Setelah menandatangani perjanjian dengan Rejimen Ke-5 TAJRM, maka pasukan penyamun yang berada di situ tidak mengganggu massa rakyat lagi. Kerana penduduk kampung di kawasan Sungai Perak bahagian selatan menyokong TAJRM, maka mereka juga berlagak sebagai tentera anti-Jepun. Kerja menghubungi pasukan penyamun ini ditugaskan kepada saya bersama dengan seorang Tionghua, kader PKM.
Perbelanjaan hidup penyamun ditanggung oleh Rejimen Ke-5 TAJRM. Mereka dibenarkan mengambil barang-barang makanan dan keperluan harian di sebuah kedai.
Apabila cukup sebulan, kami berdua akan pergi menjelaskan bil mereka. Akan tetapi satu masalah yang timbul ialah bil mereka terus-menerus meningkat dari bulan ke bulan walaupun anggotanya tidak bertambah. Saya terpaksa membawa banyak wang (masa itu wang Jepun kurang nilainya) untuk menjelaskan bil itu. Kami menerangkan kepada mereka tentang kedudukan wang kami (wang parti) yang datangnya dari derma dan hadiah dari massa rakyat. Mereka menderma semata-mata kerana menyokong perjuangan melawan Jepun, bukanlah untuk berfoya-foya dan mengikut nafsu-nafsi perseorangan. Saya menjelaskan bahawa, anggota pasukan TAJRM dan lain-lain aktivis PKM hanya makan nasi bercampur dengan ubi kayu.
Pada suatu hari, pasukan penyamun itu sedang berjudi sambil minum arak di sebuah kedai. Senapangnya diletakkan berselerak di sekitarnya. Kebetulan saya dan seorang kader Tionghua itu tiba di situ. Melihat telatah itu kami merasa berang dan mencabut pistol mengacukan ke arah mereka. Kami bertempik: “Berhenti, kalau tidak aku tembak!” Mereka terkejut dengan kedatangan kami yang tiba-tiba itu. Di waktu itu terlintas di hati saya kalau mereka mahu berkeras dan tidak mendengar nasihat, saya akan tembak satu persatu. Mendengar amaran itu mereka berdiri tercengang-cengang dengan tidak berkata apa-apa. Lantas ketika itu kami mengambil semua wang yang diletakkan di atas meja yang menunjukkan bahawa mereka sudah melanggar peraturan, hidup berfoya-foya dan bermewah-mewah.
Apabila keadaannya agak tenang sedikit, barulah saya memulangkan semula wang mereka sambil memberi penerangan bahawa walaupun kami (pasukan TAJRM) ada wang, tetapi kami mempertahankan hidup sederhana dan bersimpati dengan kesulitan massa. Setelah peristiwa itu, kelakuan penyamun itu memperlihatkan perubahan-perubahan tertentu. Walau bagaimanapun susah nak dikatakan kerana hubungan mereka luas. Tetapi yang pasti di kawasan tersebut tiada berlaku apa-apa keganasan dan hal-hal yang tidak diingini.
Beberapa hari selepas peristiwa itu, lasykar rakyat dan Liga Anti-Jepun memberitahu bahawa orang-orang yang menyaksikan kejadian itu memuji tindakan kami yang mereka anggap sebagai sangat berani mencabar puak penyamun yang ramai jumlahnya itu.
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 08:08
Label: CATATAN ABDULLAH CD
No comments:
Post a Comment