politik kebenaran,sejarah yang tersirat menunjukan sejarah itu betul2 berlaku di negara ku sendiri, untuk tatapan generasi terkini dan kelansungan.
Friday, July 23, 2010
(31) BARISAN TANI MALAYA
BARISAN TANI MALAYA
7 Julai 63 tahun silam, golongan patriotik-demokratik Malaya dari aliran nasionalis, sosialis agama dan komunis telah mendirikan Barisan Tani Malaya di Kajang Selangor. Barisan Tani Malaya di bawah pimpinan langsung Jabatan Kerja Melayu PKM menjadi salah satu tenaga dalam barisan bersatu PUTERA-AMCJA. Belumpun sampai setahun Barisan Tani, penjajah British telah mengharamkannya bersama-sama parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan lain yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air di bawah undang-undang darurat 1948. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Barisan Tani Malaya, mari kita rujuk tulisan Bapa Abdullah C.D. yang dimuatkan dalam Memoirnya ZAMAN PERGERAKAN SEHINGGA 1948, terbitan SIRD, 2005
Gerakan Tani Malaya
Kaum tani Melayu secara tradisinya berpendirian anti-penjajah. Dalam masa Perang Dunia Kedua, kaum tani merupakan sandaran penting Perang Anti-Jepun. Kampung-kampung Melayu yang luas di seluruh negara telah menjadi pangkalan Perang Anti-Jepun yang kukuh.
Kampung halaman saya daerah Parit, Perak menjadi pangkalan gerakan anti-Jepun yang kuat. Front persatuan anti-Jepun seperti Liga Anti-Jepun, lasykar rakyat dan lain-lain dianggotai oleh kaum tani di sepanjang Sungai Perak dari Teluk Anson hingga ke Parit. Di kawasan ini telah didirikan pemerintahan sementara yang membela kepentingan kaum tani semua kaum.
Masalah pokok yang dihadapi kaum tani masa itu ialah ketiadaan bahan makanan. Saya yang turut memimpin pasukan lasykar rakyat dan organisasi front persatuan anti-Jepun lainnya menganjurkan orang ramai menanam tanaman yang cepat boleh menghasilkan hasil seperti ubi kayu, jagung dan padi. Mereka yang tidak bertanah atau kekurangan tanah boleh memohon kepada Jawatankuasa Anti-Jepun Rakyat dan kami akan meluluskan permohonan mereka itu. Mereka tidak perlu pergi ke pejabat daerah. Kami mengukur tanah dan membahagikan kepada kaum tani secara percuma. Tanah-tanah yang diteroka itu menjadi milik petani sendiri. Cara itu dapat menyelesaikan kesulitan kaum tani.
Pada masa aman selepas kekalahan Jepun, Jabatan Kerja Melayu PKM dan PKMM bekerjasama dengan kaum tani dan menyedarkan mereka tentang kemerdekaan dan memperjuangkan hak-hak kaum tani, khasnya tanah. Untuk mencapai tujuan memperbaiki nasib petani, kami tegaskan bahawa kita pertama-tama haruslah merdeka daripada penguasaan penjajah. Hanya di bawah pemerintahan sebuah kerajaan bersifat rakyat yang merdeka barulah petani dan rakyat lapisan bawah lainnya dapat menikmati kehidupan yang bebas dan sentosa. Maka organisasi-organisasi tani pun dibentuk di kawasan desa serata negeri.
Dalam satu perbincangan khas yang dihadiri oleh Kamarulzaman Teh, Rashid Maidin, Musa Ahmad, Wahi Anuar, Shamsuddin Salleh dan saya, kami menarik kesimpulan bahawa kekuatan nasionalisme haruslah dikembangkan sepenuhnya untuk usaha kemerdekaan tanah air. Kami berpendapat kerja propaganda di pihak pemuda dan wanita telah mencapai perkembangan yang amat memuaskan. Akan tetapi kerja di bidang pertanian walaupun sudah dibentuk beberapa kesatuan tani, belum ada satu badan yang khusus mewakili petani sendiri. Oleh itu kami merasa perlu menubuhkan satu organisasi tani yang boleh mempersatukan gerakan tani di seluruh negara. Dengan itu kami mengambil keputusan untuk membentuk Barisan Tani Malaya (BTM). Selepas kami membuat keputusan itu, saya menyampaikan pendapat ini kepada Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Beliau menyokong sepenuhnya rancangan tersebut.
Kami merasmikan Barisan Tani Malaya pada 7 Julai 1947 di Kajang, Selangor. Dalam kongres itu Dr. Burhanuddin Al-Helmy dijemput menyampaikan ucapan. Kamarulzaman Teh juga menyampaikan ucapan tahniah atas nama PKM.
Kongres memilih anggota Jawatankuasa Pusat BTM sebagai berikut:
Ketua Musa Ahmad
Setiausaha Abas
Bendahari Mokhtar
Bahagian Propaganda Kadir dan AtoM
Badan pimpinan peringkat negeri pula ialah:
Kedah Mokhtar
Selangor Atom
Pahang Abas
N. Sembilan Ibrahim Baba
Johor Kadir dan Mat Indra
Melaka ……….
Perak ……….
Pulau Pinang dipimpin oleh pimpinan buruh
Sejak itu, kaum tani telah memiliki organisasinya sendiri. Bersama-sama dengan pertubuhan progresif lain seperti PKMM, PETA, AWAS, kesatuan-kesatuan buruh dan lain-lain, BTM mempersatukan kaum tani berbilang kaum berjuang untuk kemerdekaan tanah air.
Dalam menggariskan perjuangan kaum tani, saya menganjurkan harus terlebih dahulu mengkaji sejarah gerakan tani tanah air. Kami dapati bahawa kepentingan asas kaum tani ialah tanah. Bumi Malaya merupakan kawasan pertanian yang subur. Sejak turun-temurun, nenek moyang kita telah mengusahakan pertanian di bumi pertiwi yang subur ini dan membangun sebuah masyarakat yang bertamadun.
Dalam pelbagai aktiviti BTM, kami tunjukkan bahawa apabila penjajah British menguasai Malaya, mereka membolot tanah subur untuk mengeruk kekayaan tanah air. Tindakan British merampas tanah tersebut telah ditentang keras oleh rakyat. Kaum tani telah melancarkan perang untuk membela kedaulatan tanah air dan membela tanah mereka daripada dirampas oleh penjajah. Dengan itu berlakulah perang seperti:
Perang Naning di Melaka (1831-1833)
Perang Raja Mahadi di Selangor (1866-1874)
Perang Maharajalela dan Dato’ Sagor di Perak (1875-1876)
Perang Dato’ Bahaman di Pahang (1891-1895)
Perang Tok Janggut di Kelantan (1915)
Perang Haji Abdul Rahman di Terengganu (1928).
Kerana terdapat pengkhianatan yang amat keji, maka perang-perang tersebut gagal mempertahankan keutuhan wilayah tanah air dan penjajah British telah menguasai seluruh Semenanjung Malaya. Namun, perang-perang tersebut telah membentuk satu tradisi mulia semangat patriotisme bangsa Melayu yang diwariskan kepada generasi kemudiannya.
Penjajah British dengan rakusnya menguasai tanah tanaman, tanah lombong dan tanah hutan di seluruh Malaya berabad-abad lamanya. Sehingga tahun 1953, syarikat kapitalis British telah menguasai tujuh puluh peratus tanah estet seluruh negara. Mereka menghalang para petani anak watan meneroka tanah secara bebas dan mereka mengenakan kadar cukai yang amat tinggi ke atas rakyat sedangkan cukai yang dikenakan ke atas tanah milik pemodal British amat rendah sekali. Apabila ladang-ladang getah British mulai dibuka, ia hanya dikenakan cukai seringgit bagi setiap seratus ekar (iaitu satu sen seekar) dalam tujuh tahun pertama. Selepas tujuh tahun ia dikenakan dua puluh lima sen seekar. Manakala cukai bagi tanah kaum tani anak watan pula berlipat kali ganda tingginya. Cukai untuk tanah sawah pada umumnya dikenakan tiga ringgit seekar dan bagi kebun kecil getah pula enam ringgit seekar. Ini tidak termasuk lagi berbagai-bagai jenis cukai lain seperti cukai kepala, ternakan dan lain-lain.
Kami juga tunjukkan bahawa penjajah British menyedari masalah tanah boleh mencetuskan api yang akan membakar kekuasaan penjajahannya. Untuk meredakan kemarahan rakyat, maka pada tahun 1913, pemerintah penjajah menelurkan apa yang dikatakan “Enakmen Tanah Simpanan Melayu.” Di bawah enakmen ini, penjajah British menetapkan bahawa Tanah Simpanan Melayu tidak boleh dijual, disewa atau diserahkan kepada sesiapa juga yang bukan Melayu. Dengan ini di satu segi penjajah British berlagak sebagai “pembela orang Melayu,” di segi lain cuba menutupi perompakannya ke atas sebahagian terbesar tanah air kita dan cuba meredakan kemarahan para petani yang semakin ketara.
Kami tegaskan, bahawa penubuhan BTM pada 1947, adalah untuk menyambung tradisi mulia perjuangan datuk nenek kita menentang penguasaan kolonial dan membela bumi pusaka. Dalam menetapkan matlamat perjuangan tani, kami memadukan tuntutan terhadap tanah dan hak-hak asasi kaum tani dengan perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Dalam kongres menubuhkan BTM itu, dibincangkan masalah cara memperbaiki kehidupan kaum tani dan juga perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
Seperti juga pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik lain, BTM mencapai perkembangan yang agak pesat. Akhbar Pelita dan Suluh secara besar-besaran menyeru kaum tani menyertai BTM untuk kemerdekaan dan membela kepentingan kaum tani. Pimpinan PKMM dan Jabatan Kerja Melayu PKM juga bekerjasama membangkitkan seluruh masyarakat terutama pemuda dan wanita tani. Tetapi tugas ini tidak terletak pada pemimpinnya semata-mata. Tugas ini adalah tugas setiap bahagian. Hasilnya gerakan tani berkembang dengan cepat. Hingga menjelang darurat, anggota BTM mencapai angka kira-kira 30,000 orang.
Di Tanjung Karang, Selangor dapat ditubuhkan persatuan tani yang agak kuat. Persatuan itu dipimpin oleh seorang kader wanita dari Indonesia yang pernah ikut serta dalam revolusi Indonesia. Di Ulu Langat ditubuhkan koperasi tani. Di Johor, kaum tani dan kaum buruh kawasan Muar bekerjasama di bawah pimpinan Kadir dan Mat Indra. Di Pulau Pinang anggota barisan tani terdiri daripada nelayan, mereka juga anggota kesatuan buruh. Di Selangor dan Negeri Sembilan juga terdapat syarikat kerjasama tani.
Gerakan tani di Kedah dan Perlis dicantumkan di bawah pimpinan Mokhtar (Mansor). Kedah adalah antara negeri yang paling pesat berkembang gerakan taninya. Sebuah syarikat tani yang besar, anggotanya merangkumi orang Melayu dan orang Tionghua dapat ditubuhkan. Di Kedah juga pernah diadakan kongres tani secara besar-besaran. Selain itu organisasi-organisasi tani seperti syarikat kerjasama dan lain-lain didirikan di berbagai tempat seluruh negara seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Semasa perayaan menyambut Hari Pekerja Antarabangsa pada 1 Mei 1948 di Kajang, Selangor, kaum tani dari Jenderam, Ulu Langat dan tempat-tempat lain berarak dalam satu barisan yang panjang menuju tempat perhimpunan. Mereka yang ikut serta dalam perayaan itu berjumlah puluhan ribu orang, terdiri daripada orang Melayu, Tionghua dan India.
Apabila penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat, BTM turut diharamkan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan patriotik-demokratik yang lain. Namun begitu kaum tani yang luas khasnya di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Kedah dengan gagah berani mengangkat senjata untuk menentang penjajah British dan menuntut kemerdekaan tanah air. Perjuangan tani ini menjelma dalam bentuk perang gerila, menyambung tradisi perang untuk kemerdekaan tanah air di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (kemudiannya ditukar nama menjadi Tentera Rakyat Malaya) adalah tentera rakyat yang terdiri daripada putera puteri kaum tani Melayu yang cintakan kemerdekaan ibu pertiwi dan kedaulatan bangsa.
Rejimen Ke-10 telah meneruskan gerakan BTM di bawah syarat-syarat baru. Di bawah perhatian khusus Setiausaha Agung PKM, Chen Ping, Markas Besar Rejimen Ke-10 mendapat sejumlah bahan bertulis iaitu teori Mao Zedong mengenai gerakan tani. Bahan-bahan ini asalnya dalam bahasa Tionghua, kemudian diterjemahkan ke bahasa Melayu. Antara bahan itu ialah Perjuangan Di Gunung Ching Kang, karya Mao Zedong (1928), dan Penyiasatan Ke Atas Mukim Ching Kang, karya Mao Zedong, (1933). Kemudian kami mendapat pula laporan ringkas tentang kaum tani di Jawa Barat yang ditulis oleh D.N. Aidit bertajuk Kaum Tani Menghancurleburkan Syaitan Desa (1964). Karya-karya ini amat bernilai sebagai bahan teori dan bahan tatapan dalam menggariskan matlamat perjuangan kaum tani di Malaya.
Pada 7 Julai 1949, sempena ulang tahun kedua BTM, saya selaku Komisar Politik Rejimen Ke-10 mengadakan satu perayaan besar-besaran dengan orang ramai di Kampung Bukit Cempedak,Temerloh, Pahang. Dalam perayaan itu kami sebagai pihak tentera rakyat Rejimen Ke-10 menyeru para petani berjuang untuk kemerdekaan dan membela nasib mereka serta menyokong perjuangan untuk kemerdekaan yang dilancarkan Rejimen Ke-10.
Perayaan itu di satu segi untuk menyambut hari kelahiran BTM, di segi yang lain mempererat perpaduan antara massa kaum tani dengan tentera Rejimen Ke-10. Massa petani dengan penuh semangat merayakannya hingga ke pagi.
Markas Besar Rejimen Ke-10 yang meneruskan gerakan BTM terus-menerus memberi perhatian teliti terhadap masalah para petani. Risalah-risalah atas nama Jawatankuasa Pusat Barisan Tani Malaya sentiasa dikeluarkan untuk menyokong perjuangan para petani, menentang ketidakadilan pihak berkuasa dan membantah tindakan pihak berkuasa menangkap para petani yang melancarkan perjuangan untuk menuntut hak sewajarnya bagi kaum tani.
Pada tahun 1950-an, Rejimen Ke-10 di Temerloh telah membentuk “barisan peneroka,” menganjurkan kaum tani meneroka tanah untuk memperbaiki kehidupan atas semboyan, “tanah untuk milik si pekerja.” Seruan ini mendapat sambutan hangat para petani. Pada mulanya saya menghantar orang menghubungi Setiausaha Kerajaan di Kuala Lipis yang pernah menyertai perjuangan PKMM dulu. Setiausaha itu menyatakan sokongan secara peribadi ke atas tuntutan kaum tani itu. Dengan itu mulalah gerakan bebas meneroka di kawasan Bera, yang kemudian berkembang merebak ke kawasan-kawasan yang lain. Dari Lubuk Kawah saya menghantar beberapa orang ke Kelantan untuk membentuk barisan peneroka bagi menyelesaikan masalah kemiskinan kaum tani di sana. Selepas itu gerakan bebas meneroka terus berkembang ke serata negeri sehingga tidak dapat dibendung oleh pihak pemerintah.
by: wasiat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment