Friday, June 18, 2010

(26) RASHID MAIDIN WAKIL KE PERSIDANGAN PARTI KOMUNIS KOMENWEL

pkm kerjaan malaysia kerajaan thai  pulang dr hatyai
RASHID MAIDIN WAKIL KE PERSIDANGAN PARTI KOMUNIS KOMENWEL
Rashid Maidin adalah seorang pimpinan Jawatankuasa Pusat PKM dan pimpinan penting Rejimen Ke-10 selepas Abdullah C.D.. Beliau dikatakan orang Melayu yang pertama menyertai PKM. Beliau juga merupakan rakan seperjuangan Abdullah C.D., Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhammad, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan lain-lain.


Pada tahun 1947, beliau mewakili Parti Komunis Malaya menyertai Persidangan Parti-parti Komunis Komanwel di London. Meneliti catatan beliau masa itu, kita dapat merasakan betapa menggeloranya perjuangan kemerdekaan yang dilancarkan golongan kiri dan satu perpaduan yang kukuh terjalin antara berbagai aliran dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air.


Rashid Maidin dan Abu Samah Mohad. Kassim


Rashid Maidin: Menyertai Persidangan Parti-Parti Komunis Komanwel, 1947


Selepas Perang Dunia Kedua, kesedaran politik rakyat pelbagai bangsa, khususnya di Asia, menanjak dengan hebatnya. Mereka mahukan penjajahan yang menindas mereka ditamatkan dan menuntut kemerdekaan tanah air dengan segera. Dalam suasana yang beginilah Persidangan Parti-parti Komunis Negara-negara Komanwel dilangsungkan pada tahun 1947. Dari Malaya, PKM telah menghantar tiga orang wakil yang sekali gus juga simbol tiga kaum terbesar di Malaya - saya orang Melayu, Wu Tien Wang orang Tionghua dan Balan orang India - untuk menghadiri persidangan itu.
Ketika saya dipilih untuk menjadi wakil PKM ke London, saya rasakan diri saya ini tidak layak untuk memainkan peranan itu. Pada suatu hari Chen Ping telah memanggil saya untuk menemuinya lalu bertanya, “Parti telah melantik awak sebagai wakil ke persidangan di London, bagaimana jawapan awak?” “Ahh!” Jawab saya, “Ini tak jadi, saya ini, kemampuan saya sangat cetek.” Segera dibalas oleh Chen Ping, “Kalau kemampuan itu cetek, mudah sahaja. Pergi ke London itu, belajarlah.” Betul juga cakap Chen Ping itu. Maka saya pun beranikan diri, semoga dalam perjalanan ke luar negeri itu dan setelah melihat negeri orang, akan bertambah pengalaman dan pengetahuan saya.
Rombongan kami menaiki kapal laut mengharungi Lautan Hindi yang luas. Itulah pertama kali saya menaiki kapal dan berlayar ke luar negeri. Dalam deruan ombak yang menggulung-gulung, saya melepaskan pandangan sejauh yang boleh saya lihat dengan mata kepala. Di saat itu saya merasa bertuah dan bangga kerana diberikan amanah untuk menjadi wakil parti ke persidangan di negeri mat salleh itu. Sebagai anak tani yang miskin, pencapaian pelajaran yang rendah dan seorang buruh, manakan dapat peluang seperti ini jikalaulah tidak kerana tujuan perjuangan. Pada zaman itu peluang berkunjung ke luar negeri, apatah lagi ke England, bukanlah dapat diperoleh oleh calang-calang orang. Yang berpeluang pergi hanyalah orang-orang kaya, berpengaruh atau atas amanat British sahaja.
Kemudian fikiran saya teringat pula kata-kata Raifel dulu, “Di mana-mana sahaja awak pergi, akan ada sahabat kita kalau kita berada di dalam perjuangan yang agung ini.” Itulah hakikat yang saya alami. Tidak lama lagi saya akan bertemu dengan kawan-kawan seperjuangan dari negara lain. Wah! Betapa girang dan bangganya hati saya.
Maka dalam kapal itu kebetulan ada dua orang paderi orang putih pulang dari Indonesia menuju ke London. Paderi Kristian itu tidak tahu siapa kumpulan kami, dan kebetulan pula kami sama-sama makan semeja. Maka bercakap-cakaplah bertanyakan khabar dan berita, bertanya dari mana hendak ke mana dan sebagainya, tetapi kita tidak bongkarlah rahsia kita. Maka mereka ceritalah tentang Indonesia, “Indonesia kucar-kacir dihasut komunis, keselamatan tidak terjamin, sebab itulah terpaksa pulang ke London.” Kami tanyakan, “Bagaimana?” Jawab mereka, “Orang Indonesia ini jinak, mudah dipelihara. Kalau mereka diberi gaji empat puluh Rupiah sebulan, maka cukup besarlah itu. Kalau diupah dua puluh atau tiga puluh Rupiah sebulan pun mereka terima, tidak menjadi masalah. Tetapi apabila datangnya komunis menghasut, maka kacaulah jadinya Indonesia. Kami pun terpaksa balik ke London.” Diri saya ini marah dan hendak jawab juga, tetapi terpaksa disiplinkan diri dan diam untuk menyimpan rahsia kami ini orang komunis, kalau tidak terbongkar pula. Nanti bertengkar berlarutan dan tentu tiada faedahnya. Tetapi hati saya tetap berkata-kata, “Mereka komunis Indonesia itu jaguh aku, berjuang demi kemerdekaan tanah airnya. Orang putih ini, paderi Kristian ini wakil penjajah. Mahu menjajah negeri orang sahaja. Itulah sikap, itulah pandangan mereka.”


Hari berlalu, kapal kami tiba di India dan singgah di situ selama dua hari. Kawan-kawan dari Parti Komunis India yang dipimpin oleh P.C. Josh menyambut dan membawa kami ke pejabat mereka. Kami dijamu makan nasi berlapikkan daun pisang. Walaupun sebelum ini kami saling tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi dengan semangat internasionalisme dan sebagai rakan seperjuangan, kami segera mesra dan menjalinkan persahabatan yang akrab. Kemudian kami sama-sama bertolak ke London.
Apabila kereta api yang kami naiki masuk ke stesen Liverpool, ada sekumpulan orang yang bertandakan bunga merah di baju mengejar dan menyerbu masuk naik kereta api. Dengan air muka yang ceria, mereka menyeru bertanya “From Malaya, from Malaya?” Kami berjabat salam dan berpelukan. Mereka adalah anggota Parti Komunis England yang datang untuk menyambut kami.
Wakil-wakil dari pelbagai negara Komanwel telah hadir. Kami berpeluang bertemu dan bertukar pengalaman dengan orang pelbagai bangsa. Di saat itu, saya merasa bangga dan bertuah. Betapa raksasa dan mulianya sahabat-sahabat dari pelbagai negara itu. Walaupun tidak pernah bersua muka sebelumnya, tapi sudah nyata satu hati dan satu jiwa - internasionalisme. Kepada kami tidak ada yang bermartabat tinggi atau rendah, yang memerintah dan diperintah, semua hadirin sama sahaja tarafnya.
Terimbas kembali ingatan saya akan keadaan masyarakat di Malaya sebelum Perang Dunia Ke-2 dahulu. Apabila berjumpa orang putih, lalu angkat tabiklah. Guru-guru sekolah pun mengajar begitu. Apabila orang putih lalu maka menyembahlah, “Tabik tuan.” Semua aktiviti kerja diberhentikan. Kita menganggap orang putih ini bagaikan dewa dari syurga, dididik dari kecil bersikap dan berbuat begitu - menjunjung hormat semua orang putih. Jadi apabila saya sampai ke London, masih ada lagi terlekat dalam ingatan bahawa orang putih ini semuanya senang lenang sahaja dan terhormat. Walaupun saya sudah melihat bagaimana mereka lari lintang-pukang dan susah payah diburu fasis Jepun, tetapi pada tanggapan saya orang putih di England tidaklah begitu. Jadi, apabila saya berjalan-jalan di kota London, ada sahaja orang yang cuba untuk datang rapat pada saya. Sering kali mereka bertanya, “Awak ada kad atau tidak?” Masa itu, kalau hendak beli baju mesti ada kad, kalau hendak beli makanan mesti ada kad. Semuanya kena ada kad catu. Dia kata dia ada lebih. Dia hendak jual pada saya. Ramailah orang putih yang miskin dan papa kedana berkeliaran di kota London itu. Macam-macam karenah mereka untuk mencari makan. Ada yang mengemis juga. Orang putih semuanya, kalau begitu tinggi darjat mereka tidak mungkin begini rendah sekali mutu kehidupan mereka. Saya pun mengambil peluang melepaskan geram di hati ke atas orang putih, tetapi kini saya fikir tidak patutlah bersikap begitu. Saya letakkan tapak kaki yang berkasut untuk dicuci, maka digilap dan dicucinyalah kasut saya tanpa segan dan silu oleh orang putih! Satu revolusi mental bagi saya.
Berbalik kepada Persidangan Parti-parti Komunis Negara Komanwel. Persidangan ini berlangsung kira-kira seminggu. Antara wakil yang hadir yang saya ingat ialah dari Malaya, Burma, Ceylon, India, Australia, Kanada serta negara-negara dari Timur Tengah. Parti Komunis England berperanan sebagai tuan rumah. Sidang telah meminta laporan dari setiap wakil untuk menyatakan masalah kemerdekaan bagi setiap negeri untuk diperbincangkan.
Kami telah memberikan laporan mengenai perjuangan anti-Jepun rakyat Malaya yang dipimpin oleh PKM serta semangat rakyat menentang puak fasis Jepun, berkenaan kesedaran politik rakyat selepas Perang Dunia Kedua dan keadaan gerakan kemerdekaan di Malaya ketika itu. Persidangan telah memberikan sanjungan yang tinggi kepada rombongan kami sebagai wakil daripada pahlawan-pahlawan yang telah bermati-matian menentang penjajahan fasis Jepun. Satu tepukan gemuruh yang bergema di dalam dewan persidangan telah diberikan kepada kami. Ramai kawan dari parti-parti sekawan merasa kagum dengan perjuangan bersenjata rakyat Malaya selama tiga tahun menentang puak fasis Jepun. Mereka mengatakan, itu merupakan satu yang misteri dan ingin mengetahui bagaimana PKM dapat menubuhkan tentera yang bergerak dengan pantas di dalam hutan; bagaimana melakukan serangan dan sebagainya.
Pada akhir persidangan itu, satu perisytiharan telah dirumuskan untuk menuntut kemerdekaan bagi semua tanah jajahan British. Tujuan perisytiharan itu ialah untuk mendesak kerajaan British melepaskan cengkaman kuku besinya ke atas negeri-negeri yang dicerobohnya, pada masa yang sama memberikan rangsangan kepada semua gerakan kemerdekaan di seluruh dunia.
Walaupun itulah julung-julung kalinya pertemuan kami, namun persahabatan internasionalisme telah meninggalkan kesan yang mendalam. Selepas itu kami sering berkirim salam dalam bentuk kawat atau surat semasa menempuh alam perjuangan selanjutnya.
Rashid Maidin pulang dari persidangan tingkat tinggi

3 pihak - PKM, Kerajaan Thai dan Kerajaan Malaysia (1989)


Semasa di London, dengan tidak disangka-sangka seorang perempuan Inggeris datang mencari dan menemui kami, katanya bahawa dirinya ialah utusan dari Tunku Abdul Rahman - Tunku ketika itu sedang menuntut dalam jurusan undang-undang. Kami tanyakan di mana Tunku. Perempuan itu menjawab bahawa Tunku terlalu sibuk, tetapi dia ada mengirimkan surat. Lalu utusan itu menyerahkan sepucuk surat kepada rombongan kami. Antara kandungannya, Tunku telah meminta maaf kerana tidak dapat hadir sebagai pemerhati di persidangan parti komunis itu. Dia juga menyatakan harapan agar persidangan memperoleh kejayaan.
Bekas Residen British di Selangor juga telah menghantar seorang utusan untuk menyampaikan sepucuk surat yang bermaksud menjemput saya meluangkan masa menemuinya bagi bertukar-tukar fikiran berkenaan perkembangan semasa politik di Malaya. Pada hemat saya, memanglah penjajah British mahu tahu secara langsung akan perkembangan fikiran komunis di kalangan orang Melayu kerana menjadi ancaman utama terhadap pemerintahan mereka di Malaya. Saya tidak menjawab suratnya dan tidak juga pergi menemui beliau.
Tak lama setelah rombongan kami pulang, rombongan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Abdullah C.D. dan lain-lain pula bertolak menghadiri Persidangan Afro-Asia di New Delhi yang juga membincangkan masalah kemerdekaan negara-negara Asia
Setelah rombongan itu pulang ke tanah air, saya atas nama PKM dan Dr. Burhanuddin atas nama PKMM menjelajah ke seluruh Malaya untuk menyampaikan semangat kedua-dua persidangan itu kepada massa rakyat agar semangat kemerdekaan lebih bersemarak lagi.
Di mana rombongan kami tiba, massa rakyat akan memberikan sambutan yang hangat sekali. Mula-mula kami pergi ke Melaka. Sambutan terhadap kami luar biasa. Padang perhimpunan rapat umum penuh sesak dengan orang ramai. Saya dan Dr. Burhanuddin dan pemimpin lain telah memberikan ucapan. Di Kedah juga begitu. Wakil Kedah mengadakan majlis makan untuk meraikan kedatangan kami di Seberkas Restaurant. Turut hadir dalam majlis itu ialah Khir Johari, Senu Abdul Rahman, Zahari Taib dan lain-lain. Di Selangor kami diraikan oleh Melan Abdullah, Mustapha Hussein dan lain-lain. Di Kelantan, kami disambut oleh Saad Shukri Hj. Muda. Kami sama-sama menjelajah dan mengadakan rapat umum ke Kota Bharu, Pasir Putih dan lain-lain. Di Terengganu, kami disambut oleh Cik Muda dari Besut dan Ibrahim Fikri dari Kuala Terengganu. Di Perak kami disambut oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, seorang tokoh agama terkenal dan mudir Sekolah Maahad Al-Ehya Assyarif, Gunung Semanggol.

Dalam penjelajahan ini, saya mendapat perangsang dengan sambutan orang ramai. Dalam rapat-rapat umum atau ceramah yang kami adakan, para sultan juga turut hadir. Semangat kemerdekaan benar-benar telah membakar dada massa rakya
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 15:29
Label: CATATAN RASHID MAIDIN

No comments:

Post a Comment