Friday, June 18, 2010

(31) HUBUNGAN REJIMEN KE 10 DENGAN MASYARAKAT

Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya atau kemudiannya dikenali dengan nama Tentera Rakyat Malaya adalah benar-benar tentera rakyat, terdiri dari massa rakyat dan berkhidmat sepenuh hati untuk massa rakyat. Tidak seperti yang digembar gemburkan oleh kaum penjajah dan penyokongnya yang melabelkan Rejimen Ke-10 sebagai “pengganas” “kejam” dan lain sebagainya. Sebenarnya Tentera Pembebasan Nasional lebih mesra rakyat, ramah tanah dan kasih mesra dengan rakyat, dengan tegas menaati disiplin dan mengambil berat kesukaran rakyat. Di sini dipaparkan sebuah kenang-kenangan dari Ibu Suriani Abdullah yang mengisahkan hubungan akrab antara tentera ( Tentera Pembebasan Nasional) dan rakyat.



Rejimen Ke-10 dapat mempertahankan perjuangan dalam jangka panjang justeru kerana adanya sokongan massa yang luas, baik di tanah tumpah darahnya mahupun di kawasan sempadan. Baik pimpinan tertinggi mahupun perajurit, semuanya sentiasa menganggap berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh hati sebagai prinsip penting dan norma luhur pasukan.


Sungguh-sungguh Berkhidmat kepada Rakyat

Apabila tiba di kawasan sempadan, Abdullah C.D., Rashid Maidin, Abu Samah dan Ibrahim Chik terjun ke kampung-kampung menyusun massa, dengan sungguh-sungguh mempelajari kehidupan massa dan dengan sepenuh hati berkhidmat kepada massa. Setelah saya menjadi anggota Markas Besar, Abdullah C.D. dan saya di samping memimpin pasukan Markas Besar juga memimpin unit-unit penyusun massa.

Anggota pasukan Rejimen Ke-10, dipupuk langgam berhubung erat dengan massa, berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh hati, dengan tegas mentaati 4 Asas Disiplin dan 10 Fasal Perhatian serta mengamalkan langgam hidup sederhana dan berjimat cermat. Mereka harus memperhatikan kehidupan massa, memecahkan masalah-masalah di kalangan massa dan lain-lain.

Kerana pentingnya mengorganais massa, kami, kawan-kawan pimpinan membuat pengkajian yang teliti tentang keadaan massa di kawasan sempadan berdasarkan petunjuk yang diberikan oleh Chen Ping. Untuk lebih memperdalam lagi kesedaran kader-kader dan kawan-kawan tentang kerja massa, saya telah menulis sebuah artikel khas bertajuk Cara-cara Memajukan Penerangan Dan Pendidikan Kepada Orang Ramai. Artikel ini diterbitkan oleh Majalah Kebenaran, pejabat penerbitan Rejimen Ke-10.

Kerana taraf kehidupan massa di pedalaman kawasan sempadan agak terbelakang di bandingkan dengan Negeri Pahang, kawan-kawan penyusun massa terlebih dahulu bekerja keras memajukan kehidupan massa. Ketika keluar ke kampung, kawan-kawan membawa barang-barang hutan seperti rotan, akar kayu, kayu api, buah-buahan dan lain-lain yang diperlukan orang ramai. Di samping itu kawan-kawan melancarkan gerakan membersihkan rumah dan kampung halaman daripada sampah sarap, najis haiwan, semak samun dan lain-lain. Kawan-kawan wanita pula membersihkan kawasan dapur, pinggan mangkuk, periuk belanga, kain baju dan mengajar massa menjaga kebersihan dapur dan makan minum.

Ada di beberapa tempat, kerana kehidupannya sangat mundur, regu penyusun massa membantu massa menoreh getah, menebang dan menebas huma dan lain-lain. Amalan-amalan ini secara automatik mendidik massa supaya bersungguh-sungguh membuat kerja untuk mencari nafkah dan juga memberitahu mereka bahawa Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya adalah tentera rakyat yang benar-benar berkhidmat dengan sepenuh hati kepada rakyat, dan berjuang untuk kemerdekaan dan pembebasan rakyat dan tanah air.

Kerana terharu dan terberangsang dengan amalan murni yang ditunjukkan oleh regu penyusun massa, massa rakyat memberikan sokongan yang tak berbelah bagi kepada pasukan. Ada di beberapa tempat massa rakyat menganggap kawan-kawan penyusun massa sebagai anak mereka sendiri. Mereka berpakat menerima kawan-kawan penyusun massa, semua belanja kehidupan perajurit regu tersebut ditanggung oleh mereka, seperti makan minum, pakaian, kasut, bateri lampu picit (ubat lampu suluh) dan lain-lain.

Untuk membantu massa memperbaiki kehidupan, regu penyusun massa menganjurkan setiap keluarga membangunkan kebun kecil tepi rumah untuk menanam sayur-sayuran, memelihara ternakan dan sebagainya. Walaupun kawasan tanamannya tidak luas, tapi memberikan faedah yang besar kepada massa, sayur-sayuran, pisang, lada dan lain-lain boleh didapati di sekitar rumah saja.

Masalah kesihatan dan rawatan untuk menyembuhkan penyakit merupakan suatu masalah yang dihadapi massa rakyat. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, regu penyusun massa di samping memberikan didikan dan penerangan tentang kesihatan kepada massa juga berusaha sedapat mungkin membantu massa mengubati penyakit mereka. Kanak-kanak paling mudah terjangkit oleh berbagai jenis penyakit. Maka itu regu penyusun massa berusaha mendidik ibu bapa mereka tentang menjaga kesihatan dan kebersihan juga membantu memandikan kanak-kanak. Hasilnya, ramai kanak-kanak yang tadinya pucat lesi, perut buncit dan lain-lain telah menjadi segar dan cergas. Menurut kepercayaan orang-orang di sini, anak-anak yang ada penyakit harus dicarikan bapa atau ibu angkat untuknya. Pada masa itu, Abu Samah (gambar kanan) yang memandu regu penyusun massa bergerak di tiga empat buah kampung mendapat 37 orang anak angkat. Kanak-kanak tersebut sembuh dari sakit dan sihat-sihat belaka.

Suatu kali pada tahun 1960 di sebuah kampung kawasan Kuala Kail, wilayah Yala, berlaku suatu peristiwa yang luar biasa. Seorang ibu ketika bersalin mendapat kemalangan. Setelah puas diusahakan oleh bidan-bidan dan bomoh-bomoh kampung, anak itu saja yang lahir sedangkan perkakas yang lain-lain semua masih tersangkut dalam peranakan. Keadaan menjadi semakin cemas. Mereka pergi memohon pertolongan dari bidan kerajaan, tapi bidan kerajaan tak sanggup, belanja doktor pula terlalu mahal. Akhirnya semua tak jadi. Semua waris yang jauh dan dekat telah dipanggil, beratus orang datang melawat. Tapi semuanya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali berdoa memohon Ilahi menyelamatkan si ibu yang malang itu. Masa berjalan selama 2 hari, si ibu pengsan, bayi yang baru lahir telah meninggal. Dalam keadaan putus asa demikian, mereka cuba meminta pertolongan kepada regu penyusun massa yang bergerak di situ.

Regu penyusun massa dipimpin Rosmah (Zaleha Mat Roni) (gambar kanan) segera berkejar ke tempat tersebut. Pertama-tama mereka menasihatkan orang ramai supaya keluar dari bilik si ibu yang malang itu agar udara menjadi segar. Kemudian ibu yang malang itu diberikan ubat. Beberapa jam kemudian, semua perkakas keluar, si ibu pun sedar. Seluruh isi keluarga gembira kerananya. Sebenarnya mereka sudah membaca Yassin hanya menunggu mati sahaja. Selepas itu, ibu tersebut disuntik ubat tambah kesihatan. Kejadian ini sungguh di luar dugaan orang-orang kampung. Mereka memuji semangat dan kepandaian kawan-kawan kita. Sejak dari itu, seluruh penduduk kampung tersebut secara ikhlas membantu pasukan. Peristiwa ini disebarkan dari mulut ke mulut dan dari kampung ke kampung sehingga orang-orang yang tinggal jauh dari kawasan basis dan tak pernah bertemu dengan perajurit Rejimen Ke-10 juga datang untuk bertemu atau untuk mengubati penyakit mereka.

Suatu kejadian lagi, seorang wanita berusia lengkungan 40-an pengsan dipatuk ular berbisa. Orang-orang kampung tersebut habis ikhtiar menyelamatkannya, tapi tak berjaya. Tangan mangsa berubah warna menjadi biru lebam. Kebetulan dalam saat itulah gerup regu penyusun massa yang diketuai Duwi (Ibrahim Mat Sarip) (gambar kiri) tiba di situ. Mereka memberikan suntikan ubat anti-kuman. Sejam kemudian disuntik sekali lagi. Si malang beransur-ansur sedar. Pihak keluarganya menitiskan air mata terharu. Mereka mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Orang ramai sangat terharu menyaksikan peristiwa tersebut dan menganggapnya sebagai "mati hidup semula". Sebenarnya kerana habis ikhtiar mereka telah membaca Yassin secara beramai-ramai.

Peristiwa ini telah mempererat lagi hubungan antara tentera dan rakyat. Mereka memberikan sebesar-besar sokongan dan meletakkan sebesar-besar harapan agar pasukan dapat terus membantu mereka.

Membela Keselamatan dan Kesejahteraan Rakyat

Demi memperkukuh dan mengembangkan kawasan basis sempadan, kami kawan-kawan pimpinan mengambil perhatian istimewa tentang masalah keharmonian dan kesejahteraan massa. Kami merangka skim kerja yang terperinci, dan sentiasa mengadakan perbincangan dan ulang kaji dengan regu penyusun massa mengikut jadual yang ditetapkan.

Satu masalah mendesak yang dihadapi massa rakyat ialah masalah puak-puak jahat, samseng, penyamun, perompak serta intelijen. Mereka bermaharajalela memijak kepala massa. Lebih-lebih lagi orang yang lemah dan miskin. Mereka memeras ugut, mencuri, merompak menyamun bahkan merogol anak isteri orang. Jika mahu memperisterikan seseorang gadis, lantas mereka larikan saja gadis tersebut. Orang tua si gadis tidak berani berbuat apa-apa. Oleh itu kehidupan massa sentiasa dihantui oleh bayangan hitam.

Setelah regu penyusun massa tiba di kampung-kampung, massa rakyat menuntut kawan-kawan penyusun massa agar menyelesaikan masalah tersebut. Untuk membela massa rakyat, badan pimpinan mengarahkan regu penyusun massa dengan tegas berjuang terhadap puak-puak tersebut, membentuk kawalan kampung dan lain-lain. Orang ramai dan regu penyusun massa bergilir-gilir berkawal untuk menjaga keselamatan. Dengan itu, kampung yang disusun keamanannya dapat dipelihara, puak-puak jahat tidak berani lagi melakukan kejahatan terhadap rakyat. Kalau dulu, getah keping yang masih basahpun tidak boleh disangkut di luar rumah apabila malam, tapi setelah regu penyusun massa Rejimen Ke-10 tiba, semuanya aman, tiada kes pencurian, perjudian dan kehidupan massa menjadi lebih terjamin.

Kerana pengaruh pasukan Rejimen Ke-10 yang tegas membela massa rakyat, maka di mana saja regu penyusun massa sampai, keadaan kampung itu akan menjadi aman. Oleh kerana itu, ramailah massa dari kampung-kampung yang belum disusun datang mencari hubungan dengan regu penyusun massa agar pergi ke kampung mereka. Begitu juga kampung-kampung yang telah disusun, orang ramai sangat-sangat berharap agar pasukan tidak tinggalkan mereka. Dengan itu pengaruh pasukan Rejimen Ke-10 dengan cepat tersebar ke serata penjuru.


Bergotong Royong Membentuk Masyarakat Harmoni

Bergotong royong membentuk syarikat kerjasama merupakan suatu perkara yang mustahak bagi mempersatukan massa. Pengalaman ini telah dipraktikkan oleh Abdullah C.D. ketika beliau ikut memimpin Barisan Tani Malaya pada masa aman dan saya juga pernah membentuk organisasi kerjasama kaum buruh dalam masa menjelang pendudukan fasis Jepun. Pengalaman ini juga sangat berfaedah bagi mempersatukan kaum tani di kawasan sempadan. Pada umumnya di setiap kawasan basis, kami menuntut regu penyusun massa membentuk berbagai pakatan orang ramai agar kehidupan sosial mereka lebih tersusun rapi dan menyelesaikan berbagai masalah mendesak massa.

Salah sebuah kampung di daerah Weang mahu mendirikan masjid, tetapi mereka kekurangan kewangan. Regu penyusun massa yang bergerak di situ mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kampung. Diputuskan setiap buah rumah mengeluarkan wang sebanyak 1,500 bath. Seluruh penduduk kampung menyambutnya dengan penuh kerelaan. Wang himpunan yang diperoleh sebanyak 30,000 bath untuk membeli alat-alat seperti zink, paku dan lain-lain. Di samping itu regu penyusun massa bersama orang ramai membahagi-bahagikan kerja mengikut gerup masing-masing seperti kayu tiang, kayu kasar dan lain-lain. Setelah semua peralatan tersedia, regu penyusun massa dan orang ramai bergotong royong lagi membangunkan sebuah masjid yang agak sempurna.

Massa rakyat mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak tentera kerana membantu mereka mendapatkan sebuah masjid untuk beramal ibadat. Sebagai tanda terima kasih, massa meminta sembahyang kali pertama di atas masjid itu diimamkan oleh regu penyusun massa. Untuk memenuhi hasrat murni massa rakyat, Waiming (Hassan Salleh) (gambar kanan) yang mengetuai regu penyusun massa di situ menjadi imam untuk sembahyang kali pertama di masjid tersebut. Selepas itu, regu penyusun massa telah membentuk Jawatankuasa Agama untuk mentadbir segala hal ehwal agama di kampung tersebut.

Selain itu syarikat khairat kematian juga didirikan. Caranya setiap anggota menyimpan sedikit wang mengikut ketetapan jawatankuasanya. Apabila ada kematian, massa tidak bimbang lagi kerana wang untuk menguruskan jenazah telah tersedia. Di samping itu digalakkan orang ramai saling bertolong bantu. Apabila timbul kemalangan atau kematian, mereka dengan sukarela menghulurkan derma bakti.

Di sebuah kampung telah didirikan "tabung ubat", bertujuan menyediakan perubatan kecemasan dan perubatan harian kepada massa. Setiap orang yang mampu digalakkan menabung di Tabung Ubat tersebut. Wang yang diperoleh digunakan untuk membeli ubat-ubat keperluan harian, seperti ubat tablet, suntik dan lain-lain. Regu penyusun massa memberikan latihan singkat kepada orang ramai tentang cara-cara mengubati berbagai jenis penyakit. Ini memberikan banyak kemudahan kepada massa. Sakit-sakit biasa dapat diselesaikan sendiri, tak perlu ke hospital yang terletak jauh di bandar.

Suatu lagi kerja gotong royong yang meninggalkan kesan mendalam kepada massa ialah membantu massa yang ditimpa kemalangan. Dalam suatu peristiwa, sebuah rumah massa terbakar, rumah dan isinya habis dijilat api. Keluarga yang menjadi mangsa kebakaran itu sangat bersedih hati. Untuk membantu mangsa tersebut, regu penyusun massa memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kampung. Kawan-kawan regu penyusun massa mengatur tenaga secara berkumpulan mencari alat-alat untuk mendirikan rumah baru. Ada yang mencari atap, rotan, kayu dan sebagainya manakala kaum wanita pula memasak untuk massa yang bekerja. Dari pukul 8 hingga pukul 12 tengah hari semua bahan telah siap. Pada petang itu juga sebuah rumah yang sederhana telah siap dibina. Di samping itu regu penyusun massa menganjurkan massa menghulurkan derma kepada keluarga si malang seperti pinggan mangkuk, periuk kuali, pakaian, beras dan lain-lain. Keluarga yang malang itu sangat bersuka cita mendapat perhatian seperti itu.

Di sebuah kampung yang terletak di pinggir hutan di kawasan Yala sentiasa didatangi oleh sang harimau. Sang belang yang ganas itu membaham kambing, lembu dan lain-lain ternakan. Massa hidup dalam ketakutan. Apabila tirai malam berlabuh, mereka menutup pintu rapat-rapat takut diterkam sang belang. Massa telah mengadukan hal itu kepada regu penyusun massa yang bergerak di situ di bawah pimpinan Sukor (Awang Ismail) (gambar kiri). Untuk membantu massa, Awang Ismail telah menyusun kaum lelaki untuk memburu harimau tersebut.

Pak belang yang garang dan menggerunkan itu benar-benar muncul di depan mereka. Ramai orang merasa kecut perut, ada yang naik ke atas pokok, ada yang lari bertempiaran dan lain-lain lagi. Tapi Awang dengan berani mencabut pistol melepaskan tembakan, lalu tersungkurlah pak belang. Massa rakyat mengucap "Asyhaduan laillah haillallah" kerana pak belang telah ditewaskan, mereka terlepas dari bahaya. Massa rakyat amat kagum dengan keberanian dan kecekapan ketua regu penyusun massa itu. Sehingga selepas ditandatanganinya perdamaian Haadyai, masih ada lagi massa yang mengingatkan peristiwa tersebut.

Cara bekerja yang benar-benar berkhidmat sepenuh hati kepada massa ini meninggalkan kesan yang tak terlupakan di lubuk hati orang ramai. Massa rakyat menyatakan bahawa dengan adanya bimbingan dari pihak parti dan tentera, kehidupan mereka menjadi lebih bererti, bersatu padu dan bekerjasama, semua orang bagaikan adik beradik. Kerana tingginya kepercayaan massa kepada Rejimen Ke-10, apa-apa perkara yang timbul baik kecil atau besar mereka datang meminta bimbingan dari regu penyusun massa. Sehingga perbalahan rumah tangga, orang tua dan anak-anak juga diminta nasihat regu penyusun massa. Mereka menganggap pasukan Rejimen Ke-10 sebagai pemimpin dan sandaran mereka.


Massa Rakyat Tersusun Dalam Pakatan


Rejimen Ke-10 telah mendirikan basis yang kukuh di kawasan sempadan. Di kampung-kampung di kawasan basis tersebut didirikan berbagai-bagai organisasi massa seperti pakatan pemuda, pakatan wanita, pakatan kanak-kanak dan lain-lain.

Sebuah kampung revolusioner daerah Weang adalah basis Rejimen Ke-10 yang awal di kawasan sempadan. Puteri tunggal saya dengan Abdullah C.D. yang lahir pada tahun 1956 juga diserahkan kepada seorang massa revolusioner di situ untuk dipelihara. Dari kampung tersebut regu penyusun massa Rejimen Ke-10 telah mengembangkan gerakannya ke banyak kampung lain di sekitarnya. Kampung-kampung tersebut dengan teguh menyokong pasukan.

Di kampung-kampung ini didirikan berbagai organisasi massa dan diadakan sekolah yang dinamakan Sekolah Tani untuk massa menerima kursus bagi mempertingkatkan taraf politik mereka. Di suatu kampung lagi didirikan Sekolah KOMISARI (Kumpulan Massa Revolusioner). Semua orang ada organisasi masing-masing, baik orang dewasa, pemuda, wanita dan kanak-kanak. Regu penyusun massa sentiasa membawa mereka bermesyuarat. Ada kalanya mereka mengadakan perayaan besar-besaran. Dalam perayaan, ada wakil dari kampung-kampung berucap. Selain itu, pemuda pemudi dari berbagai kampung mempersembahkan nyanyian, tarian dan lain-lain. Kanak-kanak di kampung-kampung ini istimewa suka berlatih ketenteraan. Kerananya regu penyusun massa membuat senapang kayu untuk mereka berlatih.

Pada suatu hari, regu penyusun massa membuat rancangan mengadakan perayaan untuk kanak-kanak. Kira-kira 20 orang lebih kanak-kanak dan 6 orang massa datang ke perkhemahan regu penyusun massa untuk ikut serta perayaan tersebut. Kawan-kawan penyusun massa berjumlah 6 orang sahaja.

Tanpa disedari, kira-kira pukul 6 pagi (waktu tempatan), sejumlah tentera Thai menyerang perkhemahan tersebut. Pertempuran hebat berlaku. Sukur yang memimpin gerup tersebut mengarahkan kanak-kanak itu meniarap. Kerana ada sedikit latihan berkawat, kanak-kanak itu dapat meniarap dengan baik. Sebahagian kawan mempertahankan pertempuran, sebahagian lagi membawa kanak-kanak itu berundur ke tempat yang selamat, kemudian menghantar mereka pulang ke rumah masing-masing.


Massa Rakyat dengan Sepenuh Hati Menyokong Pasukan

Yang paling mengharukan saya ialah sokongan dan dukungan massa yang begitu tinggi kepada Rejimen Ke-10. Undang-undang kuku besi dari Badan Intelijen Bersama tidak mengenal ampun dan belas kasihan. Siapa yang didapati membantu Rejimen Ke-10, akan dikenakan hukuman yang amat berat, ada yang ditangkap, diseksa, ada yang ditembak mati, bahkan ada yang diisi dalam dram minyak dan dibakar hidup-hidup. Namun, hubungan massa rakyat dengan tentera mendarah daging bagaikan aur dengan tebing. Di bawah keadaan macam mana pun mereka tetap berikhtiar membantu pasukan, berusaha membeli perbekalan, mencari maklumat dan lain-lain untuk pasukan.

Satu contoh menonjol ialah sokongan massa kepada perkumpulan besar-besaran Sekolah Parti Pertama Utara Malaya pada tahun 1962. Ketika itu Rashid Maidin bertanggungjawab langsung atas kerja-kerja menyusun massa. Pangkalan Rejimen Ke-10 di Kampung A dan Kampung J telah menyediakan perbekalan secukupnya untuk perkumpulan yang besar itu. (lihat bab 13) Gerup penyusun massa dipimpin oleh Awang Ismail (Sukor) dan Zaleha Mat Roni (Rosmah) bertanggungjawab menyusun massa di Kampung A dan satu gerup lagi dipimpin oleh Hassan (Waiming) menyusun massa di Kampung J.

Selepas Sekolah Parti Pertama Utara Malaya, pihak tentera Thai dan Malaysia bekerjasama melancarkan serangan ke atas pasukan Rejimen Ke-10 di kawasan Yala. Beberapa orang pemuda anasir cergas ditahan dan dipenjarakan selama beberapa tahun. Namun mereka sedikit pun tidak tunduk pada gertakan dan hasutan. Akhirnya mereka terpaksa dibebaskan.

Sokongan dan Sumbangan Massa Thai


Pada penghujung tahun 1960-an, Abdullah C.D. dan saya bertanggungjawab mengarahkan pekerjaan massa di beberapa kawasan termasuk sepanjang jalan Sukhirin. Masa itu daerah Sukhirin baru saja dibangunkan. Kebanyakan massa terdiri dari orang Thai yang dibawa masuk dari kawasan utara Thailand. Mereka pada umumnya tak pandai bercakap bahasa Melayu manakala kawan-kawan penyusun massa pula tidak tahu bercakap bahasa Thai.

Dengan berpedomankan petunjuk Chen Ping, kami kawan-kawan pimpinan memberikan bimbingan dan pemberangsangan kepada kawan-kawan penyusun massa untuk menghadapi keadaan baru tersebut. Regu penyusun massa telah melaksanakan petunjuk pimpinan dengan baik. Pada mulanya mereka dapat menemukan satu keluarga massa Thai yang pandai berbahasa Melayu. Mulai dari keluarga inilah mereka memberikan penerangan-penerangan, mereka tegas mematuhi disiplin dan menunjukkan sikap yang baik sehingga massa Thai tersebut percaya bahawa ini benar-benar pasukan yang baik. Akhirnya kerja massa di kalangan massa Thai berkembang dengan pesat, anasir-anasir cergas dari bangsa Thai dapat dipupuk satu demi satu. Dengan itu berdirilah basis-basis kukuh di kawasan Sukhirin. Massa Thai membantu pasukan mendapatkan berbagai-bagai perbekalan untuk unit-unit penyusun massa dan unit-unit produksi yang bergerak di situ.

Sesuai dengan keadaan di kawasan Sukhirin yang menjadi masyarakat berbilang bangsa iaitu Thai dan Melayu, kami menganjurkan perpaduan antara bangsa-bangsa dan saling bekerjasama. Satu suasana yang harmoni antara orang Melayu dan orang Thai telah terbentuk. Pernah sekali ada pihak tertentu yang cuba menghasut permusuhan antara orang Melayu dan orang Thai di kawasan Sukhirin. Pihak Rejimen Ke-10 melancarkan penerangan-penerangan kepada massa, menghantar regu penyusun massa mengerahkan orang Melayu dan Thai agar bersatu padu dan mempererat perpaduan, mencetak siaran-siaran dalam bahasa Melayu dan Thai untuk diedarkan kepada massa. Akhirnya percubaan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman itu telah berjaya digagalkan.

Pada pertengahan tahun 70-an, pasukan induk berpindah ke kawasan Sukhirin. Kawasan tersebut telah menjadi sandaran utama bagi mendapatkan perbekalan pasukan, alat-alat kelengkapan, maklumat dan sebagainya.

Sebagai contoh, Nai Niphon (Iman) (gambar kanan) yang berhijrah ke Sukhirin dari timur laut Thai telah membawa isterinya dengan aktif dan suka rela membantu pasukan. Kerana kesedarannya yang tinggi, beliau telah menghantar anak perempuannya ke dalam pasukan untuk belajar. Disebabkan tindakan beliau sedemikian, beliau telah ditangkap dan diseksa sehingga tulang rusuknya patah. Namun begitu, ini sedikit pun tidak melunturkan semangat dan pendiriannya yang teguh menyokong pasukan. Setelah dibebaskan, pihak keluarganya dari timur laut datang memujuknya supaya balik bersama mereka. Akan tetapi beliau menolak. Beliau akhirnya membawa isteri dan 2 orang anak lelakinya masuk pasukan. Beliau meninggal dunia pada 31 Julai 1990 atau 2533 (Tahun Buddha) kerana diserang demam malaria.

Tanpa sokongan tulus ikhlas massa, Rejimen Ke-10 tak mungkin dapat mempertahankan perjuangannya dalam jangka panjang. Sumbangan ikhlas massa rakyat merupakan bahagian penting dari sejarah Rejimen Ke-10 dan sejarah perjuangan rakyat untuk kemerdekaan. Ia patut dikenang selama-lamanya.

---
catatan: artikel di atas dipetik dari Memoir Suriani Abdullah:
Dicatat oleh WASIAT PEJUANG di 00:49
Label: CATATAN IBU SURIANI

No comments:

Post a Comment