Tuesday, June 29, 2010

(68) DATO BAHAMAN PERJUANGAN HALAU PENJAJAH

AMANAT PEJUANG BAHAMAN KEPADA REJIMEN KE-10


“Jangan menyerah diri kepada musuh, biarlah mati di dalam hutan, jantan sebagai pahlawan.”

“Jangan percaya kepada pembesar-pembesar Melayu kita yang menjadi kakitangan British itu. Itulah sebabnya mengapa peperangan Bahaman telah menderita kekalahan”.

“Haruslah kamu semua menyokong Rejimen Ke-10 melancarkan peperangan terhadap British, sekali-kali jangan berkhianat, siapa berkhianat akan disumpah dan akan celakalah seumur hidupnya.”

angkatan perang dato bahaman
100 tahun lebih yang lalu, daerah Temerloh pernah berkobar pemberontakan kaum tani Melayu melawan penjajah British di bawah pimpinan Datok Bahaman. Pemberontakan yang bermula di daerah Temerloh itu dengan cepat merebak ke seluruh Negeri Pahang. Pada masa itu kaum tani di sana di bawah pimpinan Datok Bahaman telahpun mengenal sifat-sifat pencerobohan dan niat jahat penjajah British yang hendak merompak kekayaan bumi tanah air dan hendak menghamba abdikan rakyat. Yang paling dirasakan mereka ialah sejak dari mula lagi British telah menggunakan kekuatan merampas hak-hak milik tanah dari kaum tani dan mengenakan cukai tanah serta merampas kebebasan kaum tani membuka tanah-tanah yang baru. Tindakan penjajah British ini benar-benar telah melanggar kepentingan asasi kaum tani. Perasaan tak puas hati yang demikianlah telah membangkitkan perasaan amarah yang meluap-luap sehingga mereka bangkit memberontak terhadap penjajah British.
para pejuang Datok Bahaman
Walaupun pemberontakan itu dengan cepat telah berkembang ke seluruh negeri, akan tetapi disebabkan pengkhianatan-pengkhianatan daripada golongan berkuasa dan Datok Purba Jelai, maka akhirnya pemberontakan itu telah gagal. Walaupun pemberontakan itu telah gagal, tetapi kerana kepentingan asasi kaum tani telah dirosaki, maka perasaan dendam amarah rakyat terutama kaum tani tetap membara seperti api dalam sekam selama puluhan tahun lamanya—menunggu ketika akan meletus sahaja. Begitupun, kadang-kadang muncul juga di sana sini kebangkitan-kebangkitan kaum tani melawan penjajah British. Begitulah halnya pada tahun 1929, tiba-tiba balai polis Merpatih diserang dan ditawan oleh sekumpulan kaum tani yang bersenjatakan raifel yang ditawan mereka di dalam peperangan Bahaman dahulu.
Apabila Rejimen Ke-10 melancarkan perjuangan bersenjata melawan British pada tahun 1948, maka segala dendaman nasional kaum tani yang selama ini terpendam itupun meletus semula seperti api menyala di padang lalang. Memang penguasaan penjajah British selama ratusan tahun di Malaya itu bukan suatu yang sia-sia bagi penjajah, di samping merompak sumber kekayaan tanah air kita, penjajah juga telah memupuk entah berapa banyak anjing-anjing buruannya, duduk bersama orang ramai di kampung-kampung menjadi mata dan telinga penjajah. Akan tetapi, bagaimanapun seruan-seruan: Tumbangkan penjajah British! Rebut Kebebasan! Berjuang untuk kemerdekaan! Dengan cepat telah meresap ke dalam lubuk hati rakyat sehingga telah menjadi kebanggaan nasional, lalu mereka bangkit dengan semangat dendaman nasional yang tinggi. Di mana-mana, Rejimen Ke-10 telah mendapat sambutan rakyat, ada yang mendermakan wang ringgit, barang-barang makanan, bahkan ada yang menyerahkan anak-anak tersayang sebagai ganti dirinya turut serta ke dalam perjuangan bersenjata melawan penjajah British.
Pada tahun 1949, di Kuala Krau terdapat seorang tua yang telah berumur dalam lengkongan 75 tahun, pernah turut serta dalam perang Bahaman melawan British. Dia juga adalah penyokong setia Pak Sako. Bila mendengar Rejimen Ke-10 telah melancarkan peperangan terhadap penjajah British, pejuang veteran itu dengan serta merta menjadi segar dan gagah, tubuh badannya menjadi ringan. Dia memanggil wakil Rejimen Ke-10 datang ke rumahnya. Dalam pertemuan itu, dia menerangkan pengalaman-pengalamannya sewaktu berperang melawan penjajah bersama Datok Bahaman dahulu.Sebagai amanat, katanya: “sebagai seorang yang pernah turut di dalam peperangan rakyat begitu, saya faham betul segala macam kesukaran yang akan ditempuh”. Dia berkali-kali menegaskan “jangan menyerah diri kepada musuh, biarlah mati di dalam hutan, jantan sebagai pahlawan.” Dia berpesan lagi: “Jangan percaya kepada pembesar-pembesar Melayu kita yang menjadi kakitangan British itu. Itulah sebabnya mengapa peperangan Bahaman telah menderita kekalahan”.
Pada hari itu juga dia menyuruh semua anak cucunya berkumpul. Dia berpesan : “Haruslah kamu semua menyokong Rejimen Ke-10 melancarkan peperangan terhadap British, sekali-kali jangan berkhianat, siapa berkhianat akan disumpah dan akan celakalah seumur hidupnya."
Begitulah semangat peperangan di zaman Bahaman telah menjadi kebanggaan kepada generasi-generasi muda yang mewarisi tradisi mulia revolusioner itu.
Begitulah juga dalam praktiknya, Rejimen Ke-10 tak pernah terlintas akan menyerah diri kepada penjajah British dan anjing-anjing buruannya. Pada awal tahun-tahun 60-an, awan mendung menyelubugi revolusi Malaya, pihak Jawatankuasa Pusat PKM pernah mengeluarkan tawaran pengunduran diri dari perjuangan kepada sesiapa yang uzur, lanjut usia atau yang tidak mahu meneruskan perjuangan lagi. Tawaran itu dijawab sebagai “Walaupun terpaksa mati dipangkal banir, perjuangan akan diteruskan!

Dicatat oleh Mat Amin pada 05:29

Label: Pahlawan Kemerdekaan, perjuangan kemerdekaan, Rejimen Ke-10 TRM

No comments:

Post a Comment