Thursday, June 17, 2010

(11) PENUBUHAN REJIMEN KE -10

PASUKAN HANG JEBAT
Pada tahun 1953, Markas Besar Rejimen Ke-10 telah membentuk Pasukan Hang Jebat. Pasukan ini dipimpin langsung oleh Komisaris Politiknya, Abdullah C.D.. (gambar kiri) Tugas mereka ialah melakukan perpindahan strategik ke kawasan sempadan Thai-Malaysia. Anggota pasukannya kira-kira 60 orang.

Selain pasukan Hang Jebat, terdapat satu regu kecil Rejimen Ke-10 di pimpin Ibrahim Chik (gambar kanan) bertolak ke kawasan sempadan pada tahun 1951. Regu ini bergabung ke dalam Pasukan Hang Jebat di kawasan sempadan. Merekalah yang membuka basis kawasan sempadan dan mengembangkan Rejimen Ke-10 sehingga tercapainya persetujuan damai 3 pihak di Hadyai pada tahun 1989.

Berikut adalah catatan Abdullah C.D. berkenaan Pasukan Hang Jebat.


Pasukan Hang Jebat


Pada bulan Mac 1953, kami berkumpul di Kerdau. Selain dari pasukan Markas Besar Rejimen Ke-10, pasukan pimpinan Jasman dan Razali dari Bahaman I dan Bahaman II juga datang dalam perkumpulan itu.

Di sinilah saya menyusun semula Markas Besar Rejimen Ke-10 menjadi 2 bahagian. Satu bahagian memimpin pekerjaan di Temerloh di bawah pimpinan Jasman. (gambar kiri) Markas Besar ini diletakkan di bawah pimpinan Biro Selatan atau Dewan Sentral Komiti Selatan Malaya. Tugas Markas Besar bahagian Selatan ini memimpin seluruh pekerjaan Rejimen Ke-10 di basis Temerloh dan pasukan-pasukan Melayu yang bergerak di Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan lain-lain. Unit-unit Rejimen Ke-10 di Kawasan Bahaman I, Bahaman II, Kawasan Jebek iaitu kawasan Tasik Bera dan Platun 5 yang beroperasi di Pahang Timur dan juga kerja bawah tanah di Temerloh.

Kedua ialah Markas Besar Rejimen Ke-10 yang melaksanakan perjalanan jauh. Markas Besar ini di bawah pimpinan Biro Utara atau Dewan Sentral Komiti Utara Malaya. Masa itu Rashid Maidin sudah bertolak ke Perak manakala Musa Ahmad pula sudah bertolak ke Pahang Utara. Setelah kami tiba di sana, Rashid dan Musa akan bergabung dengan kami untuk sama-sama memimpin pasukan. Di bawah Markas Besar ini, didirikan Pasukan Hang Jebat kira-kira 60 orang kawan lelaki dan wanita yang akan melaksanakan tugas perjalanan jauh. Saya melantik Abu Samah sebagai Komisaris Politik yang memimpin seluruh pasukan dan membentuk Badan Markas Pengarah terdiri dari Abu Samah, Rosli (gambar kanan) dan Latif. Pasukan Hang Jebat dibahagikan kepada 4 seksyen:


Seksyen pertama diketuai oleh Nusi
Seksyen kedua diketuai oleh Majid
Seksyen ketiga diketuai oleh Sulaiman Songsang
Seksyen keempat (kawan-kawan wanita) diketuai oleh Rosmah

Dari segi logistik pula, kami mendapat sokongan massa dari kampung-kampung berkurung di Temerloh. Di dalam kampung berkurung itulah massa menyediakan barang-barang makanan kami dan juga menjahit ratusan pasang pakaian seragam baru, lengkap dengan baju, seluar, topi, patis, stokin, bekas peluru, haversek dan sebagainya. Setiap kawan diberi 2 pasang uniform baru.

Anggota Pasukan Hang Jebat:

1. Abdullah C.D.
2. Duwi
3. Hatta
4. Mat Nor
5. Rashid Maidin
6. Alok (Kariya)
7. Junit
8. Musa Ahmad
9. Sukur
10. Salam
11. Tahir (Pengulu)
12. Eng Ming Ching
13. Salim
14. Nusi
15. Asmat
16. Darus (Huang Sheng)
17. Mamat
18. Abu Samah
19. Rosli
20. Latif
21. Ani (Ibrahim)
22. Masin
23. Kari
24. Majid
25. Yaman
26. Sulaiman Songsang
27. Napi
28. Mat Gantuk
29. Ayak
30. Madun
31. Nasir
32. Waiming
33. Anuar (Bakar Ali)
34. Husin
35. Pakda Hamid
36. Tuah
37. Agus
38. Pakwa PWD
39. Pak Ngah Arif
40. Jalil
41. Sopiah
42. Uyub
43. Mat Din
44. Pendek
45. Zahari
46. Pak Alang (Manan b Tawang)
47. Mansor
48. Bali
49. Dayak
50. Mahmud
51. Kadir
52. Ishak
53. Rosmah
54. Atom
55. Tun Minah
56. Samsiah
57. Habsah
58. Zam
59. Aida (Zainab)
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 22:08
Label: PENUBUHAN REJIMEN KE 10
Rabu, 2010 Mac 31WARGA LUBUK KAWAH TAK RELA JADI ALAT PENJAJAH BRITISH - BAHAGIAN AKHIR
Satu keistimewaan yang menonjol dari massa revolusioner Lubuk Kawah ialah pendirian teguh, mengenal jelas mana kawan dan mana lawan. Kaum penjajah berusaha memupuk tali barut atau intelijen dari warga Lubuk Kawah, tapi semuanya gagal. Kerana semua warga tak rela menjadi alatnya, maka penjajah terpaksa mengirim intelijennya (atau disebut sebagai hantu) dari luar. Perisitiwa ini berlaku ketiga warga Lubuk Kawah yang dihalau untuk kedua kalinya dibenarkan pulang ke kampung mereka.



Massa revolusioner Lubuk Kawah mempunyai semangat anti-penjajah yang tinggi dapat mengenal siapa yang menjadi hantu penjajah. Mereka segera melaporkan kepada pasukan gerila jika terdapat hantu yang menyeludup ke kampung mereka. Dengan itu tindakan yang sepatutnya segera diambil.


Sebelum diisytiharkan Undang-undang Darurat, penjajah, kaum penjajah menghantar tenteranya 2 kali menyerbu kampung ini untuk mendapatkan maklumat . Tapi kaum penjajah tidak mendapat apa-apa rahsia. Kali pertama, hampir 2 platun (kira-kira 60 orang) askar British yang bersenjata lengkap datang di waktu subuh mengepung rumah sebuah keluarga revolsuioner. Tentera penjajah menyeret seorang ibu revolusioner (yang sudah kematian suaminya) berserta anak-anaknya turun ke tanah. Dengan menghalakan muncung breengun dan lain-lain senjata ke arah mereka, tentera penjajah mengugut ibu itu supaya memberitahu sama ada mereka menyembunyikan barang-barang parti komunis. Sebenarnya, untuk kegunaan Sekolah Parti Kem Se-Malaya, pihak PKM telah mengirim sejumlah senjata, alat-alat kerja, buku-buku dan lain-lain melalui anasir cergas kampung untuk di bawa ke perkhemahan di hutan. Sebahagian barang-barang itu di simpan di rumah ibu revolusioner tersebut.

Musuh telah mengugut seisi keluarga revolusioner ini dengan bermacam-macam cara serta dengan biadabnya menggeledah rumah. Tapi musuh tidak mendapat apa-apa. Berdepan dengan ibu dan anak-anaknya yang teguh pendirian itu, musuh telah menerima kegagalan yang memalukan.

Tak lama selepas itu, sekali lagi tentera penjajah menyerbu kampung Lubuk Kawah. Musuh dengan bengis menyoal warga kampung khasnya para wanita di mana suami-suami atau anak-anak muda mereka pergi. Sekali lagi musuh tidak mendapat apa-apa maklumat.

Setelah berkali-kali gagal mendapat rahsia dari orang-orang dewasa, musuh membuat satu komplotan baru dengan cara memujuk kanak-kanak pula. Suatu hari tentera penjajah telah menghimpun semua kanak-kanak kampung tersebut lalu membawa mereka menaiki motobot untuk “makan angin” ke tengah Sungai Pahang. Motobot itu menarik pula sebuah perahu besar yang penuh berisi beranika barang kegemaran kanak-kanak seperti gula-gula, biskut, kacang, roti dan sebagainya. Tiba di suatu tempat, musuh membujuk anak-anak itu dengan memberikan hadiah barangan tadi. Tapi di luar dugaan musuh, kanak-kanak Lubuk Kawah adalah penerus perjuangan anti-penjajah untuk kemerdekaan tanah air. Di bawah asuhan ibu bapa, mereka mengetahui siapa sebenarnya kaum penjajah British itu.

Setelah gagal mendapatkan rahsia, musuh terpaksa memulangkan semula kanak-kanak tersebut ke keluarga masing-masing.

Demikianlah sekelumit kisah berkenaan Kampung Lubuk Kawah. Yang teguh menyokong pasukan Rejimen Ke-10. Peristiwa-peristiwa yang dipaparkan ini berlaku dalam masa 1948 – 1953 semasa Lubuk Kawah menjadi basis Rejimen Ke-10.
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 20:12
Label: PENUBUHAN REJIMEN KE 10
TAK GENTAR KE TALI GANTUNG
Massa revolusioner Lubuk Kawah telah mewarisi tradisi mulia perjuangan Datok Bahaman, rela bergalang tanah daripada bertekuk lutut kepada kaum penjajah. Mereka gagah berani dan pintar dihadapan musuh serta mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi, tak takut menghadapi seksaan dan tali gantungan musuh. Dua contoh yang menarik boleh dipaparkan di sini.

Suatu pagi waktu subuh, setelah Undang-undang Darurat diisytiharkan, satu kompeni askar penjajah telah datang mengepung rumah-rumah orang ramai di kampung itu, memaksa warga turun dari rumah dan berbaris untuk diperiksa. Dalam peristiwa itu, seorang pemuda revolusioner anggota PKMM telah ditangkap lalu hendak digiring ke penjara.
Dalam saat-saat mencemaskan itu, pemuda tersebut berpura-pura hendak buang air besar dan meminta kebenaran dari seorang pegawai di situ. Dengan dikawal
ketat-ketat oleh beberapa orang askar ia pergi ke tandas dalam sungai. Tiba di tandas, ia perlahan-lahan turun dalam air lalu menyelam dan segera melepaskan diri dengan selamatnya. Setelah lama menunggu di luar tandas, askar-askar itu merasa curiga lalu menyerbu ke dalam tandas yang kosong itu. Barulah mereka tahu bahawa mereka telah diperdayakan.

Setelah berjaya melepaskan diri, pemuda revolusioner tadi berusaha menghubungi pasukan gerila. Akhirnya dia telah diterima menjadi perajurit Rejimen Ke-10.

Seorang lagi pemuda revolusioner bernama Omar, anggota PKMM yang menjadi anasir cergas Rejimen Ke-10 telah ditangkap kaum penjajah dan dikenakan hukuman gantung. Kali pertama ia telah ditangkap bersama bapanya dan dipenjarakan selama 1 tahun. Setelah dibebaskan, bapanya tidak dibenarkan lagi tinggal di Lubuk Kawah. Sungguhpun begitu Omar dibenarkan menetap di Lubuk Kawah dengan syarat ia tidak lagi menyokong komunis atau Rejimen Ke-10.

Tetapi Omar tetap bersemangat berkobar-kobar dan menjalankan berbagai tugas revolusi. Suatu kali, tentera upahan penjajah telah menyerbu kampung. Mereka telah menjumpai barang-barang yang Omar belikan untuk Rejimen Ke-10 yang belum sempat diserahkan. Omar ditangkap untuk kedua kalinya dan dibawa ke penjara.

Di dalam penjara, Omar dikenakan bermacam-macam seksaan termasuk menggunakan karan elektrik. Akan tetapi tekadnya teguh tak tertundukkan. Akhirnya kaum penjajah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas patriot Omar di Raub.

Omar adalah seorang patriot dan pahlawan kemerdekaan!
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 15:33
Label: PENUBUHAN REJIMEN KE 10
PENUBUHAN REJIMEN KE 10 BAHAGIAN 4 (SOKONGAN PADU ORANG MELAYU )
Tanpa mendapat sokongan massa, Rejimen Ke-10 tak akan dapat melancarkan perjuangan menentang kaum penjajah British. Walaupun dengan alat persenjataan yang paling rendah mutunya berbanding dengan kekuatan penjajah British yang mendapat sokongan dari Amerika Syarikat, Rejimen Ke-10 dapat melancarkan perjuangan yang menggelora dan menimpakan pukulan yang teruk ke atas penjajah British.

Salah satu syarat pentingnya ialah sokongan kuat massa rakyat. Walaupun kaum penjajah dan talibarut-talibarutnya menggembar gemburkan kononnya Rejimen Ke-10 tidak mendapat sokongan massa rakyat, tetapi kenyataan sebenarnya tidaklah demikian. Rejimen Ke-10 itu sendiri adalah lahir dari massa rakyat terutamanya kaum tani Melayu yang luas dan mendapat sokongan massa rakyat.
Perjuangan pahit maung dari 1948 – 1953 sudah cukup memberi bukti bahawa Rejimen Ke-10 mendapat sokongan sekuat tenaga dan tulus ikhlas dari massa rakyat.

Warga Lubuk Kawah adalah salah satu contoh yang menonjol memberikan sokongan yang tak berbelah bagi kepada Rejimen Ke-10. Boleh dikatakan berbagai peringkat penduduknya memberikan sokongan kepada pasukan. Guru-guru agama kampung ini mempunyai pandangan yang luas dan progresif. Mereka menanam semangat patriotik dan jiwa merdeka di kalangan murid-muridnya serta menyeru mereka menyertai perjuangan bersenjata menentang penjajah British untuk kemerdekaan tanah air.

Tanpa mengira mara bahaya, massa revolusioner di sini tak putus-putus membekalkan pasukan dengan bahan-bahan makanan, alat-alat kelengkapan termasuk sejumlah senjata, peluru dan lain-lain. Sejak dari masa penyelenggaraan Sekolah Parti Kem Se-Malaya pada Jun 1948 hinggalah basis ini ditinggalkan pada tahun 1953, ia terus menerus memberikan sokongan yang tegug kepada pasukan Rejimen Ke-10 (kecuali pada masa 2 kali massa dihalau dari kampung itu). Massa revolusioner aktif memberikan derma dan lain-lain untuk pasukan. Gembar-gembur kaum penjajah konon Rejimen Ke-10 telah berpecah belah dan hancur selepas peristiwa Padang Piol pada bulan November 1949 itu sedikitpun tidak menggoyangkan pendirian massa kampung ini. Mereka penuh yakin kepada pasukan dan terus menerus memberikan sokongan yang amat berharga.

Ada sebuah keluarga petani revolusioner di kampung ini yang sejak awal-awal lagi telah menyokong revolusi. Petani tua ini tak sayang membekalkan pasukan; dalam beberapa kali gerakan pendermaan yang dianjurkan, dia telah mendermakan ratusan gantang padi atau beras kepada pasukan. Dua orang puteranya diserahkan masuk pasukan, kedua-duanya telah gugur dengan gagah perwira di medan pertempuran. Seorang lagi anaknya ditangkap kaum penjajah. Di hadapan dugaan yang berat, petani tua ini teguh pendirian, sedikitpun tidak patah semangat dan terus menerus memberikan sumbangan kepada pasukan.

Yang paling memberangsangkan lagi ialah massa revolusioner kampung ini dengan penuh kerelaan menyerahkan 40 orang putera-puteri terpuji mereka memasuki Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Di kampung hanya tinggal beberapa orang yang sudah berumur serta kanak-kanak. Mereka berpesan kepada anak-anak mereka supaya berjuang terus, sekali-kali jangan patah di tengah jalan, apa lagi menjadi pengkhianat.


Siti Mariam Idris - salah seorang puteri terpuji
Lubuk Kawah yang menyertai pasukan Rejimen Ke-10.

Apabila terbentuknya pasukan asas 17 orang dan lebih-lebih lagi setelah Rejimen Ke-10 dirasmikan pada bulan Mei 1949, massa kampung ini melonjak-lonjak gembira. Mereka menjadi lebih terberangsang lagi kerana mempunyai tentera mereka sendiri melawan penjajah British dan membela kepentingan rakyat.

Pada tahun 1949, selama lebih setengah tahun, sebuah platun besar iaitu Platun Ke-5 telah bertapak di basis ini. Sebahagian besar anggota platun tersebut terdiri dari pemuda pemudi Kampung Lubuk Kawah. Untuk mematahkan kecongkakan kaum penjajah dan membangkitkan massa rakyat, kawan-kawan platun tersebut telah melancarkan sederetan tindakan-tindakan militer, menyerang pos-pos pasukan penjajah dan merampas senjata-senjata.

Sepanjang proses perjuangan bersenjata baik di Temerloh mahupun di kawasan sempadan, pemuda-pemudi kampung ini yang menyertai Rejimen Ke-10 telah memberikan sumbangan yang mulia kepada usaha kemerdekaan tanah air.
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 02:56
Label: PENUBUHAN REJIMEN KE 10
Selasa, 2010 Mac 30RENDETAN PENUBUHAN REJIMEN KE 10 BAHAGIAN 4 (KAMPUNG LUBUK KAWAH)

Pada masa awal Undang-undang Darurat, daerah Temerloh yang luas bertaburan kampung-kampung petani Melayu yang menjadi pangkalan pasukan gerila Rejimen Ke-10. Kampung Lubuk Kawah adalah salah sebuah kampung sedemikian.

Kampung revolusioner ini dipagari oleh hutan yang kecil sahaja. Di sisinya terbentang Sungai Pahang yang mengalir beralun-alun sepanjang tahun. Kebanyakan penduduknya terdiri dari kaum tani miskin dan tani sedang lapisan bawah.
Walaupun kampung ini kecil dengan belasan buah rumah dan penduduknya hanya 90 orang sahaja namun ia memiliki kisah-kisah revolusioner yang kaya raya dan mengkagumkan. Ia adalah sebuah basis kecil yang ulung bagi Rejimen Ke-10.

Rakyat dan hanya rakyatlah yang merupakan tenaga penggerak yang menciptakan sejarah dunia. Peranan yang dimainkan oleh massa rakyat revolusioner Lubuk Kawah serta sokongan yang telah mereka curahkan kepada revolusi merupakan sumbangan-sumbangan yang amat berharga kepada perjuangan bersenjata.

Sejak dari masa perang Bahaman hinggalah ke masa Perang Anti-Jepun, melalui masa aman (selepas Jepun kalah hingga darurat) membawa kepada Perang Pembebasan Nasional Anti-British, massa revolusioner kampung ini bertekad teguh dan dengan semangat patriotisme yang berkobar-kobar telah bangkit berjuang melawan penjajahan demi membela kampung halaman dan demi kemerdekaan tanah air.

Di masa Perang Anti-Jepun, pemuda-pemudanya secara rahsia telah mendirikan persatuan anti-Jepun, melakukan kerja kawalan, mengutip derma, mencari berbagai maklumat tentang musuh dan lain-lain. Apabila fasis Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, massa kampung Lubuk Kawah turut serta mengambil bahagian dalam perarakan di bandar Temerloh bagi merayakan kemenagan perang anti-fasis itu.

Pada masa aman, pengaruh PKM PKMM, API AWAS, Barisan Tani dan kemudian PETA berurat berakar di kampung ini. Massa kampung khasnya pemuda pemudi revolusioner telah memupuk aktivis-aktivis baru dalam berbagai lapangan. Anggota-anggotanya menubuh dan mengelolakan sebuah kedai syarikat kerjasama, mengerjakan kebun syarikat, mengelolakan 2 buah motobot syarikat, mengadakan aktiviti bergotong royong kampung seperti menanam padi, menyemai dan menumbuk padi, mengadakan pakatan sekampung untuk khairat kematian dan lain-lain.

Mereka sering mengadakan perbincangan-perbincangan mengenai pergolakan politik tanah air, mengadakan perbarisan, menaikkan bendara, menganjurkan rapat umum anti-British dan lain-lain. Apabila API diharamkan dan cawangannya ditutup, pemuda-pemuda revolusioner kampung mendirikan pula PETA. Gerakan PETA setengah terbuka dan setengah rahsia. Anggota-anggota PETA disusun bergerup-gerup belajar dalil-dalil revolusi secara rahsia di bawah bimbingan kader-kader parti di bawah tanah. Pada bulan April 1948, anggota-anggota PKMM, PETA dan AWAS tempatan telah menghantar perwakilan ke Kongres Kebangsaan PETA dan sama-sama mengambil bahagian dalam perarakan besar-besaran di Temerloh pada akhir kongres itu.

Ketika diadakan Sekolah Parti Kem Se-Malaya yang diadakan di kawasan hutan berhampiran Lubuk Kawah, massa revolusioner kampung ini telah memainkan peranan penting. Mereka aktif menghulurkan derma dalam berbagai bentuk untuk mendukung sekolah parti tersebut. Setiap buah rumah telah memberikan 50 gantang padi atau lebih. Ada keluarga-keluarga petani yang mendermakan ratusan gantang. Apabila padi dikumpulkan, anggota-anggota pergerakan wanita sibuk mengorganais aktiviti menumbuk padi secara bergotong royong di kalangan orang ramai.

Massa revolusioner kampung ini menghadapi ujian-ujian lebih berat setelah diisytiharkan Undang-undang Darurat. Pemuda pemudi revolusioner, kader-kader dan anggota PKMM, PETA, AWAS dan Barisan Tani Malaya tempatan dengan semangat yang menyala-nyala telah menyahut seruan PKM dan berdahulu kemudian memanggul senjata menceburkan diri dalam pasukan gerila.

Kaum penjajah British semakin bermaharajalela di merata kampung mengugut, menangkap bahkan membunuh orang ramai untuk memutuskan hubungan antara pasukan-pasukan gerila di hutan dengan massa rakyat. Akan tetapi massa revolusioner kampung Lubuk Kawah sekali-kali tidak tunduk di hadapan terror putih musuh. Biar keadaan betapa sulit sekalipun, mereka tetap berpendirian teguh, dengan hangat menyokong dan mendukung pasukan gerila walaupun diugut, dipenjarakan, disiksa bahankan dihukum gantung.
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 22:43
Label: PENUBUHAN REJIMEN KE 10

No comments:

Post a Comment