KEHILANGAN GHAFAR BABA DI KENANG PENGERUSI PARTI KOMUNIS MALAYA
(Mengenangi Allahyarham Tun Ghafar Baba)
Pada 23 April 2006, seorang sahabat lama saya, Tun Ghafar telah pulang ke rahmatullah dalam usia 81 tahun. Beliau benar-benar seorang tokoh negarawan yang besar. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang sukar dicari ganti bagi negara.
Tun Ghabar Baba memasuki alam politik dengan menyertai KMM (Kesatuan Melayu Muda). Walau bagaimanapun saya mengenalnya ketika kami sama-sama bergerak dalam PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy.
Ghafar Baba bergerak aktif dalam PKMM Negeri Melaka. Suatu kongres PKMM yang diadakan secara besar-besaran di Melaka pada tahun 1946 masih terbayang diruang mata. Seolah-olah teriakan “Merdeka” yang mereka laungkan masih berdengung di telinga. Antara kawan-kawan PKMM yang hadir itu termasuklah Ghafar Baba yang ketika itu masih merupakan seorang pemuda tampan dan gagah berani. Ketika itulah kawan-kawan PKMM Melaka menghadiahkan sebatang tongkat kepada saya.
Perjuangan kemerdekaan telah ditindas oleh penjajah British dengan perisytiharan undang-undang darurat pada bulan Jun 1948. PKMM dan parti-parti politik yang berjuang untuk kemerdekaan telah diharamkan dan ramai tokoh patriot demokrat telah dihumban ke dalam penjara, dibuang negeri bahkan ke tiang gantung. Untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan, saya dan sejumlah anggota PKMM lain menyertai perjuangan bersenjata sementara itu sebahagian lagi ada yang bergerak secara bawah tanah dengan menubuhkan parti politik baru dan ada sebahagian menyertai UMNO. Ghafar Baba, Mustapha Hussein dan lain-lain telah menyertai UMNO.
Dari kiri: Abu Samah Mohd. Kassim, Tun Ghafar Baba dan Abdullah C.D. dalam suatu pertemu di Hotel Genting, Sungai Golok, Wilayah Narathiwat pada 2 Mac 2003
Tahun 1951, arus kemerdekaan telah melanda UMNO. Perjuangan kemerdekaan di berbagai front, perjuangan bersenjata di bawah pimpinan PKM, perjuangan parti-parti seperti UMNO dan lain-lain pertubuhan telah berpadu memberikan tekanan yang amat berat ke tatas penjajah British sehingga akhirnya penjajah British terpaksa menyerahkan kemerdekaan Malaya pada tahun 1957.
Demi membangun kemerdekaan, PKM telah mengemukakan hasrat ikhlasnya untuk menamatkan peperangan di atas dasar adil dan menasabah kepada Tunku Abdul Rahman yang ketika itu menjadi Ketua Menteri. Dengan itu berlangsunglah Perundingan Baling bagi menamatkan perang dan mewujudkan perdamaian dalam negeri serta membangunkan kemerdekaan. Akan tetapi, Tunku Abdul Rahman telah meneruskan strategi perang penjajah British ke atas PKM dan kekuatan bersenjata TPNM. Sebab itulah walaupun Malaya telah mencapai kemerdekaan, tetapi perang dalam negeri tetap berlangsung sehingga tahun 1989.
Pada tahun 1986 Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri. Bagi saya ini adalah suatu hal yang luar bisasa. Ketika itu saya yang sedang memimpin Rejimen Ke-10 dan PKMRM (Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya) sentiasa menghantar bahan-bahan penerbitan kami. Sehingga tahun 1987 Ghafar Baba atas nama sahabat lama dan juga Kerajaan Malaysia telah mengadakan hubungan dengan saya atas nama sahabat lama dan Rejimen Ke-10. Pada tahun 1988 telah berlangsusung 3 siri perundingan antara wakil Ghabar Baba dan wakil saya yang masing-masing diadakan di Hadyai dan Pulau Pinang.
Kerana kesihatan saya yang terganggu akibat terkena racun pada tahun 1975, maka tuntutan pihak Ghafar Baba untuk bersua muka dan berbincang secara berhadap-hadapan tak dapat saya tunaikan. Oleh itu perundingan itu akhirnya telah di sambung oleh perundingan peringkat tinggi secara rasmi 3 pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Kerajaan Diraja Thailand dan Parti Komunis Malaya. Perundingan itu akhirnya telah berjaya memberhentikan perang dan mewujudkan perdamaian apabila ditandatanganinya perjanjian damai 3 pihak di Hotel Lee Gardens, Hadyai pada 2 Disember 1989.
Pada 2 Mac 2003 kami mengadakan pertemuan -- pertemuan pertama dan terakhir setelah berpisah selama 50 tahun - di Hotel Genting, Sungai Golok. Pertemuan ini diatur dengan baik oleh Tuan Haji Mokhtar. Sekali lagi kami berterima kasih atas budi baik Tuan Haji Mokhtar. Di Hotel Genting inilah kami bersua muka, sama-sama mengenangi masa lampau yang kami lalui - dari PKMM (1945) hinggalah perdamiaan (1989).
Abdullah C.D.
Ban Chulabhorn Patana 12, Sukhirin
25 April 2006
Label: CATATAN ABDULLAH CD
No comments:
Post a Comment