia. Apa lagi dalam keadaan media dikawal ketat oleh regim Soeharto.
Di luar waktu kempen pilihan raya, PPP dan PDI tidak boleh melaksanakan apa-apa kempen kepada masyarakat umum. Barang sesiapa yang cuba menganjurkan kempen untuk memboikot pilihan raya yang tidak adil di zaman Soeharto akan ditangkap oleh ABRI dan dipenjarakan.
Demokrasi berkembang selepas Soeharto
Tumbangnya regim Soeharto bermulalah pesta demokrasi di Indonesia. Jika dahulu media dicengkam oleh pemerintah, kini ianya bebas berkembang. Sesiapa pun boleh mempunyai akhbar atau majalah mereka sendiri tanpa perlu izin daripada pemerintah.
Pendek kata, untung atau rugi ditanggung sendiri. Pemerintah di era pasca Soeharto tidak lagi dapat merasakan 'nikmat' mengawal media malahan tidak pernah membayangkannya.
Demonstrasi tidak lagi menjadi tabu. Demonstrasi telah diterima sebagai satu cara untuk masyarakat berekspresi. Kini, jika anda melalui Bundaran (bulatan) Hotel Indonesia (HI) atau tugu Monumen Nasional (Monas), akan mudah dilihat demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan oleh pelbagai kelompok.
Lebih menarik lagi, anggota pasukan keselamatan seperti pihak polis hanya mengawal keselamatan tanpa menganggu demonstrasi yang dianjurkan.
Pilihan raya menjadi semakin demokratik. Parti-parti politik tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Jika di zaman Soeharto hanya ada Golkar, PPP dan PDI, jatuhnya diktator tersebut telah melahirkan pelbagai parti politik seperti Parti Amanat Rakyat (PAN), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Demokrat dan Parti Rakyat Demokratik (PRD).
Selain daripada itu, rakyat Indonesia kini boleh memilih presiden mereka secara langsung. Pemerintah kerajaan tempatan yang dahulunya dilantik oleh presiden, kini terpaksa melalui proses pilihan raya.
Seperti yang dirumuskan oleh Goenawan: "kesan positif selepas (gerakan) reformasi adalah media menjadi bebas, organisasi politik bebas bergerak dan perdebatan bebas untuk dilakukan".
Demokrasi semakin mahal
Pilihan raya yang semakin demokratik di Indonesia memberikan peluang kepada rakyat untuk berpartisipasi secara langsung dalam memilih pemimpin mereka. Daripada presiden, ahli parlimen, wakil rakyat, gabenor, walikota (datuk bandar) dan pimpinan kerajaan tempatan semuanya dipilih melalui pilihan raya yang demokratik.
Berkembangnya demokrasi di Indonesia telah melahirkan permasalahan baru seperti yang dikatakan oleh Goenawan Mohamad:


"Demokrasi menjadi semakin mahal. Ongkos (kos) untuk pilihan raya menjadi sangat mahal sehingga menyebabkan terjadinya korupsi (rasuah)".
Apabila sistem pilihan raya di Indonesia menjadi demokratik, ramai pihak kini boleh berpartisipasi mencalonkan diri untuk bertanding jawatan dari peringkat nasional sehinggalah ke peringkat daerah.
Persaingan untuk merebut jawatan yang hebat daripada ramai calon telah menyebabkan berkembangnya pembelian undi. Apabila ramai calon terlibat dengan pembelian undi, yang membayar harga paling tinggilah berpeluang untuk menang.
Apabila calon yang bertanding mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk menang dalam pilihan raya, apabila berkuasa, rasuah dan penyelewengan berkembang disebabkan pelaburan besar sewaktu kempen pilihan raya perlu dikembalikan dengan keuntungan.
Diberitakan dalam pilihan raya di peringkat daerah (Pilkada), sudah terdapat calon-calon yang bertanding membelanjakan wang sebanyak jutaan USD dalam kempen mereka.
"Ini telah menyebabkan pilihan raya menjadi begitu mahal sekali dan korupsi (rasuah) berkembang di Indonesia," jelas Goenawan.
Goenawan mencadangkan agar pemerintah Indonesia atau badan yang menggendalikan pilihan raya mewujudkan satu undang-undang yang ketat untuk membatasi perbelanjaan yang dikeluarkan oleh calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya.
Kerana pada saat ini, masih belum terdapat peraturan atau undang-undang di Indonesia yang membataskan perbelanjaan calon yang bertanding untuk berkempen dalam pilihan raya.
"Hanya dengan cara ini, demokrasi di Indonesia dapat dikawal agar tidak menjadi terlalu mahal. Perbelanjaan calon yang bertanding harus dibatasi," kata Goenawan lagi.
Begitulah reliti di Indonesia masa kini. Demokrasi yang berkembang dan terbuka telah menyebabkan proses pilihan raya menjadi mahal. Pilihan raya yang demokratik belum lagi memberikan keadilan kepada pihak yang lemah dan tidak mempunyai sumber kewangan yang kuat.
Amin Iskandar, penulis blog dan penggiat budaya, kini memimpin Institut Nasional Integriti Pilihanraya (NIEI). Beliau menerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) sesi 2009-2010 untuk menjalankan kajian sistem pilihan raya di Filipina dan Indonesia.

No comments:

Post a Comment