PERTEMPURAN DI BUKIT CHEMPEDAK
Askar Australia adalah antara askar komanwelth yang dibawa kaum penjajah British ke Malaya. Mengikut catatan 8 batalion askar Australia telah dikerahkan untuk mempertahankan kekuasaan British di Malaya. Pasukan komanwel ini dipropagandakan sebagai handal bertempur, banyak pengalaman, pernah menegakkan jasa dalam Perang Dunia Kedua dan lain-lain oleh penjajah British. Akan tetapi hakikat mereka sebagai tentera upahan penjajah terbongkar apabila berhadapan dengan pasukan tentera rakyat yang berjuang untuk rakyat dan tanah air. Senjata moden mereka tidak dapat menundukkan perajurit tentera rakyat yang hanya menggunakan persenjataan yang amat sederhana atau ketiggalan zaman.
Perajurit Rejimen Ke-10 sedang berlatih militeri
Pertempuran Bukit Chempedak berlaku pada 8 Julai 1949 antara pasukan askar Australia penjajah British dengan pasukan Rejimen Ke-10. Ketika pertempuran ini meletus, sebahagian perajurit Rejimen Ke-10 belum memiliki senjata api, manakala yang ada senjata pula pelurunya amat terbatas.
Perlu juga dijelaskan bahawa sebelum pertempuran tersebut, iaitu pada 7 Julai, para perajurit Rejimen Ke-10 sudah semalaman tak tidur kerana mengadakan perhimpunan massa merayakan Barisan Tani Malaya. Barisan Tani Malaya ketika itu telah diharamkan oleh kaum penjajah British dalam Undang-undang Darurat 1948, tapi Rejimen Ke-10 meneruskan perjuangannya, menyusun semula cawangan-cawangannya dan melancarkan berbagai bentuk perjuangan.
Dalam pertempuran ini, Abdullah C.D. telah merancangkan taktik perang gerila hutan yang hidup dan lincah iaitu bertahan, berundur, menyerang dan imbusying (serang hendap). Walau bagaimanapun, taktik imbusying tak dapat dilakukan kerana musuh tidak melaui jalan tersebut.
Berikut adalah catatan Abdullah C.D. berkenaan pertempuran di Bukit Chempedak yang dimuatkan dalam Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua: PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10, terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD), 2007.
Pertempuran Bukit Chempedak
Aktiviti Kompeni A mengadakan perayaan menyambut ulang tahun kedua Barisan Tani Malaya itu telah diketahui oleh 4 orang hantu penjajah. Kerana mendapat maklumat yang terperinci, penjajah telah menghantar dua platun askar Australia masuk hutan menyusuri jalan pulang Kompeni A. Walau bagaimanapun, kedatangan musuh itu telah diketahui oleh massa. Mereka cepat-cepat membuat laporan kepada regu penyusun massa yang bertugas di kampung. Regu penyusun massa pula membuat laporan kepada Kompeni A.
Sungguhpun kawan-kawan mengantuk kerana semalaman tak tidur, tapi kami sentiasa mengambil berat soal pengawasan. Saya mengatur satu seksyen kawan yang diketuai oleh Majid berkawal di depan. Selaras breengun dikhaskan untuk seksyen yang berkawal tersebut.
Pada pagi 8 Julai, musuh tiba di depan gard, kawan-kawan yang berkawal di depan melakukan pertempuran dengan gagah berani. Seluruh kompeni terjun ke dalam pertempuran.
Pertempuran Bukit Chempedak agak kusut kerana musuh berkedudukan inisiatif manakala kita berada di pihak yang pasif. Setelah bertempur selama kira-kira 20 minit, sejumlah musuh telah mati atau luka-luka, akan tetapi mereka terus mendesak kami dari beberapa jurusan. Kerana keadaan medan pertempuran tidak menguntungkan, saya ambil taktik berundur dulu.
Saya arahkan kompeni berundur di samping seregu kawan bertahan untuk memberi peluang berundur kepada kompeni. Sebaik saja kompeni terlepas dari garisan pertempuran, barulah mereka berundur secara teratur. Semua kawan selamat dalam pertempuran itu. Barang-barang juga dapat diundurkan. Akan tetapi ada sedikit ubat yang kami rampas dalam pertempuran di Tekai Estet tercicir. Kami berkumpul di suatu tempat tak jauh dari medan pertempuran untuk mengatur rancangan baru.
Tatkala seluruh pasukan telah berkumpul, saya menyampaikan rancangan baru. Rancangannya ialah: 1 platun saya pandu sendiri menyerang balas musuh yang sedang berada di dalam kem dari belakang dan satu seksyen lagi diketuai oleh Johan dan Manap menghendap di jalan pengunduran musuh. Sebahagian kawan saja yang dipilih bertempur. Kompeni berehat di suatu tempat menunggu berita pertempuran kami.
Musuh yang berjaya menawan kem kosong itu menyangka mereka telah mencapai kemenangan besar. Ketika kami tiba di tepi kem untuk melancarkan serangan, kami nampak mereka sedang riuh rendah, ada yang sedang merosakkan barang-barang yang ditinggalkan, ada yang sedang memecahkan kawah, tin dan lain-lain di dapur dan ada pula yang sedang berpekik-pekik. Musuh tidak menyedari yang kami sudah tiba untuk menghentam mereka.
Ketika musuh sedang mabuk dengan kemenangan itu, kami melepaskan tembakan serentak. Kami nampak beberapa orang musuh rebah. Seorang askar orang putih yang sedang memecahkan kawah besar tersungkur ke dalam kawah tersebut.
Musuh menjadi kelam kabut dan kucar kacir di bawah pukulan tiba-tiba itu. Mereka lari ke luar dengan meninggalkan rakan-rakan mereka yang mati di situ. Akan tetapi, sayangnya musuh tidak keluar mengikut jalan. Jadi regu Johan dan Manap hilang peluang bertempur. Dalam pertempuran itu kami berjaya membunuh 14 orang musuh. Seorang perajurit Kompeni A mendapat cedera.
Pertempuran ini adalah pertempuran bertahan yang pertama dilakukan pasukan Rejimen Ke-10 yang baru saja didirikan melawan askar Komanwel yang mendapat latihan khas dengan senjata yang mutakhir. Taktik bertahan - mundur - menyerang yang digunakan dalam pertempuran itu mencerminkan pasukan Rejimen Ke-10 mampu menghadapi askar penjajah, berkembang dan mendewasa. Pegawai British juga menganggap pertempuran itu sebagai suatu pertempuran yang istimewa. Penjajah British membuat kesimpulan bahawa pasukan Tentera Pembebasan yang disebutnya sebagai "pengganas komunis" ini dilatih oleh tentera Jepun.
Kemenangan pertempuran itu amat memberangsangkan kawan-kawan dan massa rakyat. Massa datang menyampai tahniah dan hiburan kepada kami. Pemuda pemudi yang memohon masuk tentera semakin bertambah. 4 orang hantu yang melakukan pengintipan sehingga pertempuran itu berlaku telah ditangkap oleh regu penyusun massa Rejimen Ke-10 dengan bantuan massa rakyat. Keempat-empat hantu itu dihukum sesuai dengan dosanya.
Label: CATATAN ABDULLAH CD
No comments:
Post a Comment