Di bawah adalah kenang-kenangan yang ditulis oleh Allahyarham Abu Samah Mohd. Kassim mengenai penglibatannya di dalam pasukan volunteer menentang tentera fasis Jepun. Kenangan ini ditulis beliau pada tahun 1995 sempena memperingati 50 tahun kekalahan fasis Jepun. Beliau adalah bekas Lans Copral - No. 18370 FMSVF.
CATATAN ABU SAMAH TENTANG SUMBANGAN PASUKAN SUKARELA NEGERI-NGERI BERSEKUTU MEMPERTAHANKAN MALAYA DARIPADA SERANGAN FASIS JEPUN
Oleh: Abu Samah Mohd. Kassim
(Kenang-kenangan ulangtahun ke-50 kekalahan fasis Jepun)
Pasukan Volunteer (Tentera Sukarela) Negeri-negeri Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) ditubuhkan pada tahun 30-an oleh penjajah British untuk mempertahankan tanah jajahannya Malaya daripada diceroboh oleh kuasa-kuasa asing. Negeri-negeri Yang Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor, imperialis British juga ada mendirikan tentera sukarelanya.
Tentera sukarela ini menjalankan latihan setiap satu atau dua kali di daerah masing-masing dan mengadakan latihan bentuk battalion di markas masing-masing setiap 6 bulan sekali yang memakan masa 2 hingga 3 minggu, manakala setahun sekali diadakan latihan secara besar-besaran apa yang dikatakan mobilais keluar daripada Negeri Bersekutu masing-masing. Tentera sukarela ini tidak mempunyai gaji, cuma diberi elaun 50 sen sehari sewaktu mengadakan latihan manakala makan dan unifom diberi percuma.
Kira-kira pada bulan Oktober tahun 1941 British telah mengerahkan Pasukan Volunteer Pahang berkumpul di markasnya di Raub, Pahang, kemudian pasukan atau battalion ini dipecahkan menjadi dua, satu bahagian dihantar ke Kota Bharu, Kelantan manakala satu bahagian lagi tinggal di Raub meneruskan latihan dan kemudian dihantar ke Port Diction untuk melakukan latihan secara intensif di sana. Saya ditempatkan di sana.
Kira-kira pada bulan awal bulan Disember tahun 1941 barulah pasuikan ini dihantar ke Kelantan bergabung dengan pasukan induknya. Dalam perjalanan ke Kelantan, pada pukul 10 pagi, 8 Disember 1941, pasukan ini telah dibom dan dimesingan oleh kapal terbang Jepun di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.
Di sini saya akan menceritakan sumbangan tentera sukarela Negeri Pahang yang bermarkas di Raub yang saya sendiri ikut serta berjuang di garis depan – di Negeri Kelantan yang menjadi salah satu pintu masuk pendaratan askar Jepun pada subuh 8 Disember 1941 itu.
;Rancangan Penyerangan Fasis Jepun Di Luar Dugaan Imperialis British
Oleh kerana licinnya usaha diplomatik fasis Jepun yang menyembunyikan strateginya untuk menakluki negeri-negeri Tenggara Asia, menyebabkan Amerika Syarikat dan Inggeris menganggap Jepun tentu akan menyerang kawasan sebelah utara iaitu terhadap Siberia, Soviet Union. Ini difahamkan dari beberapa kenyataan berikut:
Pada bulan September 1940, Jepun telah menandatangani perjanjian 3 pihak dengan Jerman dan Itali. Menurut perjanjian itu, Jepun akan menyerang Soviet Union selewat-lewatnya pada bulan Ogos tahun 1941. Untuk maksud itu, Jepun telah memperbesar Tentera Kuangtung di Manchuria, kira-kira berjumlah 1.2 juta orang yang terdiri daripada 42 divisi infantry dan 7 divisi kavalari, 22 brigade infantry dan 2 brigade kereta kebal, sebuah brigade berani mati, 5,400 buah meriam, 1,200 buah kereta kebal dan 1,800 bual kapal terbang.
Kira-kira dalam bulan Julai tahun 1941, pihak Jerman Hitler memberitahu Duta Besar Jepun ke Jerman bahawa Jepun harus segera menyerang tentera Soviet Union di Timur Jauh. Juga sesudah serangan Jerman terhadap Soviet Union dimulakan, Menteri Luar Negeri Jepun Matsusako mendesak kerajaan Jepun supaya serta merta menyokong Jerman dengan mencetuskan serangan terhadap Soviet Union di Timur Jauh.
Oleh kerana cita-cita Nazi Hitler dan fasis Jepun ialah menghancurkan Soviet Union maka cita-cita bersama ini sesuai dengan polisi Amerika Syarikat, Inggeris dan Peranchis. Apatah lagi dengan menggunakan tangan orang lain sebagai godamnya.
Baik Inggeris mahupun Amerika Syarikat dengan lantangnya menyatakan sikap mereka yang berkecuali atau tidak campur tangan. Sebenarnya mereka bersekongkol dengan nazi dan fasis. Mereka mengharapkan Soviet Union di satu pihak, Jerman dan Jepun di lain pihak akan sengsara sendiri dalam perang yang berlanjutan tersebut.
Dalam kenyataan akhbar sehari setelah Jerman menyerang Soviet Union, Senator Harry Truman (kemudian menjadi Presiden Amerika Syarikat) mengatakan: Jika kita lihat pihak Jerman akan menang, maka kita harus menolong Russia, dan jika Russia akan menang, maka kita harus menolong Jerman. Dengan cara itu biarlah mereka berbunuh-bunuhan sebanyak mungkin. Manakala rakannya lebih terbongkar lagi apabila dia berkata bahawa kemenangan nazi Hitler terhadap Soviet Union lebih disukai oleh Amerika Syarikat.
Dari banyak fakta di atas jelaslah bahawa baik Inggeris mahupun Amerika Syarikat meyakini bahawa Jepun pasti akan melakukan serangan ke utara iaitu Soviet Union dan tidak menyangka Jepun akan menyerang ke selatan. Oleh yang demikian, kedua-dua imperialis itu tidak membuat persiapan yang sewajarnya bagi menghadapi serangan fasis Jepun.
2.Perubahan Rancangan Strategi Jepun
Perubahan rancangan strategi Jepun daripada menyerang Soviet Union di sebelah utara kepada serangan ke selatan ialah bermula pada bulan April dan Mei tahun 1940 di mana setelah Jerman menawan hampir separuh Eropah – Norway, Denmark, Belgium, Belanda, Luxemburg dan Peranchis. Dan pada bulan Ogos tahun 1940 pula angkatan tentera Jerman mulai menghujankan bom ke atas Inggeris melalui operasi Singa Laut-nya. Oleh itu Jepun telah menggunakan kesempatan yang baik ini di mana kuasa-kuasa imperialis Eropah sedang terancam.
Pada tanggal 2 Julai tahun 1941, satu pertemuan rahsia di kalangan pemerintah Jepun yang dihadiri oleh Maharaja Jepun meluluskan ketetapan yang berbunyi: Walaupun sikap kita terhadap perang Soviet – Jerman itu ditentukan oleh semangat Paksi Rom – Berlin – Tokyo, namun kita tidak campur tangan dalam perang itu buat sementara waktu. Manakala Markas Umum Diraja pula memutuskan tidak akan menyertai Perang Soviet - Jerman dalam tahun 1941 itu.
Menjelang 1 November 1941, Rencana Operasi No.1 Jepun yang rahsia siap disusun. Rencana itu menggariskan bahawa angkatan Jepun akan menyerang pangkalan laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour (Hawai) dan beberapa buah matlamat Amerika Syarikat, Inggeris dan Belanda. Untuk menyembunyikan rancangannya, pemerintah Jepun mengusulkan agar Jepun – Amerika Syarikat bertemu mengadakan perbincangan bagi menyelaraskan dasar mereka yang berkaitan negeri-negeri Asia Tenggara.
<!--[if !supportLists]-->3. <!--[endif]-->Kegiatan Jabatan Perisik Dan Propaganda Jepun
Oleh kerana kekalahan yang dialami oleh tentera Jepun yang menyerang wilayah Soviet Union di Sungai Khalkhin Gov dekat Tasik Khasan dan dalam pada itu hampir seluruh Eropah ditawan oleh Nazi, maka itu telah mendorong Jepun menukar haluannya untuk menawan tanah-tanah jajahan Inggeris, Peranchis dan Belanda di Asia. Semboyan Lengkongan Kemakmuran Asia Raya telah dicanangkan. Kegaitan Jabatan Perisik dan Propaganda Jepun telah diperkuatkan.
Sebuah Persatuan Negerio-negeri Laut Selatan yang didirikan di Tokyo bagi menyebarkan pengaruh Jepun di wilayah-wilayah ini dipergunakan secara meluas untuk kegiatan perisik. Sebuah persekutuan bagi membebaskan negara-negara Asia Tenggara bertindak untuk maksud yang sama.
Kapal-kapal terbang awam dan tentera Jepun mengambil gambar udara tentang daerah-daerah Tanah Melayu.
Tak lama sesudah pelancaran rasmi sebuah syarikat penerbangan laut Jepun, sebuah konsulat Jepun telah didirikan di timur pada pertengahan bulan Jun 1941. Pegawai-pegawainya terdiri daripada pegawai-pegawai tentera dan pegawai-pegawai angkatan laut yang mengumpulkan maklumat-maklumat yang strategis.
Angkatan tentera laut Jepun menggunakan para nelayan secara meluas. Perahu-perahu nelayan ini membawa kelengkapan dan peti radio perisik.
Perkhidmatan luar negeri Radio Tokayo memancarkan siarannya ke Asia Tenggara dalam bahasa Jepun, Melayu, Cina, Hindi, Belanda, Siam dan lain-lain, mendakwa satu-satunya tujuan untuk membangunkan Asia Timur Raya.
Di Indonesia, Menteri Luar Negeri Jepun membiayai beberapa mingguan dan surat khabar yang diterbitkan dalam bahasa Jepun, Cina dan Belanda menjalankan kempen anti-Belanda. Para pembaca diberitahu bahawa Jepun ialah sahabat mereka yang setia dan sedia menolong bangsa Indonesia mengusir kolonialis Belanda. Intipati propaganda tentang peranan Jepun sebagai pembebas sesebuah negera semakin nyata.
Asia Timur dan Asia Tenggara terdiri daripada satu bangsa, mesti bangun berjuang membebaskan diri dari pemerintahan “imperialis Putih”. Semboyan yang menarik ialah Asia untuk Bangsa Asia.
4. Permulaan serangan fasis Jepun
Tatkala rundingan Jepun – Amerika Syarikat sedang berjalan di Washington bagi menyelaraskan dasar mereka yang berkaitan dengan negeri-negeri Asia Tenggara, pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat amat gembira agar dapat menyalurkan agresi Jepun menyerang ke utara iaitu Soviet Union. Di ketika itulah pada 7 Disember tahun 1941, awal-awal pagi, angkatan tentera laut Jepun terdiri dari lebih 30 buah kapal termasuk 6 buah kapal pengangkut, 360 buah kapal terbang pengebom jenis menjunam, pembom tropedo melancarkan serangan mengejut terhadap Pearl Harbour, memusnahkan separuh daripada angkatan laut Amerika Syarikat termasuk lapan buah kapal perang dan seluruh angkatan udara tentera Amerika Syarikat di Hawai, beribu-ribu orang mati dan cedera.
Pada 8 Disember 1941, barulah Kerajaan Jepun mengisytiharkan perang terhadap Kerajaan Inggeris dan Amerika Syarikat. Pada hari itu juga tentera Jepun telah mendarat di utara Semenanjung Tanah Melayu, di pantai Sabak, dekat Kota Bahru, Kelantan.Pada hari berikutnya kapal terbang Jepun telah mengebom dan memesingan ke atas pasukan volunteer di Kemubu, Kelantan dan di Padang Tengku, Pahang.
5. Pendaratan Tentera Jepun di Pantai Sabak
Kawasan pantai Sabak yang luas dipenuhi dengan tanaman kelapa. Di sanalah British menempatkan 1 batalion askar Penjab (India), satu platun askar Melayu dari AS Company (pasukan mesingan) dan 1 platun tentera volunteer.
Kira-kira pukul 12 malam, 7 Disember 1941, api lampu beberapa buah kapal Jepun di tengah samudera telah kelihatan. Penjajah British di samping memerintahkan pasukan mesingan menembak ke arah kapal-kapalyang bergerak itu juga menjamu askar-askar Penjab dengan minuman keras (wiskee dan brandi) hingga mabuk-mabuk. Jepun yang memainkan taktik memancing, dengan menempatkan kapal kosong di tengah samudera itu rupa-rupanya telahpun selesai menerjunkan askar-askarnya yang menggunakan pelampung merayap ke pantai Sabak, memotong kawat berduri dan menyerang ke arah perkubuan pasukan Penjab yang sedang mabuk itu kira-kira pukul 2.00 pagi, 8 Disember 1941. Pertempuran sengit berlaku selama kira-kira selama 2 jam. Askar-askar Jepun bertempur menggunakan benet manakala askar-askar Penjab menggunakan parang (setiap askar Penjab dilengkapkan dengan sebilah parang bersarung yang diletakkan di pinggang). Dalam pertempuran ini kedua-dua pihak banyak yang mati dan luka-luka, khususnya askar Penjab yang lebih banyak mati, luka dan tertawan. Mayat yang bergelimpangan di pantai Sabak itu berbulan-bulan bau busuknya tak hilang dan telah menjadi baja yang sangat baik menyuburi pohon-pohon kelapa.
7 – 8 bulan kemudian saya berkesempatan melihat pokok-pokok kelapa yang daunnya menghijau dan sangat subur.Pada pukul 4.00 pagi 8 Disember 1941, semua askar British di Pangkalan Chepa dan di sekitar Kota Bahru diperintahkan berundur ke Kuala Krai, Ulu Kelantan, manakala pasukan volunteer ditempatkan berkubu di Kemubu, Ulu Kelantan. Pada pukul 10.00 pagi 8 disember 1941 itu, perkubuan pasukan volunteer di Kemubu dibom dan dimesingan oleh kepal terbang Jepun. Pesawat terbang Jepun itu telah dibalas tembak oleh Pasukan Luisgan volunteer. Sementara itu, pada masa yang sama kapal terbang Jepun juga telah mengebom dan memesingan pasukan volunteer di stesyen keretapi di Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang yang sedang dalam perjalanannya dari Kuala Lipis ke Kelantan.
Nampaknya British masih beroptimis menjadikan Ulu Kelantan sebagai garis pertahanan strategic bagi mempertahan dan menghalang kemaraan askar Jepun ke selatan, apa lagi melihat semangat juang dan semangat anti-Jepun yang tinggi dari pasukan volunteer yang sedia berkhidmat dan berkorban untuk bangsa dan pertiwi. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka berlakunya perpistiwa 10 Disember 1941 di mana dua kapal perag besar angkatan laut British bernama Prince of Wales dan Repulse yang baru datang ke Singapura untuk menambahkan kekuatan tentera laut British di sebelah timur, yang sedang dalam pelayaran di Laut China Selatan menuju ke utara hendak ke Teluk Siam telah diserang dan dibom oleh kapal-kapal terbang angkatan tentera udara Jepun di laut lepas bersetentangan dengan Kuantan, Pahang hingga kedua-dua kapal perang besar British yang sangat dimegah-megahkan itu tenggelam ke dasar laut. Ini menyebabkan British sangat pasimistik, luntur semangat dan mengubah strategi bertahan kepada lariisme.
6. Strategi pengunduran tentera secara besar-besaran
Pada 11 Disember 1941, pasukan-pasukan tentera yang berkubu di Kuala Krai , Kemubu diperintahkan berundur ke Bertam, Ulu Kelantan. Ketika itu nampaklah kekucar kaciran dan kegoyangan British. Tentera Jepun dari Kota Bahru terus mara ke Ulu Kelantan tanpa menerima pukulan. Manakala British pula meletup musnahkan satu lepas satu jambatan kereta api. Buat permulaan, British meletup musnahkan Jambatan Kusial iaitu sebuah jambatan kereta api yang terpanjang di Asia, seterusnya meletup musnahkan jambatan kereta api Kemubu, Bertam dan lain-lain.
7. Pelanggaran Kereta Api Yang Paling Dahsyat Di Limau Kasturi
Dalam kekucar kaciran ini, British merancangkan mengundurkan semua pasukan tenteranya ke selatan Tanah Melayu – Singapura sebagai matlamatnya. Oleh yang demikian kereta api British yang dihantar khas untuk memindahkan bala tenteranya termasuk pasukan volunteer di Bertam itu hampir sampai ke Stesyen Limau Kasturi telah berlanggar dengan sebuah kereta api yang bertolak dari utara. Kedahsyatannya melibatkan berpuluh-puluh gerabak bergelimpangan.
Dari Bertam, British pula mengerahkan pasukan volunteer sehari penuh menggalas dan memindahkan senjata, peluru, ubat ledak ke sebuah bukit dekat Limau Kasturi, lebih kurang 15 kilometer dengan berjalan kaki menyusuri jalan kereta api. Kemudian pasukan ini dan pasukan-pasukan yang lain bermalam di pekan Limau Kasturi. Malangnya kira-kira pukul 12 tengah malam, pasukan penyiasat memberitahu bahawa tentera Jepun yang mara mengejar menyusuri jalan kereta api itu cuma sejauh 2 kilometer sahaja lagi jaraknya. Jadi tengah malam itu juga British mengerahkan semua pasukan tentera berundur melepasi kawasan tempat keretapi berlaga, berjalan kaki sejauh 15 kilometer. Di sana kereta api bersambung-sambung memiliki beberapa buah kepala / injin yang panjang gerabaknya kira-kira setengah kilometer sedang menunggu untuk membawa pasukan tentera berundur ke selatan.
Dalam perjalanan pengunduran pada malam itu, kerana hendak cepat, waktu menyeberangi jambatan, British mengeluarkan perintah: Siapa yang tak mampu membawa senjata bolehlah buangkan ke dalam sungai, nanti di selatan akan dibagi yang lain. Mendengar perintah yang demikian, bunyi “cap cup” senapang dibuang tak putus-putus.
Banyak senapang, peluru, ubat ledak yang tadinya dipindahkan dari Bertam ke Limau Kasturi bertimbun-timbun di atas sebuah bukit kecil yang terpaksa ditinggalkan itu beritanya diambil oleh massa rakyat tempatan, sebahagiannya diserahkan kepada gerombolan penjahat atau penyamun Kuomintang yang bergerak di Gua Musang dan sebahagian lagi diserahkan kepada Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) yang kemudiannya beraktiviti di sana.
Dari Limau Kasturi, Kelantan, keretapi yang dibuang kosyen tempat duduk itu dihuni oleh hampir 10,000 orang askar yang duduk bersila rapat-rapat menuju ke Bukit Betong – Kuala Lipis, Pahang. Setelah selesai segala pengaturan termasuk meletup musnahkan jambatan kereta api Bukit Betong, keesokannya pasukan ini terus berundur dan dihantar ke Dunlop Estate, Bahau Negeri Sembilan. Di Bahau, dalam beberapa hari itu pasukan volunteer diatur menahan dan merampas kereta-kereta awam dan basikal-basikal lalu dibakar. Ini katanya untuk mengelakkan daripada dirampas dan digunakan oleh askar Jepun nanti.
8. Perasaan Tak Puas Hati Pasukan Volunteer Mendalam
Anggota-anggota pasukan volunteer yang mempunyai semangat bencikan Jepun yang meluap-luap dan keazaman menghentam pasukan Jepun itu sangat tak puas hati kepada dasar British yang takut dan tak berani bertempur terhadap Jepun itu berkata “orang putih yang bertubuh tinggi itu penakut, tak mahu melawan si pendek Jepun yang zalim”. Anggota-anggota pasukan volunteer dari pegawai hingga ke perajurit sangat tak puas hati terhadap British yang mengambil sikap lari, lari tak mahu melawan Jepun itu telah berputus asa. Oleh itu selama 2 malam berturut-turut , lebih 50 orang termasuk pegawai peringkat sarjan dan koperal telah melarikan diri balik menuju kampung halaman masing-masing. (gambar kiri: tentera British menyerah diri kepada tentera fasis Jepun)
Pada 25 Januari 1942, kapal terbang Jepun telah melakukan pengeboman dan memesingan ke atas pasukan volunteer di Dunlop Estate. Setelah selesai pengeboman tersebut, pegawai British mengumpulkan pasukan volunteer dengan memberitahu bahawa Inggeris akan berundur ke Singapura, siapa yang suka ikut ke Singapura bolehlah pergi dan di sana akan dibayar gaji atau elaun yang selama 4 bulan tidak dibayar itu dan siapa yang tak mahu ikut ke Singapura boleh balik ke negeri masing-masing dengan berjalan kaki dan tidak akan diberi apa-apa bayaran.
Keesokan harinya, beribu-ribu askar Penjab dan askar Australia dipindahkan dari Dunlop Estate Bahau, Negeri Sembilan ke Labis, Johor dan dari sana akan dihantar ke Singapura, manakala 500 orang lebih anggota pasukan volunteer dari Batalion Ke-4 yang berasal dari Pahang, dengan tangan kosong dan pakaian preman secara berkelompok-kelompok (40-50 orang satu kelompok) meninggalkan Dunlop0 Estate menuju ke Negeri Pahang dan balik ke kampung halaman masing-masing dengan membawa perasaan kesal terhadap British dan benci terhadap Jepun. Tak lama selepas itu, lebih kurang setengah bulan, iaitu pada 15 Februari 1942 kedengaranlah bahawa di Singapura pihak berkuasa tentera British telah mengaku kalah dan menyerah diri tanpa syarat kepada pihak berkuasa tentera Jepun.
9. Kezaliman Jepun Menyedarkan Rakyat Bangkit Berjuang
Di mana-mana tempat yang dilalui tentera fasis Jepun di awal pencerobohannya ke atas tanah air kita, di sana rakyat segala bangsa menderita, ditimpa bala bencana. Banyak rumah dibinasakan, harta benda dirompak, binatang ternakan ditangkap, wanita-wanita dirogol, laki-laki ditampar dan ditendang. Yang lebih menyayat hati umat Islam ialah masjid-masjid dan tempat-tempat ibadat dicemari, Al-Quran dan kitab-kitab suci dijadikan pengesat najis, barang-barang purba dijahanamkan. Ini telah menimbulkan kemarahan dan kebencian orang ramai terhadap askar-askar Jepun dan mereka telah mengenal akan watak kaum fasis Jepun yang sangat zalim itu.
Orang ramai di kampung-kampung Melayu di sepanjang Sungai Semantan, Pahang, iaitu kampung halaman saya sendiri, mereka tidaklah mendiamkan diri bila menghadapi askar-askar Jepun yang mengganas di hadapan matanya. Pada penghujung bulan Februari 1942, 3 orang askar Jepun yang bersenjata lengkap telah menaiki rumah di kampung Jambu Rias , Batu 21, Jalan Mentakab-Karak dengan tujuan melakukan angkara. Tetapi dajal-dajal itu mendapat tentangan hebat. Dalam pergelutan itu tuan rumah berjaya menetak mati seorang askar Jepun dan mengundurkan 2 orang yang lain. Keluarga kaum tani itu berjaya mengundurkan diri bersembunyi di dalam semak. (gambar kanan: tentera fasis Jepun menyerah diri kepada pihak bersekutu)
Untuk menyekat dan memadamkan semangat patriotik dan rasa benci orang-orang Melayu Semantan terhadap fasis Jepun, pada penghujung bulan Januari 1943, fasis Jepun telah menangkap dan membunuh Penghulu Semantan, Mohd. Maidin, cucu Allahyarham Datok Bahaman. Tetapi perhitungan fasis Jepun itu meleset. Ketika orang ramai menerima mayat Datok Penghulu yang dihantar balik oleh fasis Jepun dari Mentakab, Pahang, ketika itu juga suara berontak menagih dosa dari fasis Jepun telah kedengaran. Suara khidmat ini telah meniup dan menyalakan bara api yang tak pernah padam, yang melekat di jiwa ribuan orang-orang Melayu di Semantan. Mereka segera menyambutnya. Tetapi disebabkan keadaan tertentu, pemberontakan itu buat sementara tak dapat dilakukan. Bagaimanapun setelah terbentuknya Jawatankuasa Lembaga Rakyat Anti-Jepun, hampir-hampir setiap pemuda dan lelaki dewasa masuk menjadi ahli tersebut dan telah memberikan sokongan besar kepada Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya pimpinan PKM. Akhirnya pada 15 Ogos 1945, fasis Jepun telah mengisytiharkan menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu.
Abu Samah Mohd. Kassim
Bekas Lans Copral
No. 18370 FMSVF
No comments:
Post a Comment