Sunday, July 4, 2010

(11) BERPERANG DAN BERHIJRAH INILAH TANAH JAJAHAN

BERPERANG DAN BERHIJRAH








Oleh: Minda Panji Darman





“Kamu adalah umat yang terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu mempercayai Allah.... Al-Imran: 110)

JIKA rakyat dan orang Islam di Malaya betul-betul membaca al-Quran dan memahami ajarannya pasti mereka tidak dapat ditembusi oleh sebarang dakyah, tipudaya dan propaganda kaum Imperialis Inggeris. Tidak mungkin sama sekali Malaya dijajah begitu lama hingga 450 tahun. Penjajahan yang begitu lama telah menyebabkan orang-orang Melayu berada di dalam kegelapan yang panjang. Dalam kegelapan ini tidak mustahil juga wujud dari bangsa ini musuh-musuh dari kalangan mereka sendiri yang menentang tindakan revolusioner sebangsanya untuk keluar dari tekanan luar pada masa itu.
Perkara ini pernah berlaku kepada Nabi Muhammad sendiri, hinggalah beliau berhijrah dan mengasingkan dirinya dari masyarakatnya sendiri sesudah melalui beberapa siri peperangan di kota Mekah. Kegelapan yang dialami oleh masyarakat Arab sebelum nabi ialah kerana mereka tidak mempunyai sebuah kitab yang boleh memberikan kepada mereka cahaya sebagai penunjuk jalan.
Hanya dengan berhijrah keimanan sesaorang akan teruji. Membaca Memoir Abdullah C.D Bhg. Kedua 2007, dan Memoir Ibrahim Chik 2009 tentang penghijrahan yang dilakukan pada tahun 1953 betul-betul menyayatkan hati apabila mereka terpaksa menyerahkan segala-galanya termasuk meninggalkan kampung halaman dan anak-anak demi perjuangan untuk membebaskan bumi Malaya dari cengkaman kuasa jahat penjajah. Dalam perjalanan ini mereka tidak putus-putus di serang oleh askar Penjajah dan sepanjang perjalanan itu juga mereka melancarkan serangan;

“Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul. (al-Baqarah : 190)

Perang bukan suatu perkara kecil. Di zaman nabi lagi, sudah ada dari kalangan pengikutnya yang ketika itu meminta agar peperangan ini ditangguhkan kepada mereka. Orang yang sanggup berperang sebenarnya adalah orang-orang yang yakin di atas janji-janji Allah.

“Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang dikatakan kepada mereka, "Tahanlah tangan-tangan kamu, dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat"? Kemudian sejurus setelah perang dituliskan bagi mereka, ada segolongan daripada mereka takut pada manusia seperti mereka akan takut kepada Allah, atau dengan lebih takut, dan mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau menetapkan perang untuk kami? Mengapa tidak Engkau menangguhkan kami ke suatu tempoh yang dekat?" Katakanlah, "Kesenangan dunia ini sedikit, dan akhirat adalah lebih baik bagi orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dizalimi sedikit pun." (An-Nisa’ 77)
Dan perhatikan juga ayat di bawah:

“Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu berperang, walaupun ia adalah kebencian bagi kamu, dan mungkin kamu membenci sesuatu yang lebih baik bagi kamu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu yang lebih buruk bagi kamu; Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui. (Al-Baqarah :216)
Al-Quran tidak menggariskan mana-mana ideology itu benar atau salah sebaliknya hanya menggariskan prinsip-prinsip yang perlu dijadikan panduan kerana Ideologi boleh berubah dan diubahsuai mengikut masa, tempat dan keadaan. Al-Quran berdiri sebagai Penimbangtara dan Pembeza (al-Furqan) kepada semua teori dan ideology. Perjuangan yang berlandaskan prinsip-prinsip kebaikan dan keadilan adalah perjuangan mengikut prinsip al-Quran. Orang-orang yang berperang dan gugur atau berhijrah kerananya mereka dijanji kemuliaan di sisi Allah.

“Dan Pemelihara mereka menyahuti mereka, "Aku tidak mensia-siakan amalan sesiapa yang beramal antara kamu, lelaki atau perempuan, sebahagian kamu daripada sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang berhijrah, dan diusir daripada tempat tinggal mereka, dan mereka yang disakiti di jalan-Ku, dan berperang, dan dibunuh, merekalah yang Aku pasti akan melepaskan daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan Aku akan memasukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai"; satu ganjaran daripada Allah, dan Allah, di sisi-Nya sebaik-baik ganjaran”. (Ali Imran: 195)
Kampung Perdamaian Sukhirin adalah tempat menetapnya bekas-bekas perajurit Regimen 10 yang berasal dari serata pelosok tanah air terutamanya Pahang. Mereka berhijrah dari satu tempat-ke satu tempat dan akhirnya menetap di daerah ini. kepada sesiapa yang pernah berada di sini pasti di hati mereka dapat merasai betapa damai dan tenangnya perkampungan ini. Ketenangannya membuat seseorang itu lupa segala tekanan dan masalah yang mereka tanggung. Kisah ini bukan didegari dari satu dua orang malah siapa sahaja yang ditemui yang pernah bertandang di sini telah menceritakan perkara yang sama.
Rezki dari Allah bukan sahaja dalam bentuk kekayaan dan wang ringgit, justeru wang dan ringgit itu sendiri tidak dapat membeli ketenangan, maka adakah ketenangan itu sendiri adalah satu rezki dari Allah…? Dalam hal rezki ini sebuah ayat yang lain mungkin dapat kita jadikan renungan;
“Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan dibunuh, atau mati, Allah pasti akan memberi rezeki kepada mereka dengan rezeki yang baik; dan sesungguhnya Allah, Dia yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki”... (al- Hajj :58).



Allah Disanjung…

Dicatat oleh Mat Amin pada 06:00

Label: Minda Panji Darman

2 ulasan:



Tanpa Nama berkata...

Salam,

Sudah bertahun-tahun banyak orang Melayu hanya "pandai" baca Quran, tapi sebenarnya tak faham apa yang dibaca.


(Pacar Merah)

2010 Jun 30 09:34
Tanpa Nama berkata...

yang pelik lagi mengapa mereka begitu mempercayai penjajah Inggeris. Mana alim ulama yang tampil ke depan memimpin perjuangan menentang Inggeris?
Inggeris datang sokong Inggeris

Jepun datang sokong Jepun

Inggeris datang lagi, sokong Inggeris lagi
Dol

No comments:

Post a Comment