Friday, June 18, 2010

(19) SRIKANDI KHATIJAH SIDEK

IBU KHATIJAH SIDEK KETUA WANITA UMNO YANG BERJIWA RAKYAT


Khatijah Sidek dilahirkan di Sumatera begitu aktif memperjuangkan kemerdekaan daripada Belanda serta membela hak dan kedudukan wanita di Indonesia. Atas dasar ini juga beliau telah berhijrah ke Tanah Melayu untuk menggerakkan perjuangan kaum wanita menentang penjajah. Beliau pernah meringkuk dalam penjara Singapura selama dua tahun. Lebih menyedihkan, beliau telah hamil dan melahirkan anak sulung beliau di dalam penjara.

Beliau menyertai UMNO pada tahun 1953 dan telah menjawat jawatan Setiausaha Kaum Ibu dan Ketua Kaum Ibu. Sepanjang tempoh tiga tahun (1953-1956) memimpin Kaum Ibu, Khatijah telah berjaya memujuk hampir 10,000 orang wanita untuk menyertai UMNO.

Kehadiran beliau di dalam UMNO tidak disenangi oleh ahli dan pemimpin UMNO yang sederhana. Khatijah dari awal lagi mengkritik secara terbuka, pendirian sederhana pemimpin UMNO, yang menurut beliau, takut untuk berjuang ke arah kemerdekaan, malah sangat takut untuk meneriakkan slogan Merdeka (Slogan UMNO ketika itu adalah Hidup Melayu).

Khatijah Sidek adalah pemimpin wanita UMNO pertama yang begitu lantang menyuarakan hak wanita secara terbuka. Dalam Persidangan Agung UMNO 1953, beliau dengan lantang telah menuntut supaya bilangan perwakilan dari ahli wanita ditambah. Kelantangan beliau menimbulkan rasa resah di kalangan pemimpin dan ahli UMNO lalu membawa kepada pemecatan beliau dari UMNO pada tahun 1956.

Tarikh kemerdekaan merupakan saat yang mengharukan bila beliau hadir sebagi rakyat biasa, hanya menyaksikan dari jauh, rakan-rakan beliau di dalam UMNO sudah menjadi menteri di pentas utama. Jasa beliau memperkukuhkan UMNO dan menambah sokongan dari kaum wanita tidak dikenang. Wanita UMNO mengerumuni, memeluk dan menangis bila melihat beliau. Ada yang berkata`Ibu, kau yang mencurahkan titik peluh, tapi orang lain yang menuai hasil daripada benih yang ibu tanam. Sungguh tak adil...'

Sepanjang hayatnya, beliau merupakan seorang pemimpin yang melalui kehidupan yang sangat susah. Sebagai isteri kedua, beliau disisihkan oleh keluarga, dan hanya menumpang tinggal di bilik kecil di klinik milik suaminya, bersama dengan empat orang anaknya.

Khatijah Sidek diterima kembali ke dalam UMNO pada tahun 1972 ketika sudah semakin uzur. Beliau meninggal pada tahun 1982 di Kuala Lumpur ketika berusia 64 tahun, dalam keadaan miskin tanpa harta dan juga tanpa sebarang pengiktirafan dan penghargaan negara.
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 06:23
Label: SRIKANDI
Isnin, 2010 Mac 15LAI RAFEL




Lai Raifel atau nama sebenarnya Du Lung San dilahirkan pada tahun 1922 di Sitiawan Perak, mendapat pendidikan di Sekolah Chun Cheng kemudian di Nan Hwa High School. Pandai berbahasa China, Melayu dan Inggeris.
Setelah fasis Jepun menceroboh China, Lai Raifel menjadi anasir cergas dalam Persatuan Membantu China Melawan Musuh yang ditubuhkan PKM. Dalam masa yang sama, beliau bekerja sebagai guru di sekolah swasta dan menjadi wartawan akhbar sebagai samaran. Beliau bertanggungjawab membawa Chen Ping menjadi anggota PKM.
Tahun 1940, beliau ditugaskan menyusun buruh penoreh getah, intelektual dan pelajar di kawasan Kampar, Slim River, Tanjung Malim dan lain-lain.
Tahun 1941, beliau dihantar menyusun buruh bijih timah di kawasan Tanjung Tualang – suatu industri terpenting penjajah British. Di sinilah beliau bertemu Rashid Maidin yang menjadi buruh mahir di kapal korek tersebut.
Kedudukan beliau sebagai pengorganais buruh telah diintip oleh sepai penjajah. Pada suatu hari beliau dan sejumlah kader pimpinan diserbu polis. Raifel dan kader-kader tersebut ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah British.
Di dalam penjara, beliau bertekad teguh, sedikit pun tak tunduk kepada penjajah.
20 Disember 1941, beliau dan sejumlah tahanan politik dibebaskan. Lai Raifel ditugaskan memimpin satu rombongan menerima latihan militeri di Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura bagi persiapan perjuangan bersenjata. Sekolah ini diadakan atas desakan PKM memandangkan tentera fasis Jepun terus menerus mara dan tentera penjajah British terus menerus memutih tapak kaki.
Setelah tamat latihan selama 9 hari, Raifel memimpin regunya mara hingga ke Negeri Sembilan dan mendirikan Rejimen Ke-2 di situ.
Julai 1942, Lai Raifel ditransfer memimpin Rejimen Ke-5 TAJRM di Perak.
1 September 1942, Lai Raifel dan sejumlah pimpinan tertingi parti dan tentera terperangkap dalam kepungan fasis Jepun ketika mengadakan persidangan diperluas Jawatankuasa Pusat Partu di Batu Caves, Selangor. Persidangan ini dirancang oleh Lai Te yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung PKM untuk membasmi pimpinan tertinggi parti dan tentera. Lai Raifel telah bertempur sehingga pistolnya kehabisan peluru. Beliau bersama kawan-kawan lain menerobosi selapis demi selapis kepungan musuh. 18 orang kawan pimpinan dan kawan pengawal telah gugur dalam peristiwa tersebut. Kepala mereka yang gugur dipotong dan digantung di jalan-jalan utama Kuala Lumpur.
November 1943, Lai Raifel ditangkap fasis Jepun ketika beliau seorang diri dalam perjalanan pulang dari mesyuarat.
Di dalam penjara beliau dikenakan bermacam-macam seksaan di luar batas peri kemanusiaan, termasuk menggunakan bujukan wanita cantik dan lain-lain namun semua helah fasis Jepun tidak dapat menundukkan tekad beliau.
Kerana tiada cara untuk mematahkan semangatnya, akhirnya beliau dihukum pancung oleh fasis Jepun. Beliau gugur dalam usia 21 tahun.
Sajak:

BERSEMADI UNTUK KAWAN RAIFEL *1 (translit)
Oleh Jang Chang

Di tengah jalan di Pusing
Musim panas tahun 1943,
Tiba-tiba disergap musuh *2
Beliau menyerbu dengan berani.

Sebab tak mahir alam sekeliling
Beliau terjerumus ke dalam paya
Terjatuh ke tangan musuh
Diseksa dipaksa menyerah diri

Rela putih tulang, tak rela putih mata
Mendakwa mengutuk musuh terlaknat
Cita-cita kesateria tinggi mengawan
Darah pahlawan menyirami medan pembunuhan
Askar dan polis musuh keparat
Terpaksa menitiskan air mata kerananya *3


Keterangan dari penulis sajak:

*1. Sebelum ditangkap oleh fasis Jepun, Lai Raifel adalah anggota Markas Besar Rejimen Ke-5 Negeri Perak, Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya, semasa korban, beliau baru berusia 21 tahun.

*2. Beliau ditangkap musuh di sebelah pagi pada bulan November 1943.

*3. Semasa korban, semangatnya telah mengharukan tidak sedikit anggota tentera dan polis sehingga mereka menitiskan air mata secara diam-diam.

(Jang Chang adalah seorang rakan seperjuangan Lai Raifel yang sama-sama meringkuk dalam penjara fasis Jepun)


Baca sajak asal (Mandarin)
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 10:07
Label: PAHLAWAN TERBILANG, SRIKANDI
SITI NORKIAH
Jika bercerita tentang Rejimen Ke-10, tak dapat tidak harus menyebut Sungai Pahang, perjuangan Datok Bahaman, PKMM, API, PETA, AWAS, Barisan Tani Malaya dan Kesatuan Buruh Melayu.

Seorang kader veteran Rejimen Ke-10 yang juga puteri terpuji Sungai Pahang dan zuriat pejuang Datok Bahaman ialah Siti Norkiah, anak Pesuruhjaya PKMM Pahang, Mahmood Baginda. Aki beliau, Baginda pernah menyertai revolusi anti-Belanda di Indonesia, kemudian menyertai perjuangan Datok Bahaman.

Siti Norkiah adalah Ketua Awas Pahang. Di dalam pasukan beliau digelar sebagai Tun oleh rakan seperjuangan, manakala di kalangan massa rakyat di kawasan sempadan pula beliau di panggil Makcik Saripoh.

Profail Siti Norkiah Mahmood Baginda.




Siti Norkiah binti Mahmud Baginda, di pasukan Rejimen Ke-10 lebih dikenali sebagai Tun Minah, dan di kalangan massa rakyat kawasan sempadan dikenali sebagai Makcik Saripoh.
Lahir di Bandar Serambik Luar, Raub, Pahang pada tahun 1920-an.
Bapa bernama Mahmud bin Baginda, ibu bernama Zaleha binti Mat Yusof, keturunan India Muslim berasal dari Karachi.
Belajar secara tidak menetap dibeberapa sekolah kerana mengikut keperluan kerja bapanya dan belajar sendiri di kampung.
Bapa (Mahmud bin Baginda) menjadi anggota KMM, rapat dengan Ibrahim Yaakob. Dalam masa aman Mahmud Baginda menjadi Pesuruhjaya PKMM Negeri Pahang. Tokki Siti Norkiah (bapa Mahmud Baginda) bernama Baginda Abdullah Murah berasal dari Sumatera, menyertai revolusi Indonesia menentang Belanda. Setelah revolusi itu gagal, beliau melarikan diri ke Malaya dan menetap di Pahang. Di Pahang beliau menjadi sahabat rapat Datok Bahaman dan menyertai Perang Bahaman.
Sejak kecil, ayahnya (Mahmud Baginda) sentiasa menceritakan perihal politik, soal revolusi, sikap datuk neneknya terhadap revolusi dan lain-lain kepada Siti Norkiah dan adik beradiknya yang lain seperti Siti Khadijah (kakak) Zainab dan Osman Abadi (adik). Di bawah pengaruh bapa, mereka menjadi ahli KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob. Ibrahim Yaacob selalau datang ke rumahnya untuk bermesyuarat. Dalam masa yang sama, dengan dorongan bapanya mereka menyertai Sabahat Pena – Sebuah persatuan untuk menjalin persahabatan di kalangan anggota yang berpejabat di Pulau Pinang di bawah pimpinan Seikh Sagof.
Dalam masa pendudukan Jepun, ayahnya menyokong perang anti-Jepun secara rahsia. Untuk satu masa pendek setelah Jepun kalah, rumahnya menjadi pejabat pemerintahan sementara Tentera Anti-Jepun.
Setelah Jepun kalah, PKMM telah mendirikan AWAS (Angkatan Wanita Sedar) sebagai sayap wanitanya. Dalam satu sidang di Benta, Siti Norkiah dipilih menjadi Ketua Awas Pahang merangkap Ketua Awas bahagian Benta. Sebagai Ketua Awas, saban hari beliau sibuk berkejar ke sana ke mari mengadakan ceramah, rapat umum dan lain-lain untuk menabur semangat kemerdekaan di kalangan orang ramai.
Jun 1948, penjajah British isytiharkan undang-undang darurat. Kerana hendak ditangkap, beliau berlindung di rumah-rumah massa, yang pada umumnya adalah anggota atau penyokong AWAS atau API. Dalam masa inilah beliau diterima menjadi anggota PKM di bawah perkenalan Kamarulzaman Teh.
Pada penghujung 1949 barulah beliau dapat berhubung dengan pasukan TPNM Cina Rejimen Ke-6 yang berberak di Jerangsang. Tak lama setelah itu beliau dapat berhubung dengan Musa Ahmad dan adiknya Zainab. Kemudian Siti Norkiah menyertai regu Musa Ahmad bergerak di Pahang Utara, bergabung dengan Rejimen Ke-11.
Pada penghujung tahun 1953, Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 tiba di Rejimen Ke-11 dalam rangka perpindahan strategik mereka ke utara. Siti Norkiah dan regu kawan-kawan Melayu di bawah pimpinan Musa Ahmad bertolak bersama-sama Abdullah C.D. ke kawasan sempadan.
Pada tahun 1958, beliau berkahwin dengan Abu Samah Mohd. Kassim. Setelah penandatanganan Haadyai, beliau dan suaminya Abu Samah menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Kampung Chulabhorn 12 di Daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand.



Di kawasan sempadan, beliau ditugaskan memimpin regu penyusun massa. Antara kapung-kampung yang pernah disusunnya ialah Jadih di Sukhirin, Kg Perah, Kg. Balik, Kg. Chembir, Kampung Resa di Weang, Kampung Dohik, Kampung Teras, Kampung Pak Chek Teng di Sungai Padi; Kampung Kuala Kail, Kg. Kuala Balai, Kampung Jok di Banang Star, Yala dan lain-lain.
Mulai tahun 1969, beliau menyertai pasukan penggempur Rejimen Ke-10 bergerak ke kawasan Ulu Kelantan di bawah pimpinan Abu Samah, menghadapi ujian kekurangan bahan makanan, serangan kempen kepung basmi tentera Kerajaan Kuala Lumpur dan lain-lain.
Pada tahun 1980 beliau ditugaskan berkhidmat dalam Kompeni Ke-21 Rejimen Ke-10 iaitu pasukan induk Rejimen Ke-10, menjadi anggota Badan Pimpinan Markas Pengarah Kompeni merangkap memimpin bahagian wanita dan masalah wanita Kompeni Ke-21.
Sepanjang perjuangannya, dalam parti beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kawasan (Setiausaha Area Komiti) dan di dalam tentera dilantik sebagai Ketua Kompeni.
Pada tahun 1988, Abdullah C.D. sebagai wakil Rejimen Ke-10 dan Ghafar Baba sebagai wakil Kerajaan Malaysia mengadakan perundingan damai tingkat rendah untuk menamatkan persengketaan bersenjata. Siti Norkiah menjadi anggota rombongan Rejimen Ke-10 dalam perundingan pusingan ke-2 yang berlangsung di Pulau Pinang pada bulan Ogos 1988. Seorang adiknya Hj. Mokhtar bin Mahmud Baginda menjadi orang penghubung antara Tun Ghafar Baba dan Abdullah C.D. dalam siri perundingan tersebut.
Tahun 1999, beliau bersama suami Abu Samah Mohd. Kassim serta Abudullah C.D. dan Suriani selamat menunaikan fardhu Haji.
7 April 2009, tarikh yang paling sedih dalam hidupnya, rakan seperjuangan dan teman hidupnya Abu Samah kembali ke rahmatullah. Tapi dengan semangatnya yang teguh, beliau dapat hadapi hari-hari yang sedih itu dengan tabah.
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 09:04
Label: PAHLAWAN TERBILANG, SRIKANDI
Ibu Zaleha - Ketua AWAS Lubuk Kawah
(disiarkan Kampung Perdamaian Sukhirin -

Kini Dan Silam pada 30 Julai 2009)




Ibu Zaleha Mat Roni adalah serikandi terpuji puteri Sungai Pahang yang rela bergalang tanah demi kemerdekaan tanah air. Dengan mendapat pengaruh patriotisme dari datuknya yang menjadi angkatan perang Datok Bahaman, Ibu Zaleha membenci penjajah British sejak kecil lagi. Begitu gerakan kemerdekaan berkobar di Temerloh selepas kekalahan Jepun, beliau lantas menyertai AWAS (Angkatan Wanita Sedar) - pertubuhan wanita Melayu yang pertama memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Beliau telah diberi kepercayaan memimpin AWAS Cawangan Lubuk Kawah sehinggalah pertubuhan itu diharamkan pada tahun 1948. Berikut adalah profail ringkas Ibu Zaleha Mat Roni.



Nama: Zaleha binti Mat Roni (1924 – 2004) atau nama samarannya Rosmah@ Wan, dilahirkan di Kampung Bangau Tanjung, Mukim Bangau, Daerah Temerloh, Negeri Pahang.
Pendidikan: Lulus darjah 4 Sekolah Melayu Bangau. Belajar agama dengan guru agama kampung.
Datuknya Mat Ali (sebelah ibu) pejuang angkatan perang Bahaman, selalu menceritakan kisah perang tersebut kepadanya. Semangat patriotisme dan bencikan penjajah mula berputik di benaknya sejak dari kecil.
1940, pindah ke Kampung Lubuk Kawah. Pengaruh patriotisme anti penjajah lebih diperdalam lagi dengan gerakan PKMM, PKM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain yang berkembang pesat di Temerloh.
Tahun 1946 menjadi anggota AWAS, dipilih menjadi Ketua Cawangan Lubuk Kawah hingga AWAS diharamkan pada tahun 1948. Di sekolah API Lubuk Kawah ada kelas politik yang memperkenalkan imperializem, kapitalizem, sosializem, komunizem dan lain-lain. Guru yang mengajar ialah Kamarulzaman Teh dan Pak Da Hami
AWAS Cawangan Lubuk Kawah:
Pembantu Ketua - Mak Ngah Minah (merangkap bahagian propaganda)

Setiausaha- Zaharah Bendahari Zawiah binti Hj Ibrahim


Ahli Jawatankuasa - Siti, Rahmah.


Semasa AWAS didirikan anggotanya seramai 15 orang saja. Tapi menjelang darurat anggotanya bertambah sampai 100 orang.
Oktober 1947, hadir kongres AWAS di Kajang, Selangor. Pahang menghantar 7 orang wakil.
Jun 1948 darurat diisytiharkan, beliau ditugaskan menyusun massa dan membantu pasukan gerila di kampung. Walaupun AWAS sudah diharamkan, beliau masih meneruskan perjuangan AWAS dengan menubuhkan cawangan AWAS di kampung-kampung, menerangkan soal kemerdekaan dan membela nasib wanita.
1949 penjajah mahu menangkapnya, beliau menyertai Rejimen Ke-10 bertugas menyusun massa. Lebih 50 anggota AWAS Kampung Lubuk Kawah menyertai perjuangan bersenjata.
Disember 1949, pertempuran di Jerangsang antara 300 orang Rejimen Ke-10 dan Kompeni Ke-26 Rejimen Ke-6 dengan 1 batalion askar Gurkha. Beliau ditugaskan mengundurkan barang-barang dengan selamat.
1951 ikut bersama rombongan Abdullah C.D. ke Bentong mesyuarat dengan Chen Ping dan bertemu Rashid Maidin yang baru lepas dari tahanan penjajah.
1953 menyertai pasukan Hang Jebat berpindah ke kawasan sempadan, ditugaskan sebagai Ketua Seksyen Wanita.
Di sempadan ditugaskan menyusun massa. Massa sangat menghormati dan menggelarnya Mak Bidan kerana berjaya menyelamatkan ibu yang mendapat masalah ketika bersalin dan perkhidmatan perubatan lain kepada massa.
1960 mendirikan rumah tangga dengan Sukur Ismail.
1968 – 76 ikut serta dalam 3 kali pasukan penggempur Rejimen Ke-10 beroperasi di Ulu Kelantan, bertugas menyusun massa berbagai kaum termasuk massa Orang Asli. Beliau sentiasa memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada Orang Asli.
1977 - 89 – ikut serta memimpin Kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10, dilantik sebagai Ketua Kompeni.
25 September 2004 meninggal dunia dalam usia 80 tahun kerana sakit tua. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin.

Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 08:52
Label: PAHLAWAN TERBILANG, SRIKANDI

No comments:

Post a Comment